PENTAS TIGA DIVA

oleh Norhadiani Baharom  (Harian Metro: Sabtu, 11 Mei 2013)

Sharifah Aini, Uji Rashid dan Khadijah Ibrahim hiburkan peminat untuk bantu ibu tunggal

Sebelum muncul diva popular seperti Datuk Sheila Majid, Ella, Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain dan Yuna, tiga nama ini terlebih dulu mencipta fenomena pada era mereka.  Mereka menawan dengan cara tersendiri selain bersandarkan vokal mantap yang sehingga kini tiada tandingannya.  Itulah Datuk Sharifah Aini, Uji Rashid dan Datuk Khadijah Ibrahim (Khaty).  Ketiga-tiganya masih aktif menyanyi namun bentuk persembahan yang dijayakan mereka bersifat eksklusif sesuai dengan status mereka sebagai penghibur berkaliber.

Berita baik buat peminat tiga penyanyi wanita hebat itu apabila ketiga-tiganya bakal berkongsi pentas dalam persembahan Malam Amal Bersama Tiga Diva di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 12 Jun ini jam 8 malam.  Persembahan amal itu dianjurkan Kaizen Cosmetic bagi mengumpul dana untuk Persatuan Ibu Tunggal Selangor.  Pengarah Urusan Kaizen Cosmetic, Suhaila Sharif berkata, pihaknya berasa sangat bertuah apabila ketiga-tiga penyanyi itu menyatakan persetujuan untuk terbabit dalam acara itu.

"Kata ‘setuju’ daripada tiga diva ini satu berita yang amat menggembirakan kami.  Malam Amal Bersama Tiga Diva turut melakar sejarah tersendiri kerana inilah kali pertama mereka digandingkan dalam satu persembahan bersama sejak 40 tahun lalu.  Ia tidak akan berakhir sebagai sebuah persembahan amal saja, sebaliknya satu pencapaian dalam industri seni melalui penggabungan mereka.  Saya juga berbesar hati untuk mengatakan pemilihan tiga nama besar itu dibuat berdasarkan karisma serta gaya yang dimiliki mereka selain mereka juga dekat dengan peminat terutamanya golongan ibu,” katanya dalam sidang media program berkenaan, baru-baru ini.  Namun Uji tidak dapat menghadiri majlis itu berikutan terikat dengan komitmen lain.

Majlis yang sama turut menyaksikan penyerahan cek bernilai RM174,000 kepada Persatuan Ibu Tunggal Selangor yang diwakili pengerusinya, Murtini Kasman.  Menyasarkan kutipan sebanyak RM500,000 menerusi jualan 100 meja yang disediakan, acara berkenaan turut memberi ruang kepada ibu tunggal mengadakan pameran dan jualan untuk pengunjung bermula jam 10 pagi.

Sementara itu, Sharifah Aini berkata, beliau teruja untuk mengadakan persembahan bersama sahabat lamanya, Khaty dan Uji pada malam amal berkenaan.  “Saya berehat agak lama kerana masalah kesihatan dan alhamdulillah kini saya sihat sepenuhnya.  Apa yang menyeronokkan, saat saya merancang aktif semula saya ditawarkan membuat persembahan yang cukup menarik ini.  Jika ditanya mengenai perasaan saya sekarang, memang tidak sabar menantikan 12 Jun untuk bersama-sama dengan Uji dan Khaty.  Tambahan pula, majlis ini objektifnya untuk membantu ibu tunggal dan kegiatan amal sudah sebati dengan kehidupan saya.  Justeru, saya sangat berbesar hati dapat bersama-sama membantu mereka,” kata penghibur yang juga seorang ibu tunggal yang tabah ini.

Dalam pada itu, Khaty berkata, pembabitan artis dalam persembahan itu diharap dapat membantu golongan ibu tunggal memperbaiki kehidupan mereka tanpa bergantung kepada orang lain.  Beliau sendiri sudah menetapkan untuk menghiburkan penonton menerusi tujuh lagu dalam persembahan yang bakal berlangsung selama dua jam itu.  “Saya termasuk kawan-kawan yang lain akan memanfaatkan peluang ini untuk menghiburkan mereka.  Insya-Allah, kita juga akan mengadakan perbincangan bersama untuk menetapkan lagu yang sesuai untuk didendangkan pada malam itu nanti,” katanya.

Menyerikan persembahan pada malam itu nanti, Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012), Didie Alias sebagai pengacara majlis bersama Acong (Sweet Child) dan Man Raja Lawak selain pertunjukan fesyen dan Ratu Kebaya oleh ibu tunggal.  Kepada mereka yang berminat menonton persembahan Malam Amal Bersama Tiga Diva, harga meja dijual bermula RM1,500 hingga RM10,500.  Tempahan boleh dibuat di www.kaizen-asia.com atau menghubungi 03-6242-5104 atau 010-2454923.

Artikel lain yang berkaitan:

  Persembahan Tiga Diva Ditunda Saat Akhir (Berita Harian – Rabu, 12 Jun 2013)