KAK PAH UNDUR LAGI 2 TAHUN oleh Ellyna Ali (Harian Metro: Khamis, 22 September 2005) |
Pun begitu, katanya, jangan fikir dia akan mengakhiri sisa hidupnya sebagai anak seni dengan menyanyi dan menghibur saja. "Kalau boleh saya mahu lakukan sesuatu yang bermakna yang boleh dibanggakan buat anak bangsa kita serta negara," katanya. Senyuman yang diberikan Kak Pah juga penuh seribu makna. Apa lagi kejutan yang ingin dilakukan wanita yang memiliki zodiak Cancer selepas tampil dengan buku 'Breaking The Silence: 55 Reason Why Sharifah Aini Was Not Lying'? Rupa-rupanya penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Hapuslah Air Matamu', 'Bunga Tanjung' serta 'Kudaku Lari' ini sedang dalam persediaan untuk menyelesaikan kertas kerjanya berkaitan dengan irama dan muzik warisan budaya Melayu. Kertas kerja yang mendapat bantuan beberapa rakan termasuk pensyarah ini akan dibentangkannya di beberapa universiti di Silicon Valley, San Francisco serta Washington dan New York. "Menerusi projek ini, saya akan menjelajah ke beberapa universiti di tempat ini untuk memperkatakan mengenai irama dan muzik warisan kita. Tujuannya untuk memperkenalkan irama dan muzik warisan budaya kita kepada orang luar khususnya di kalangan masyarakat Amerika. Bukan setakat membentangkan kertas kerja, saya juga akan membawa sekumpulan pemuzik dan memperdengarkannya kepada mereka mengenai keindahan irama Asli, Deli, Ghazal dan Zapin. Tugas ini sememangnya sangat mencabar sekali tetapi inilah sesuatu yang perlu saya lakukan sebelum saya bersara," katanya. Kata Kak Pah lagi, kesedaran untuk memikul tugas sebagai budayawan adalah hasil dorongan dan semangat yang diberikan rakan terdekat serta peminat setianya yang sedang menuntut di luar negara. "Mereka selalu memberitahu saya, takkan Shairah Aini hendak jadi penyanyi saja? Bila saya fikirkan betul juga kata mereka. Lalu terhasilllah projek ini bersama mereka. Malah, harus saya katakan di sini, tanpa mereka tidak mungkin projek ini akan terlaksana. Insya Allah, jika tiada aral, projek ini akan bermula sekitar Mei tahun depan dan saya akan menjelajah beberapa universiti ini dalam tempoh dua minggu," katanya. Mengenai Pods & Petals, Kak Pah selaku pengerusinya berkata, dia gembira kerana selepas tiga tahun perniagaan yang berasaskan perkhidmatan pembungkusan serta hadiah itu ditubuhkan, ia terus berkembang dengan pembukaan kedai baru di Sogo. Katanya, ini membuktikan adanya sambutan terhadap perkhidmatan yang mereka sediakan itu menerusi tempahan berterusan terutama pada musim menjelangnya hari perayaan. "Setakat ini, kami berbangga kerana memiliki pelanggan setia. Kebanyakannya berpuas hati dengan perkhidmatan yang kami sediakan," katanya. "Kami memang sangat pentingkan kualiti dalam perkhidmatan yang kami sediakan. Hampir semua barangan dibawa masuk dari luar negara untuk memberi kelainan kepada pelanggan," katanya. "Insya Allah, jika tiada aral, kami bercadang membeli bangunan sendiri bagi memperkembangkan terus perniagaan Pods & Petals. |