KAK PAH TERHARU MELIHAT NIRMALA oleh Nor Akmar Samudin (Harian Metro: Rabu, 25 Mei 2004) |
"Jangan berdendam dengan orang Malaysia kerana bukan semua orang sini jahat", itulah antara kata-kata yang dilahirkan Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah sebaik saja dia bertemu mangsa dera, Nirmala Bonat, 19 di Kedutaan Indonesia, semalam. Kak Pah terpanggil menemui Nirmala bagi melihat sendiri keadaannya selepas melihat penderitaan dan kesengsaraan yang dialami gadis berasal dari Kupang, Nusa Tenggara Timur, Indonesia itu menerusi media. Bergenang air matanya sewaktu menyaksikan keadaan Nirmala yang lemah dan ternyata gadis itu masih trauma. Namun terpancar cahaya kelegaan pada wajahnya yang masih bengkak terutama pada dahi akibat dipukul cawan besi. Kak Pah berkata, dia mewakili rakyat negara ini memohon jutaan ampun dan maaf kepada rakyat Indonesia yang berada di sini dan juga di Indonesia di atas apa yang terjadi terhadap Nirmala. Ia adalah suatu tragedi yang menyayat hati.
Tambah Kak Pah, semoga kejadian yang menimpa Nirmala boleh dijadikan iktibar. Katanya, dia tidak dapat membayangkan tahap kezaliman majikan Nirmala yang sanggup menekap seterika di seluruh badan termasuk buah dada, memukul dengan penyangkut baju dan melemparkan cawan besi ke mukanya. "Saya sokong sepenuhnya mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum ke atas majikan Nirmala. Semoga ia menjadi pengajaran kepada masyarakat. Jangan ada diskriminasi melayan orang gaji. Mereka datang ke sini mencari rezeki dengan meninggalkan suami, anak, keluarga dan sanak saudara lalu meletakkan nasib mereka di tangan kita," katanya. Kedatangan penyanyi itu ke kedutaan ditemani Ketua Inspektor Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Azida Ab Aziz. Turut bersama ialah Kepala Bidang Penerangan Kedutaan, Budin Rahardjo dan Atache Perburuhan, Abdul Malik. Difahamkan, Kak Pah turut memberi sumbangan peribadi RM5,000 kepada Nirmala serta menghadiahkan sekeping CD manakala Bibik dan Mus masing-masing menderma RM250. Selepas bertemu dan berbual hampir 20 minit, Budin dan Abdul Malik mengiringi Kak Pah bertemu Duta Besar Indonesia Ke Malaysia, Drs KPH Rusdihardjo SH di pejabatnya di tingkat enam. |