HANYA SMS PENGUBAT RINDU

oleh Ramlah Zainal  (Harian Metro: Sabtu, 17 Mei 2008)

Airmata yang menitis di pipi Zaliha Ahmad, 52, sudah cukup membuktikan betapa bahagianya hati seorang ibu apabila diberikan kejutan istimewa oleh anak tersayang pada Hari Ibu yang diraikan 11 Mei lalu.  Lebih bermakna, ibu kepada dua anak, Mohd Syafiq Yahya, 24, dan Nur Alia, 18, itu juga berpeluang menikmati makan malam eksklusif bersama selebriti terkenal tanah air yang juga Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini.

Zaliha, yang hadir pada majlis itu ditemani anak sulungnya, Mohd Syafiq yang juga pemenang pertandingan Wajah Seiras Ibu berkata, dia mengakui cukup bertuah kerana mempunyai anak seperti Mohd Syafiq dan Nur Alia.  "Sebagai ibu yang melahir dan membesarkan mereka, saya sangat bersyukur kepada Allah kerana mereka anak yang taat dan sentiasa mengikut nasihat diberikan.  Saya juga tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang membesarkan mereka dari kecil hingga dewasa," katanya.

ANAK EMAK ... Mohd Syafiq bersama ibu tercinta, Zaliha Sebenarnya, kata Mohd Syafiq, yang bertugas sebagai eksekutif Petronas, Nur Alia yang merancang untuk memberikan kejutan istimewa pada ibu mereka sempena Hari Ibu lalu.  Bagaimanapun, Alia yang juga penuntut kursus asasi sains di Universiti Malaya tidak dapat datang pada majlis berkenaan kerana sibuk membuat persiapan untuk peperiksaannya.  "Saya pula merancang ingin memberikan ibu hadiah percutian ke Bali, Indonesia pada Ogos ini sempena Hari Ibu," katanya.

Tambah Mohd Syafiq lagi, Hari Ibu sepatutnya diraikan setiap hari dan bukan pada hari tertentu saja.  "Selalunya, kami dua beradik meraikan Hari Ibu dengan membawa ibu tersayang menikmati makan malam ataupun sekurang-kurangnya memberikannya kad ucapan dengan kata-kata yang cukup bermakna.  "Antara hadiah paling mahal pernah diberikan pada ibu dan bapa setakat ini ialah sepasang jam tangan Guess ketika saya menerima gaji pertama dulu," katanya.  Mohd Syafiq ditemui sempena makan malam eksklusif pertandingan Wajah Seiras Ibu di restoran Cavallini, Hotel Palace of The Golden Horses, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Sharifah Aini yang hadir pada majlis itu tanpa ditemani anak kesayangannya, Aliff Ali berkata, sekalipun berjauhan, Aliff tetap menghantar ucapan Hari Ibu padanya menerusi khidmat pesanan ringkas (sms).  "Memang saya berasa sedih kerana tidak dapat menyambut Hari Ibu bersamanya, tetapi bila saya fikirkan lebih mendalam, Madinah adalah tempat paling selamat buat Aliff.  Aliff sudah lima tahun belajar jurusan syarie di Madinah.  Mungkin tiga atau empat tahun lagi baru dia tamat pengajian.  Saya juga sentiasa menunggu ketibaan Julai kerana ketika itu Aliff bercuti panjang selama tiga bulan.  Saya juga merancang untuk bercuti bersama Aliff di Gold Coast, Australia pada cuti semesternya kali ini," katanya.JAMU SELERA ... pemenang Pertandingan Wajah Seiras Ibu, Mohd Syafiq (kiri) bersama ibunya, Zaliha menikmati makan malam eksklusif bersama Sharifah Aini

Selain Aliff, Sharifah Aini juga mempunyai ramai anak angkat yang disayanginya seperti anak sendiri.  "Sembilan anak angkat saya yang berdaftar sama-sama belajar dengan Aliff di Madinah.  Manakala, 500 lagi anak angkat saya tidak berdaftar,” katanya.  Selain itu, kata Sharifah Aini, sebagai anak kita juga perlu memberitahu ibu bahawa kita sentiasa menyayangi mereka sampai bila-bila.  "Sebagai ibu pula, saya memang selalu memeluk dan mencium anak sebagai menunjukkan kasih sayang tidak berbelah kepada mereka,” katanya.

Peraduan Wajah Seiras Ibu adalah pertandingan secara online yang dianjurkan Murai.com.my untuk memberi peluang kepada GengMurai memberikan hadiah kejutan istimewa kepada ibu tersayang sempena Hari Ibu.  Turut hadir Ketua Editor Murai.com.my, Roslen Fadzil.

Artikel lain yang berkaitan:

  Rai Hari Ibu Bersama Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop – 18 Mei 2008)