ALBUM IMPIAN SHARIFAH AINI

oleh Ramlah Zainal  (Harian Metro: Khamis, 28 Mei 2009)

Mungkin tidak banyak publisiti mengenai Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar dipaparkan di akhbar mahupun majalah, sejak kebelakangan ini.  Namun, hakikatnya, Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah, 54, sibuk menyiapkan pembikinan dua album barunya yang juga bingkisan album ke-99 dan ke-100 berjudul Warisan Melayu dan Irama Terindah Malaysia sekali gus impiannya selepas berkecimpung selama 40 tahun dalam bidang seni.

"Selain album istimewa itu, saya juga sibuk memenuhi undangan persembahan majlis makan malam korporat dalam mahupun luar negara termasuk di Abu Dhabi, Arab Saudi dan Hong Kong.  Majlis seperti ini juga tidak mendapat publisiti daripada media.  Sebenarnya, pada usia sekarang, saya tidak banyak membuat persembahan di khalayak ramai kerana menyedari stigma masyarakat yang sangat memandang kepada paras rupa dan usia seseorang penghibur itu," katanya.

Bagi mereka yang mengenalinya secara peribadi, Sharifah Aini mengakui dia memang tidak pernah menganggap dirinya sebagai diva di persada seni tanah air.  "Terus terang, saya lebih suka dikenali sebagai penghibur yang merendah diri dan masih Kak Pah yang sama dari dulu sampai sekarang," katanya.

Pada masa sama, kata Sharifah Aini, dia juga seorang yang sangat aktif dan tidak suka duduk diam saja di rumah sejak dulu.  "Maklumlah, saya tidak menyanyi setiap hari.  Justeru, apabila tidak terikat dengan undangan persembahan, saya memberi tumpuan pada perniagaan hiasan dalaman yang diceburi secara sambilan termasuk menghias kediaman sendiri dan pelanggan.  Mungkin ramai yang tidak tahu saya pernah menghadiri kursus dan mempunyai sijil dalam hiasan dalaman pada 1994. Cuma satu saja lagi perkara yang belum diceburi iaitu bidang fesyen," katanya.

Mengenai perkembangan terkini albumnya itu, Sharifah Aini berkata, setakat ini, ia sudah siap 50 peratus.  "Pihak kami sudah mempunyai 40 lagu yang bakal dimuatkan dalam kedua-dua album itu nanti.  Saya juga bercadang tampil dengan single terlebih dulu sebelum tampil dengan album penuh yang direncanakan," katanya.

Sharifah Aini ditemui ketika sidang media sempena persembahan makan malam, An Evening With Datuk Sharifah Aini di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, baru-baru ini.  Hadir sama, Pengarah Jualan Hotel Concorde, Nordin Ismail; Pengurus Saloma Bistro & Restaurant, Mohd Yazid Aziz; Pengarah Urusan Cosmic Silk, Zakir Hussain; Pengarah Urusan Nacee Event, Noranizah Che Ee dan Pengarah Urusan Lime Event, Shameem Faiz.

Bercerita lanjut mengenai persembahan makan malamnya nanti, Sharifah Aini berkata, dia juga tidak merancang untuk buat sebarang gimik pada persembahannya nanti.  "Saya sudah 40 tahun bergelar anak seni dan pada masa sama sudah pun merakamkan lebih 1,100 lagu dan mempunyai 11 album Inggeris.  "Justeru, bersandarkan pengalaman luas itu, saya lebih suka berkomunikasi dengan penonton mengenai perjalanan kerjaya seni saya di persada seni tanah air.  Persembahan itu juga membabitkan tempoh selama satu jam 45 minit.  Namun, saya sedar masa diperuntukkan tidak mencukupi.  Saya juga akan pastikan menyediakan beberapa lagu sebagai tambahan untuk peminat nanti," katanya.  Sharifah Aini berkata, dia juga bekerja keras membuat persiapan bagi menjayakan persembahan makan malam itu nanti.

"Saya sudah menyenarai pendek lagu yang akan disampaikan nanti.  Saya juga berhasrat mengundang pelawak Dee ke pentas untuk sama-sama menyemarakkan petang yang cukup bermakna buat peminat saya.  Dari segi repertoire lagu, saya bakal menyampaikan rangkaian lagu popular dari penghujung 60-an, 70-an dan 90-an sehingga sekarang.  Persembahan saya membabitkan lebih empat segmen dan juga akan membuat persembahan lebih banyak rangkaian lagu secara medley.  Barisan pemuzik yang mengiringi persembahan saya nanti ialah Syed Sobrie dan tiga gitaris sebagai pemuzik latar.  Sebagai penghibur, sudah pasti saya menjanjikan yang terbaik buat semua peminat setia," katanya.

An Evening With Datuk Sharifah Aini akan berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada jam 8 malam, 17 Julai nanti.

Tempahan meja membabitkan harga RM2,000, RM2,500, RM3,000, RM5,000 dan RM10,000.  Manakala bagi individu ialah RM200, RM250, RM300, RM500 dan RM1,000 untuk seorang.

Untuk tempahan dan pertanyaan, sila hubungi penganjur projek Nora (016 2252970), Shameem (019 3488054), Mas (016 2631303) dan Eja (016 252 9995).