PERKAHWINAN SAYA PUN TAK KEKAL SEBAGAIMANA BERTAHANNYA SAYA BERSAMA SYARIKAT RAKAMAN

oleh Nor Asmah Zakaria  (HAI: 11 September 1999)

Ratu seni suara negara, Sharifah Aini membina sejarahnya yang tersendiri apabila muncul sebagai artis rakaman yang paling lama dan setia dengan sebuah syarikat rakaman.  Pembabitannya dalam bidang seni bersama syarikat rakaman EMI bermula sejak tahun 1969 lagi.  Ini merupakan satu kejayaan yang tidak pernah dikecapi oleh artis lain dalam industri muzik tempatan.  Malah ramai yang bertanya-tanya apakah resipi atau petua yang diamalkan oleh Malaysia First Lady Of The Song itu sehingga mampu bertahan selama 30 tahun bersama EMI.

"Kak Ani menyambut ulangtahun ke 30 bersama EMI ...  Tapi malangnya, perkahwinan Kak Ani sendiri pun tak kekal sebagaimana bertahan dan setianya Kak Ani bersama syarikat rakaman.  Sebab kak Ani dapat bertahan dengan EMI ialah "I don't sleep with EMI. I slept with my husband.  Jadi segala asam garam dalam rumahtangga Kak Ani, mereka tak campur," seloroh Sharifah Aini yang mendapat sorakan ramai.  Artis versatile itu sebenarnya sudah dua tahun hidup solo setelah mendirikan rumahtangga hampir 16 tahun dengan seorang VIP.  "Kak Ani masih 'single' lagi.  Tak ada yang special.  Mungkin dalam tempoh dua atau lima tahun lagi ... kalau ada jodoh Kak Ani, adalah.  Kalau nak cakap kawan tu memanglah ramai.  Special tu memang tak ada lagi."

"Dalam karier Kak Ani, Kak Ani meletakkan tempoh lima tahun lagi.  Mana tahu dalam tempoh itu Kak Ani dah berkahwin.  Kak Ani ni ... macam orang lain juga mempunyai harapan dan impian untuk mencapai kebahagiaan dan kesempurnaan dalam hidup.  Anak-anak Kak Ani dah membesar.  Satu masa nanti mereka pasti akan meninggalkan kita.  Dalam hal ini, Kak Ani bukan sahaja memerlukan seorang lelaki yang bergelar suami.  Tetapi suami yang boleh menjadi sahabat dan kekasih yang dapat membahagiakan Kak Ani.  Kak Ani juga nak melihat kejayaan anak-anak dalam akademik.  Yang utama adalah didikan agama.  Kak Ani mempunyai lima orang anak angkat, dua lelaki yang kini berada di Jordan dan Madinah.  Mereka kini hafiz al-Quran dan mengambil undang-undang syariah.  Kedua-duanya berusia antara 19 dan 21 tahun.  Yang selebihnya ialah tiga orang anak perempuan yang berusia dalam lingkungan umur 7, 12 dan 14 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM)."  Jelas Sharifah Aini yang mempunyai cita-cita yang terbaik untuk anak-anaknya.

RESEPI BERTAHAN BERSAMA EMI

Apabila ditanya kenapa dia masih setia bersama EMI, Sharifah Aini memberitahu bahawa di antara mereka sudah terjalin persefahaman yang telah sekian lama.  "Antara kami memang ada banyak persefahaman.  Give and take ... If I have problems with EMI, I don't go to to the press.  I sit with them.  Apa yang saya suka ataupun yang tak suka kami akan bincang bersama sehingga mendapat kata putus.  Bergaduh dan berdamai itu adalah perkara biasa.  Malah permintaan saya juga ada 'reasonable'.  Kalau orang nak kata Sharifah Aini anak emas EMI?  It comes naturally to get a long time.  Absolutely, I give them a lot of money.  Kalau Kak Ani tak bawa duit kepada syarikat dah tentu dia orang tak simpan Kak Ani.  Selain itu, Kak Ani perlu 'versatile' ... 'repertoire' yang Kak Ani bawa adalah kelebihan kepada Kak Ani.  Kalau Kak Ani menyanyi satu 'side' irama saja dah tentu Kak Ani tak kekal.  Yang penting sebenarnya adalah bakat, 'hardwork', 'determination', 'patient and confident'.  Pasti akan membawa kejayaan.

"Kontrak Kak Ani bersama EMI ada lima tahun lagi.  Kak Ani mengharapkan 'five good years, I hope ...'  Susah juga nak cakap sama ada Kak Ani akan berhenti menyanyi dalam tempoh itu.  Kemungkinan itu ada, sebabnya mentaliti masyarakat kita berbeza dengan Barat.  Di Barat orang boleh terima Barbra Streisand.  Ditambahkan pula penduduk di sana ramai.  Pembeli albumnya juga banyak.  Industri hiburan kita kecil dan kuasa belinya tak sama di Barat.  Di Barat orang tak kisah fasal umur.  Tapi di sini umur menjadi batu penghalang untuk terus bergiat aktif," jelas penyanyi yang awet muda itu.  Rahsia kejelitaan Sharifah Aini ialah dengan meminum banyak air mineral dan air akar kayu.

EMPAT ALBUM SEMPENA ULANGTAHUN

Bersempena dengan ulangtahun ke 30 Sharifah Aini bersama syarikat rakaman EMI, dua album kompilasi istimewa akan dipasarkan dalam tempoh selang sebulan.  Album kompilasi klasik Melayu yang berjudul 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia' telahpun berada di pasaran pada awal September lalu.  Manakala album popnya akan muncul di pasaran pada Oktober depan.  Album 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia' memuatkan 19 lagu Melayu Klasik Popular yang mempunyai pelbagai rentak asli, joget, inang, masri, keroncong, zapin dan deli.  Lagu-lagu dalam album ini merangkumi tiga zaman iaitu 70an, 80an dan 90an.  Antara lagu itu ialah 'Seri Dewi Malam', 'Seri Mersing', 'Airmata Kasih', 'Teratai', 'Bunga Tanjung' dan 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia'.

"Lagu 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia' hasil ciptaan kumpulan KRU yang dimuatkan dalam album 'Silat Lagenda' telah digubah semula oleh komposer Eddie Marzuki.  Manakala album kompilasi pop itu pula Kak Ani akan menyanyikan sebuah lagu yang amat istimewa khusus buat para peminat.  Hasrat Kak Ani nak berduet dengan artis baru dalam lagu itu tidak dapat dibuat kerana beberapa masalah yang tak dapat dielakkan.  Buat masa ini, biarlah lagu istimewa itu menjadi rahsia dulu.  Album Hari Raya pula akan menyusul tak lama lagi.  Ini akan diikuti dengan sebuah album baru, apabila menjelang millenium nanti.  Dalam album terbaru itu, Kak Ani akan mendendangkan lagu Arab, Inggeris dan Melayu.  Rakaman untuk album terbaru itu akan dibuat tak lama lagi.  Buat masa ini kak Ani tak pasti penerbit albumnya lagi," jelas Sharifah Aini yang mahu membangunkan industri muzik tempatan tanpa meminta sebarang gelaran.

Sementara itu, Pengarah A & R EMI, Arzmy Mohamad memberitahu, kemungkinan pihak syarikat akan memberi hadiah kepada biduanita itu.  "Hadiah itu kemungkinan akan diberi pada masa yang tepat.  Hadiah yang bakal diberi itu pasti akan digunakan seumur hidup oleh Sharifah Aini.  Hadiah itu mungkin bukan dalam bentuk material.  Rasanya tak 'surprise'lah kalau saya beritahu sekarang.  Tengoklah sama ada company nak bagi," jelasnya bahawa konsert solo Sharifah Aini akan dibuat pada tahun depan.

MENYANYI DI RESTORAN berputar

Jika Syafinaz merupakan artis pertama yang membuat persembahan di Restoran Berputar Seri Angkasa di Menara Kuala Lumpur dan dicalonkan sebagai artis pertama membuat persembahan secara live di restoran tertinggi di Malaysia dalam Malaysia Book of Records.  Penyanyi legenda, Sharifah Aini turut akan mengadakan persembahan di restoran tersebut pada 10, 11, 17 dan 18 September ini.  Persembahan makan lewat malam itu dikenakan bayaran sebanyak RM65++ seorang.

"Buat pertama kalinya Kak Ani akan menghiburkan para peminat di restoran.  Selama ini Kak Ani memang tak pernah buat show macam tu.  Show tu pula dibuat pada waktu 'supper' yang berlangsung lebih 40 minit di antara pukul 10.30 hingga ke 1.00 pagi.  Biasanyalah, kalau nak diikutkan pada waktu begini Kak Pah dah pun tidur.  Kak Ani macam 'baby dolphin' ... tidur awal.  Tapi disebabkan peminat, Kak Ani akan mencuba yang terbaik mungkin.  Persembahan Kak Ani pada lewat malam itu akan diiringi oleh pemain piano.  Kak Ani juga akan beramah mesra dengan para peminat dengan pergi dari meja ke meja.  Selama ini, Kak Ani tak pernah buat show macam ni ...  Kak Ani 'looking forward for this show'.  Dalam show itu Kak Ani akan mendendangkan lagu-lagu hit dari album Kak Ani.  Persembahan pada setiap malam adalah berbeza.  Kak Ani akan cuba mempelbagaikan lagu-lagu mengikut 'audience' yang datang," jelas penyanyi yang terlalu mencintai karier seninya itu.