Kian Berusia Semakin Berharga

'Dengarnya ...' oleh 'Normah Becok'  (Berita Harian: Khamis, 12 November 2009)

 

 

AMBOI!  Tak habis-habis kawan sepejabat Cik Normah bercakap fasal persembahan Datuk Sharifah Aini di Singapura minggu lalu.  Cik Normah tahulah dia bertuah sebab dapat tengok konsert itu.  Cik Normah memang nak ikut sama, tapi suami tak izinkan sebab ada hal keluarga yang perlu didahulukan.  Kawan Cik Normah itu cakap, dek keasyikan mendengar suara biduanita berumur 55 tahun itu sampai terbawa-bawa ke tidur.  Sampai macam itu sekali!  Tapi mendengar cerita kawan Cik Normah yang mengatakan seramai 8,000 yang hadir ke Stadium Tertutup di Kallang itu, membuatkan Cik Normah agak terkesima.  Iyalah, kalau nak ikutkan standard penyanyi kita, semakin tua, semakin sukar menarik peminat atau penggemar muzik untuk menonton persembahan.

Sebaliknya, penyanyi yang mesra dengan panggilan Kak Pah itu membuktikan semakin tua dirinya, maka semakin 'mahal' pula.  Itu baru di negara orang.  Cik Normah tunggu mampukah Kak Pah menarik perhatian lagi, kalau konsert dalam skala besar diadakan di negara kita pula.  Kalau ada, Cik Normah pun rasanya tak nak ketinggalan menonton persembahan Kak Pah.  Tak dinafikan kelunakan suara Kak Pah memang cukup mantap.  Penyanyi angkatan baru pun belum tentu mampu menyanyi seperti Kak Pah.  Malah ada juga yang selalu lupa lirik.

Cik Normah diberitahu lagi oleh teman sepejabat, rambut asli Kak Pah sebenarnya sangat cantik.  Mungkin selepas ini, Kak Pah boleh tampil membuat persembahan tanpa menggunakan rambut palsu.  Daripada gambaran yang diberitahu teman sepejabat Cik Normah, sekali pandang memang Kak Pah cukup meletup dengan rambut aslinya.

Penyanyi angkatan baru sepatutnya menjadikan Kak Pah sebagai contoh terus bergerak jauh.  Tak guna kalau ada suara baik sekalipun, tapi perangai tak senonoh.  Entahlah, makan pengat sendiri mahu ingatlah.  Betul, artis pun manusia biasa, tapi ada akal yang boleh fikir, janganlah sampai tak sedar diri membuat perkara yang boleh menjatuhkan martabat diri sendiri.  Nampaknya, selepas konsert di Singapura, Kak Pah perlu membuat tumpuan untuk persembahannya bersama Adibah Noor dan Anuar pada bulan depan pula.  Kalau macam ini, Kak Pah memang tak betah duduk diam.  Tak apa Kak Pah selagi boleh, lakukan sebaik mungkin.