ATAI mengenang datuk sharifah aini

'Sudirman Dalam Ingatan' oleh Razman Azrai Zainudin (Atai)  (URTV Edisi 867, 15–31 Ogos 2014)

 

Pada 5 Julai 2014, kita telah kehilangan sebutir permata dalam persada seni tanahair.  Putaran muzik di Malaysia bagaikan terhenti apabila Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar diberitakan telah kembali ke Rahmatullah pada hari Sabtu, pukul 1.26 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hosiptal Pakar Damansara.

Terpinga Atai seketika sewktu mendapat berita yang amat menyedihkan itu melalui internet pada pukul 2.30 pagi itu.  Atai diselebungi kesedihan apabila memikirkan seseorang yang rapat dengan Cokman, yang berkongsi suka duka dengan Cokman telah pergi buat selama-lamanya.  Kelunakan suaranya meletakkan beliau sebagai legenda in her own right.  Bagi Atai, Allahyarham adalah Biduanita Negara yang amat unik yang sukar dicari ganti.  Atai rasa agak bertuah kerana berkesempatan mengenali Sharifah Aini melalui hubungan mesra beliau dengan Cokman.  Kemesraan mereka berdua Atai lihat adalah umpama adik dan kakak.

Mereka saling bantu-membantu dalam menyelesaikan masalah peribadi.  Atai dapat rasakan betapa Sharifah Aini menyayangi Cokman kerana setiap kali Cokman murung kerana dilanda oleh ‘kata-kata buruk’ di dalam akhbar, Sharifah Ani akan menghubungi Cokman melalui telefon bagi melonjakkan semagat Cokman.  Itulah Sharifah Aini. 

Jika kita hayati kelunakan dan setiap baris lagu nyanyian Sharifah Aini dengan mendalam, Atai rasa memang tiada siapa yang boleh menandingi kehebatan nyanyiannya.  Ini kerena dia mempunyai ruangan vokal yang luas, suara yang lunak merdu dan teknik nyanyian yang tersendiri.  Lagu-lagunya semua malar segar atau evergreen.  Lagu seperti Kisah Yang Lalu, Kuda Ku Lari dan Seiring Dan Sejalan (duet bersama Broery Marantika) sangat Atai minati sehingga hari ini.

Sharifah Aini merupakan ‘senior’ Cokman dalam industri muzik.  Ketika Cokman menjuarai Bintang RTM tahun 76, Sharifah Aini pada ketika itu telah pun tersenarai di lima tangga teratas Artis Paling Popular di Asia.  Biarpun namanya agak besar ketika itu tapi Sharifah Aini tidak lokek untuk berkongsi pengalaman.

Yang amat disenangi oleh semua lapisan masyarakat ialah hakikat Sharifah Aini memiliki budi pekerti yang amat tinggi, tutur bahasanya amat halus apatah lagi beliau tidak sombong malah suka membantu dan membela nasib rakan-rakan artis, baik yang tua mahupun yang muda.  Memang sukar untuk kita menemui seorang insan yang sungguh istimewa seperti dirinya.  Pada awal kerjaya Cokman dalam dunia seni, Datuk Sharifah Aini tanpa merasa ‘kebesaran dan kehebatan dirinya’ telah menerima Cokman sebagai rakan dan sering memberi galakan dan kata-kata perangsang kepada Cokman.

Mereka berkesempatan menghasilkan lagu berduet seperti lagu Mak Inang Melayu.  Biarpun dijulang sebagai Biduanita Negara namun beliau tetap bersikap merendah diri dan tidak pernah menolak untuk berduet dengan penyanyi baru.  Sharifah Aini juga pernah berduet dengan Too Phat dalam lagu Anak Ayam.  Terpegun Atai apabila teringat kata-kata Cokman, "Kalau nak pandai menyanyi kena pandai membaca Al-Quran".  Kata-kata Cokman itu disandarkan kepada pemerhatiannya terhadap kebolehan Sharifah Aini mengaji Quran dengan amat baik.  Alunan suara bacaan Al-Quran telah diamalkan sewaktu mengalunkan suara dalam lagu-lagunya.

Kelebihan Biduanita ini tidak terbatas kepada bidang nyanyian tetapi yang paling utama, pada pendapat Atai, adalah keperibadiannya.  Beliau seorang insan yang mempunyai hati yang luhur, murni, ikhlas dan amat prihatin terhadap masyarakat.  Beliau tidak pernah gagal menghulurkan tangan untuk membantu sesiapa yang memerlukan bantuan atau pertolongan.  Ketika dalam keadaan kesempitan wang juga beliau tetap berikhtiar menghulurkan derma kepada yang memerlukan.  Itulah yang diceritakan oleh Cokman kepada Atai.

Dari situ Atai dapat faham kenapa Cokman juga mengamalkan perkara yang sama.  Atai percaya bahawa ramai yang telah membaca kisah hidup biduanita ini.  Kesusahan dan kesempitan yang telah diharunginya pada awal penglibatan dalam dunia seni, bagaimana beliau hanya mendapat bayaran dalam bentuk makanan untuk sesuatu persembahan nyanyiannya.  Namun beliau menerima apa adanya dengan seikhlasnya.

Rezeki semuanya datang dari Allah SWT.  Berkat ketabahan dan kesabarannya akhirnya Sharifah Aini berjaya menjadi penyanyi dan penghibur yang sangat disegani sehingga digelar sebagai Permata Negara oleh kerajaan.  'Sharifah Aini is the The Royalty Singer’ kata Cokman pula yang menganggap Biduanita ini sebagai penyanyi bermartabat tinggi.  Pada tanggapan Atai, Sharifah Aini adalah penyanyi idola Cokman, 'Diana Ross Malaysia' katanya.

Biasanya, pada waktu lapang, sambil menonton televisyen, Cokman suka membuka cerita tentang artis.  Atai masih ingat, pada suatu ketika dahulu, Cokman sering bercerita tentang Sharifah Aini.  Apabila Sharifah Aini muncul di kaca televisyen, Atai akan bertanya, ‘Apa cerita Cokman dengan Sharifah Aini?’  Cokman menjawab “Atai, Sharifah Aini is like my dear elder sister who would fight to the end and defend me … a true friend.”

Cokman banyak bercerita tentang kesusahan yang mereka lalui bersama sebaga anak seni.  Mereka pernah membuat persembahan bersama dan mendapat bayaran dalam bentuk syiling yang dikutip daripada penonton yang hadir dalam persembahan mereka.  Alangkah terperanjatnya mereka apabila penganjur menyerahkan bayaran berupa karung guni yang berisi dengan duit syiling.  Cokman memberi isyarat kepada Sharifah Aini supaya membiarkan Cokman mengambil karung guni itu bagi pihaknya.  Pada malam itu juga Cokman membawa pulang karung guni ke rumah Sharifah Aini.  Ketika menceritakan peristiwa ini Cokman tersenyum.  Apa yang difikirkannya, tidak pula Atai tahu.  Atai terlalu kecil untuk memahami.

Atai dapat merasakan Sharifah Aini memang amat sayangkan Cokman.  Begitulah juga Cokman amat sayang dan menghormati Sharifah Aini.  Mereka sering berkongsi airmata dunia seni yang penuh dengan pelbagai cabaran dan duri-duri perjalanan.  Rasa sayang Datuk Sharifah Aini terbukti apabila beliau sering memastikan Cokman turut serta dalam persembahan yang ditawarkan kepadanya.  Beliau mahu memimpin serta mengajar Cokman tentang selok-belok pertunjukan dan tawar-menawar dalam urusan bayaran.

Sharifah Aini mahu supaya Cokman berjaga-jaga agar tidak menjadi mangsa penipuan.  Nasihatnya pada Cokman, "Kadang-kadang rakan artis seperjuangan kita pun tidak boleh nak dipercayai sepenuhnya.  Di depan kita ia baik tetapi di belakang kita dia tikam kita dan menjadi musuh kita."  Sharifah Aini juga merupakan sahabat Cokman yang lantang bersuara membela tohmahan terhadap Cokman.  Allahyarham pernah suatu ketika bangun menempelak penganjur yang memperlekeh Cokman dengan mengatakan Cokman tak sehebat mana dan tidak perlu diberi layanan VIP.  “Do you know that Sudirman is a treasure you will never understand!” jeritnya kepada penganjur berkenaan.  Justeru itu, tak hairanlah Cokman menganggap Sharifah Aini sebagai kakaknya sendiri.

Setelah Cokman tiada, Sharifah Aini tidak pernah gagal untuk hadir ke majlis tahlil arwah Cokman.  Kedatangannya bukan mempunyai apa-apa agenda ataupun muslihat.  Cuma untuk memberi sedikit sedekah yang Atai hargai sangat-sangat.  Apabila beliau muncul, beliau mencari sudut yang sunyi di halaman rumah kami dan duduk menyendiri.  Atai pula segan dan tidak berani menegurnya melainkan mengucapkan terima kasih ke atas kehadirannya.  Yelah, Atai memang segan nak menegur mereka yang Atai anggap mempunyai kedudukan yang tinggi martabatnya.  Tetapi keluarga Atai yang meminatinya memang tak segan silu.  Setiap ahli keluarga kami akan menegur beliau dan mengambil peluang untuk bergambar dengannya,.  Sharifah Aini ikhlas hadir sebagai tanda kasih kepada arwah Cokman sambil menyedekahkan doa selamat untuk Cokman.  Kami sekeluarga amat berterima kasih kepadanya.

Di sini, Atai ingin mengakhiri artikel ini dengan mengambil satu petikan daripada buku Cokman iaitu Dari Dalam Sudirman.  Di dalam artikelnya yang bertajuk ‘Kematian Orang Yang Dikasihi Dan Kita’, Cokman menulis; Erti kematian bukanlah pengakhir cerita bagi yang pergi.  Kasih sayang yang diberi sewaktu hdupnya akan menjadi panduan dan tiupan semangat bagi mereka yang masih hidup.  Seperti kasih sayang mak saya dan ayah saya.”

Atai sungguh berasa kesal dan rugi kerana tidak berkesempatan berkongsi cerita Atai dengannya.  Namun Atai akan selalu menyedekahkan doa Atai untuknya.  Atai ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga biduanita ini.  Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman.  Al-fatihah.