PERGINYA BIDUANITA NEGARA

'Gebang Syed' dikendalikan oleh Syed Mussaddad Syed Mahdi  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 6 Julai 2014)

Pagi semalam (Sabtu) Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya pada usia 61 tahun.  Dia meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi di Pusat Perubatan Pakar Damansara, Kuala Lumpur akibat fibrosis paru-paru.

Memang sejak berberapa bulan lalu kesihatan Allahyarham yang mesra disapa Kak Pah ini semakin merosot.  Namun awal minggu ini industri hiburan negara dikejutkan dengan berita Kak Pah dimasukkan semula ke hospital apabila dia mengalami kesukaran bernafas.

Mujur ketika itu anak tunggalnya, Aliff Omar Ali ada lantas membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.  Terdahulu pada Mei yang lalu Kak Pah pernah dirawat di hospital hampir sebulan akibat jangkitan virus influenza A (H1N1).

Allahyarham sendiri memberitahu mengenail hal tersebut dalam laman sosialnya.  Rentetan daripada itu beliau sering berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Allahyarham yang baru menyambut ulangtahun kelahirannya pada 2 Julai lalu dikesan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lalu dan keadaannya semakin membimbangkan apabila bahagian paru-parunya dijangkiti kuman.  Salam takziah Syed ucapkan buat keluarga Allahyarham dan semoga rohnya dicucuri rahmat

Al-Fatihah

SYED:  Masih terkenang-kenang keenakan masakan Allahyarham Sharifah Aini ketika berkunjung ke rumahnya satu ketika dahulu.

Artikel lain yang berkaitan:

  Ibu Ampunkan Salah Silap Kak Pah (Mingguan Malaysia: Dalam Negeri – 6 Julai 2014)

  Pulangnya Biduanita Sepanjang Zaman (Mingguan Malaysia: Rencana – 6 Julai 2014)