PERGINYA BIDUANITA NEGARA: kehilangan sebutir bintang oleh Rudy Imran Shamsudin (Metro Ahad: Setempat – 6 Julai 2014) |
Penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Seri Dewi Malam itu disahkan doktor menghidap penyakit fibrosis paru-paru dua tahun lalu dan sering keluar masuk hospital bagi mendapatkan rawatan. Sebaik selesai dikebumikan, Aliff yang ditemui media mewakili ahli keluarga merakamkan terima kasih kepada mereka yang sudi menziarah dan bersyukur kerana urusan berjalan dengan lancar. "Saya ingin memohon maaf bagi pihak ibu jika ada salah silap dan halalkan makan minum. Saya juga mengharapkan semua orang mendoakan yang baik-baik untuk arwah ibu," katanya. Sementara itu ibu kandung Sharifah Aini, Sharifah Noor, 80, sewaktu ditemui berkata, dia tidak menyangka anaknya akan meninggalkannya terlebih dulu, memandangkan keadaan dirinya yang juga sedang uzur. "Memang situasi kami anak-beranak tidak sihat. Saya mempunyai masalah jantung dan paru-paru. Saya tahu Aini tidak sihat selepas dia beberapa kali keluar masuk hospital sehinggalah minggu lalu sepupunya yang tinggal bersamanya menghubungi memberitahu dia koma. Saya datang melawat dengan suami sepanjang minggu lalu dan sewaktu memegang tangannya saya berkata yang dia sayangkan saya dan begitu juga saya sayangkan dia. Waktu itu Aini hanya mengangguk lemah," katanya.
Bekas suami Allahyarham, Ali Bakar yang ditemui sewaktu upacara menyembahyangkan jenazah di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail berkata, sebelum menghembus nafas terakhir arwah ada menyatakan amanah terakhir yang disampaikan kepada Aliff, namun ia terlalu peribadi untuk dikongsi dengan umum. "Saya sempat melawatnya di hospital, tetapi waktu itu dia sudah tidak sedarkan diri. Kami tidak dapat berkomunikasi. Kali terakhir kami berhubung setahun yang lalu. Namun, perkembangan mahupun status kesihatan dirinya saya tahu menerusi Aliff." "Ketiadaan Sharifah Aini bermakna kita kehilangan seorang bintang besar yang menghiburkan rakyat Malaysia hampir 45 tahun dan menyanyi sejak usia 16 tahun hingga akhir hayatnya. Dalam tempoh itu dia memberikan komitmen tinggi pada industri muzik tempatan. Waktu sama dia juga banyak membuat kebajikan dengan memberikan sedekah kepada anak yatim di samping membantu beberapa orang anak angkatnya," katanya. SITI NURHALIZA SEBAK KENANG SHARIFAH AINI Kuala Lumpur – Penyanyi popular tanahair, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tidak dapat menahan kesedihan apabila dilihat menangis sewaktu menziarahi jenazah Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail di sini, pagi semalam. Biduanita Negara itu menghembuskan nafas terakhir awal pagi semalam di Pusat Perubatan Damansara, selepas bertarung dengan penyakit fibrosis paru-paru dideritai hampir dua tahun.
Sebaik ditanya mengenai mengapa dia menangis, dengan perasaan hiba Siti menjelaskan dia terasa gembira dan terharu apabila pemergian Sharifah Aini berlaku di bulan paling mulia iaitu Ramadan. "Subhanallah, dia pergi dalam bulan mulia. Arwah banyak membuat kebajikan dan dia selalu memberikan kegembiraan kepada orang. Datuk Sharifah Aini seorang yang hebat. Saya meminatinya dan begitu juga arwah abah. Mengingatkan itu membuatkan saya berasa sedih atas kehilangannya," katanya. Pada tahun 2004, Sharifah Aini dituduh memfitnah penyanyi popular Siti Nurhaliza. Dia didakwa menyiarkan beberapa tuduhan tertentu yang memfitnah Siti Nurhazlia melalui e-mail kepada adik angkatnya Ahmad Shaharil Jamaluddin, pensyarah di sebuah kolej di Pulau Pinang, pada 24 Ogos 2004. Kes berkenaan berakhir dengan dibuang tanpa perbicaraan. Persengketaan yang berlaku ekoran peristiwa itu akhirnya dilupakan kedua-dua belah pihak apabila pada Ramadan 2010, kedua-dua artis terkenal ini ditemukan untuk satu sesi fotografi khas sempena Aidilfitri dan sempat bermaaf-maafan sekaligus mengakui sudah melupakan kisah lama yang berlaku dan meminta kepada semua pihak agar ia tidak diungkit kembali. Sebelum meninggal, Sharifah Aini sempat membuat permintaan untuk bertemu dengan beberapa pihak termasuk enam rakan artis iaitu Nassier Wahab, Herman Tino, Datuk DJ Dave, Fauziah Latiff dan bekas penyanyi utama kumpulan Lefthanded, Nash. Artikel lain yang berkaitan:
|