TOPIK MAKANAN ERATKAN HUBUNGAN

oleh Rozdan Mazalan  (BH: BH2 HIP Khamis, 10 Julai 2014)

RAKAN KARIB RASA BERTUAH PERNAH KENAL RAPAT DENGAN SHARIFAH AINI

"Lucunya setiap kali kami berjumpa kerana topik utama yang dibincangkan tidak lain ialah mengenai makanan," kata Datuk Khadijah Ibrahim ketika mengimbas kenangan manisnya bersama Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini.   Khadijah atau lebih popular dengan panggilan Khaty ialah antara rakan baik penyanyi malar segar berkenaan, yang menghembuskan nafas terakhir awal Sabtu lalu akibat penyakit fibrosis paru-paru.

Sambil bercerita, senyuman terukir pada wajah Khaty mungkin mengingatkan detik indah yang sempat mereka lalu bersama suatu ketika dulu.  Ia juga umpama luahan kerinduan penyanyi ini terhadap biduanita yang lebih empat dekad menghambakan dirinya pada dunia seni.  "Kak Pah memang suka makan dan janganlah ada yang cuba menipunya mengenai makanan kerana beliau memang tahu apa saja pasal makan.  Itulah, jika kami berjumpa, memang topik makanan sajalah yang kami bualkan.  Beliau tahu, selain bidang seni, saya juga pemilik restoran, jadi itulah cara beliau mengambil hati saya.

"Begitupun, saya terkilan kerana tidak dapat merealisasikan perancangan yang kami aturkan bersama untuk mengadakan majlis berbuka di sini (Khadijah's Kitchen, Petaling Jaya).  Jika diikutkan, hari inilah (kelmarin) kami sepatutnya berbuka bersama-sama, selain beberapa artis retro lain.  Saya tetap melaksanakan perancangan majlis berbuka ini walaupun tanpa kehadirannya bersama kita.  Setiap Ramadan, biasanya Kak Pak akan meminta pembantu rumahnya membeli makanan di sini dan antara makanan kegemarannya ialah sotong masak hitam, singgang ikan jenahak, kailan ikan masin dan bayam tauhu kering," katanya yang sesekali kelihatan sayu mengingatkan kembali kenangan bersama Sharifah Aini.

Tak Suka Bermasam Muka

Akui Khadijah, persahabatan umpama adik dan kakak terjalin antara mereka selepas berliau melihat bagaimana eratnya perhubungan abangnya, Latiff Ibrahim (arwah) bersama penyanyi Seribu Mawar itu.  "Saya mengenali Kak Pah pun menerusi Abang Latiff yang memang berkawan rapat dengan Kak Pah sejak dulu.  Atas sebab itu saya terlalu menghargai persahabatan mereka.  Ia juga umpama amanah bagi saya untuk menjaga nama baik abang.

"Begitu juga kata Kak Pah yang menyenangi persahabatan kami kerana beliau melihat saya tidak gemar bermasam muka dan mencampuri urusan peribadi artis lain.  Itu jugalah sifat yang ada pada Kak Pah.  Saya tetap mengingati pesannya, segala benda yang kita cari di dunia ini bukanlah boleh dibawa ke akhirat.  Beliau turut berpesan supaya kita memperbanyakkan amalan bersedekah kepada golongan memerlukan," katanya.

Peristiwa Lucu Jalinkan Persahabatan

Bagi Nassier Wahab, beliau cukup menghormati sikap biduanita terbabit yang tidak pernah memandang seorang artis dari segi pengalaman dan kedudukan untuk menjalinkan persahabatan.  "Saya sendiri pernah mengalami situasi yang agak melucukan sewaktu mula-mula hendak mengenalinya lebih dekat.  Ketika itu, saya dihubungi sesorang yang menggelarkan dirinya Ani.  Memanglah saya terkejut sebab tidak tahu Ani mana yang menelefon saya.  Dengan selambanya beliau berkata, "Akulah ni, Sharifah Aini, takkan tak kenal?  Situasi itu membuatkan saya tergelak dan akan sentiasa tersenyum apabila teringatkan kembali kejadian berkenaan.

"Sebenarnya sebagai seorang yang lebih junior, saya amat mengagumi bakat, kedudukan dan keperibadiannya.  Saya menghormatinya dan tidak sangka seorang yang berstatus sepertinya sering merendah diri berhadapan dengan sesiapa saja," katanya berbangga dapat mengenali penyanyi malar segar terbabit yang sudah dianggap sebagai kakaknya sendiri.

Tambah Nassier, Kak Pah juga menyenangi persahabatan yang terjalin erat antara mereka.  "Saya dapat berasakan keikhlasannya berkawan.  Setiap kali berjumpa saya, beliau pasti akan memeluk saya dan ada kalanya mencium-cium kepala menandakan dirinya merindu dan menyayangi saya," katanya.

Insan Pemaaf

Bagi Mas Omar yang pernah berkhidmat sebagai Pengurus Promosi Artis Bahgian Melayu EMI, beliau berbangga apabila ditugaskan menjaga penyanyi tersohor itu suatu masa lalu.  "Sebelum bekerja bersamanya, saya ialah antara peminat fanatiknya.  Sudah tentu saya terkejut apabila mendapat tawaran daripada EMI untuk menjaga bahagian promosi dan pemasaran untuk artis yang bernama Datuk Sharifah Aini.

"Saat berbangga diberikan amanah itu, saya sebenarnya takut kerana beliau nama yang amat besar dalam industri muzik.  Bagaimanapun, disebabkan minat yang begitu terhadapnya, saya akhirnya menjadi sangat sayang kepada kerjaya saya itu," katanya.  Mas Omar begitupun tidak dapat melupakan detik dirinya pernah bertegang lidah dengan penyanyi yang dianggap diva terbabit.

"Kejadian itu berlaku apabila kami bersama pengurusan EMI mengadakan mesyuarat untuk merangka strategi penjualan album Konsert Orkestra DBKL Bersama Datuk Sharifah Aini.  Saya memberikan keyakinan kepada EMI dan Kak Pah sendiri, kami mampu menjual album itu lebih daripada yang mereka sasarkan. 

"Dalam memastikan kerja saya boleh berjalan lancar, saya bertanyakan kepada Kak Pah, adakah beliau mempunyai masalah dengan pihak RTM?  Soalan itu menaikkan darahnya dan beliau terus keluar meninggalkan mesyuarat.  Saya pula tidak tahu situasi sebenar yang berlaku.  Selepas beberapa jam, Kak Pah menghubungi saya kembali dan meminta maaf di atas keterlanjurannya memarahi saya dalam mesyuarat.  Beliau meminta saya jangan memberitahu isteri saya mengenai pertengkaran berkenaan.  Dari situ, saya dapat mengenalinya lebih dekat.  Kak Pah orang yang pemaaf dan hatinya cepat sejuk walaupun ketika marah.  Sebab itulah beliau disenangi ramai orang," katanya.