BILA KENAL, SAYANG SEPENUH HATI

oleh Farihad Shalla Mahmud  (BH: BH2 HIP Selasa, 8 Julai 2014)

ADIK ANGKAT SHARIFAH AINI IMBAU KENANGAN BERSAMA BIDUANITA NEGARA

"Pemergian Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini, awal pagi Sabtu lalu meninggalkan kesan mendalam terhadap industri seni dan peminat.  Selain itu, mereka yang cukup rapat dengan penyanyi berkenaan juga amat terasa dengan kehilangan abadi terbabit.  Antara yang terkesan dengan pemergian permata seni Negara itu ialah adik angkatnya yang hanya mahu dikenali sebagai Rizal.

Mula mengenali arwah sekitar tahun 1996 ketika Sharifah Aini mengadakan konsert di Universiti Malaya, hubungan yang bermula sebagai artis dan peminat itu akhirnya bertukar menjadi seorang adik dan kakak.  Kekerapan Rizal mengikuti perkembangan penyanyi terkenal itu dan sering dilihat menghadiri konsertnya mengeratkan lagi hubungan mereka.

Jika anda antara teman rapat biduanita berkenaan yang tidak dapat menatap wajah penyanyi itu buat kali terakhir, Rizal ternyata beruntung kerana dapat berada di sisi Allahyarham sewaktu beliau menghembuskan nafas terakhir.  "Memang sedih, tetapi saya sangat berpuashati kerana dapat berada di sisinya pada saat-saat akhir.  Sebelum pergi, beliau ada memberitahu saya yang dirinya teringin untuk berjumpa beberapa artis.  Antaranya Datuk DJ Dave, Herman Tino, Fauziah Latiff, Nassier Wahab dan Nash.  Alhamdulillah, hajatnya tercapai apabila semua artis terbabit mengunjunginya di hospital," cerita Rizal kepada HIP.

Berubah Sikap Sebelum Meninggal

Tambah Rizal, penyanyi lagu Seri Dewi Malam itu bagaikan mengetahui ajalnya akan tiba berdasarkan perubahan sikap yang ditunjukkan olehnya.  "Sejak kebelakangan ini, sikapnya banyak berubah dan lebih ke arah positif.  Perubahan itu memang ketara dan saya dapat rasakan perkara itu," katanya.

Bercerita mengenai sikap Sharifah Aini sebagai kawan, Rizal berkata, penyanyi itu memang seorang yang sangat menyayangi mereka yang dekat dengannya.  "Kalau Allahyarham tidak mengenali seseorang itu, beliau memang susah hendak rapat, tetapi apabila sudah kenal, beliau akan memberikan sepenuh kepercayaan dan menyayangi mereka dengan sepenuh hati," katanya lagi.

Rizal mengakui mula meminati penyanyi itu sejak kecil dan disebabkan beliau banyak mengetahui lagu nyanyiannya, pandangan peribadinya sering dipinta setiap kali penyanyi terbabit ingin mengadakan persembahan.  "Kadang-kadang, saya sendiri memberinya idea lagu apa yang harus dinyanyikan.  Sebagai contoh, beliau jarang menyanyikan lagu Kasihku Yang Dulu, jadi saya mencadangkan agar beliau membawakan lagu itu apabila membuat persembahan," ujarnya.

Nak Jadi Penceramah Motivasi

Seorang lagi kenalan yang dianggap seperti adik oleh Allahyarham ialah pengusaha katering, Johari Johar.  Mula mengenali Sharifah Aini sejak tiga tahu lalu, menerusi laman Facebook, Johari menyifatkan penyanyi itu sebagai seorang yang mudah mesra dan tidak berkira.  "Kadang-kadang saya rasa segan juga apabila mahu menghantar makanan yang dipesan ke rumahnya. 

"Mengenali Sharifah Aini, beliau seorang yang sentiasa kemas dan berhias.  Saya tidak mahulah disebabkan kerana saya mahu datang, beliau terpaksa berhias.  Kalau ikutkan, saya hanya mahu letak makanan yang dipesan di depan rumah saja.  Beliau tidak suka saya berbuat begitu dan kalau boleh, beliau mahu saya masuk juga ke dalam rumah.  Begitulah sifatnya yang suka memuliakan tetamu," cerita Johari.

Lebih membuatkan beliau rasa sedih apabila hajat penyanyi kelahiran Johor Bahru itu untuk menerbitkan sebuah program masakan dan juga menjadi penceramah motivasi tidak kesampaian.  "Allahyarham pernah memberitahu saya dan teman-teman baiknya yang lain, beliau sudah tidak mahu menyanyi lagi.  Beliau teringin untuk menerbitkan sebuah program memasak yang disiarkan di laman YouTube.  Saya dan rakan-rakannya yang boleh memasak ini memang menyokong hasratnya itu.

"Selain itu beliau juga melahirkan impiannya untuk menjadi penceramah motivasi.  Perkenalannya dengan pakar motivasi, Prof Dr Muhaya Mohamad menguatkan lagi hasratnya.  Apakan daya, manusia hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan segala-galanya," ujarnya dalam nada sebak.  Awal pagi Sabtu peminat dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian Sharifah Aini akibat penyakit fibrosis paru-paru.  Jenazahnya dikebeumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sebelum waktu Zohor.

ALIFF tUTUP AKAUN FB IBU

"Akaun Facebook Datuk Sharifah Aini yang menghembuskan nafas terakhir, Sabtu lalu, ditutup anaknya, Aliff Omar Ali, selepas majlis pengembumian.  Difahamkan, Aliff berbuat demikian bagi menghormati arwah ibunya.

Sebelum kematiannnya, Biduanita Negara itu pernah meluahkan status di laman sosial peribadinya, seakan-akan memberi gambaran hayatnya bakal berakhir dengan meminta peminat menghadiahkan al-Fatihah sekiranya beliau meninggal dunia.  Sharifah Aini meninggal dunia di Pusat Pakar Damansara, Petaling Jaya, pada jam 1.26 pagi, Sabtu lalu, pada usia 61 tahun berikutan komplikasi pelbagai penyakit termasuk fibrosis paru-paru.