ALIFF TUNAI HAJAT IBU

oleh Farihad Shalla Mahmud  (BH: BH2 HIP – Isnin, 7 Julai 2014)

MAHU MENANTU MUSLIMAH SOLEHAH

Laman Facebook Allahyarham Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, 61, bukan saja menjadi medan mengeratkan tali silaturrahim bersama peminat.  Sebaliknya, laman sosial itu menjadi wadah bagi Biduanita Negara itu berkongsi maklumat, ilmu dan luahan perasaan terhadap anak tunggalnya, Aliff Omar Ali.  Sebagai ibu, tentunya perasaan rindu membuak-buak terhadap Aliff berikutan jejaka berusia 32 tahun jauh di mata menuntut ilmu nun di Madinah.

Justeru, apabila anak kesayangannya itu pulang bercuti, sudah tentu si ibu akan gembira.  Perasaan itu turut dikongsi Sharifah Aini dalam laman sosialnya termasuk rutin hairan dan butiran perbualannya dengan Aliff dalam soal agama serta kematian.  Dalam perbualan itu, seperti yang dicatat Sharifah Aini, penyanyi Seri Dewi Malam itu pernah meluahkan hasrat kepada Aliff supaya menjadi imam untuk soal jenazahnya.

Pesan Mami

"Dalam perbualan yang ringkas, saya tidak lupa memesan kepada Aliff, jika Allah izinkan, mami (panggilan Aliff terhadap Sharifah), ingin mati di pangkuan Aliff.  Jika Aliff ada di samping mami ketika mami menghembus nafas terakhir, mami ingin Aliff jadi imam untuk solatkan jenazah mami.  Mami akan tersenyum bangga," pesannya.

Ternyata, hajat Sharifah Aini dimakbulkan Allah apabila Aliff mengimamkan solat jenazah ibunya itu yang meninggal dunia awal pagi kelmarin di Pusat Rawatan Pakar Damansara, Petaling Jaya, akibat penyakit fibrosis paru-paru.  Jenazah kemudian dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, untuk penghormatan terakhir sebelum dikebumikan sebelum zuhur di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Petaling Jaya.

Pesanan Sebelum Ajal

Bukan saja menunaikan amanat untuk menjadi imam, malahan Aliff melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam beberapa pesan yang ditinggalkan ibunya.  Antara pesanan itu adalah:

"Jangan benarkan orang yang bukan ahli keluarga masuk melihat jenazah mami dimandikan.  Hanya Aliff, anak-anak angkat mami, kawan baik mami dan orang yang menguruskan jenazah.

"Jika mami sakit di hospital, jangan benarkan orang yang tidak dikenali masuk untuk mengambil sebarang gambar, jaga hijab mami.  Sekarang zaman moden, saya tidak reda gambar saya sakit masuk di internet," ujar penyanyi kelahiran Johor Bahru itu.

Mesej Sharifah Aini dalam Facebook itu tersebar semalam, dipercayai dimuat naik penyanyi berkenaan, tidak lama dulu.

Tidak Rosakkan Zuriat Dengan Wang

Sebagai ibu, doa Sharifah Aini terhadap anak hasil perkongsian hidupnya dengan bekas suami, Ali Bakar tiu tidak pernah putus.  Dalam coretannya itu, Sharifah Aini menitip nasihat berguna buat Aliff.  "Mami tak pernah rosakkan Aliff selama ini dengan wang ringgit.  Aliff pun bukan anak mata duitan.  Insya-Allah.  Sebagai ibu, mami sudah sediakan keperluan untuk kehidupan Aliff dan keluarga Aliff.  Mami tidak mahu Aliff berhutang.  Beli apa yang kita mampu saja.  Jangan sesekali membazir untuk keduniaan.  Mami sentiasa medoakan Aliff dipertemukan jodoh dengan Muslimah solehah yang dapat membimbing keturunan kita dengan baiknya," katanya.

Begitulah kasih sayang seorang ibu terhadap anak dan Sharifah Aini begitu beruntung kerana segala kasih sayang dan hasil didikannya selama ini menjadikan Aliff anak yang soleh dan bertanggungjawab.

Artikel lain yang berkaitan:

  Artis Ratapi Pemergian Kak Pah (BH: BH2 HP – 7 Julai 2014)

  Kak Pah Akan Sentiasa Dikenang (BH: BH2 HP – 7 Julai 2014)