TAK SABAR JUMPA PEMINAT oleh Zaidi Mohamad (Berita Harian: Isnin, 6 Julai 2009) |
Kontroversi terbaru yang tercetus di antara Datuk Sharifah Aini dan komposer S Atan tidak sedikitpun menggugat persiapan Biduanita Negara itu terhadap persembahannya pada 17 Julai ini di Dewan Perdana Felda. "Kak Pah masih boleh fokus dan memberi perhatian menyeluruh terhadap persembahan itu kelak. Apa yang berlaku tidak sesekali menggugat kekuatan dan semangat kak Pah untuk terus menghiburkan tetamu pada malam itu. Malah kak Pah bagaikan tak sabar untuk bertemu peminat," katanya ketika ditemui minggu lalu di Cosmic Silk yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Diberi nama An Evening With Datuk Sharifah Aini, persembahan bermula jam 8 malam itu adalah anjuran Nacee Events & Advertising dipadatkan dengan kerjasama Lime Events Management.
"Konsep busana yang Calvin reka lebih kepada gaya romantik dan setiap rekaan itu akan dipakai mengikut segmen persembahan yang ditetapkan. Besar kemungkinan juga kak Pah akan pakai dua busana sendiri. Apa-apapun di kesempatan ini, kak Pah ingin mengucapkan terima kasih kepada butik ini yang sudi bermurah hati menaja sekali gus melancarkan rangka perjalanan persembahan nanti. Selepas ini juga, kak Pah tidak akan teragak-agak untuk mengajak kawan untuk membeli kain di sini menjelang Ramadan," katanya yang sudah 40 tahun membabitkan diri dalam dunia seni. Mengenai pemilihan fabrik, kak Pah menjelaskan dia lebih suka memilih rona warna kain yang lebih lembut. Padanan warna yang bijak antara kunci terbaik untuk nampak anggun dan glamor di atas pentas. "Dengan saiz badan kak Pah ini, kak Pah harus berhati-hati dalam soal memilih fabrik dan warna pakaian. Silap percaturan, kak Pah mungkin akan menjadi mangsa fesyen pula. Untuk busana terutamanya yang akan dipakai ketika membuat persembahan, kak Pah selalunya memilih kain yang nampak cantik dan terletak supaya dapat menampakkan aliran busana yang akan dipakai," katanya.
Ketika berada di sana, Kak Pah dibantu Pengarah Urusan Cosmic Silk Sdn Bhd, Mohd Zakir Hussain dan staf butik itu yang setia melayannya. Menurut wakil butik itu iaitu Hanoliza Hashim yang bertindak sebagai Pengurus Bahagian, mereka berbangga dapat terbabit sama memastikan kelangsungan persembahan itu. Beroperasi sejak setahun di Jalan Tuanku Abdul, butik itu bukanlah nama asing di kalangan masyarakat setempat kerana sudah pun terbabit dalam dunia peruncitan sejak 20 tahun lalu. Pelawaan penganjur tidak sesekali ditolak, lalu, tanpa bersoal panjang kerjasama ini terus berjalan. Malah sejak sidang media persembahan ini diadakan di Hotel Concorde, Cosmic Silk sudah pun menaja barangan cenderahati seperti tali leher, skaf dan baucar pembelian untuk rakan media dan tetamu yang hadir. "Ini adalah langkah terbaik kami untuk mempromosikan jenama Cosmic Silk di mata umum. Dengan persaingan sengit di antara butik kami dan premis yang lain, inilah masanya untuk kami terus memperkenal dan memperluaskan legasi butik ini. Pemilihan artis untuk ditaja juga adalah strategi yang sering dipraktikkan syarikat tertentu untuk mempopularkan jenama atau produk. "Begitu juga dengan kerjasama julung kali yang terjalin di antara kami dan Sharifah Aini. Beliau di antara diva tersohor yang masih unggul dalam liganya yang tersendiri, lalu, kami berbangga dapat menjadi sebahagian cebisan untuk sejarah yang bakal tercipta kelak bersempena persembahannya. Kami juga tidak menyangka beliau sudi menerima tajaan kami," kata Hanoliza Hashim. INFO AN EVENING WITH DATUK SHARIFAH AINI
INFO COSMIC SILK
Artikel lain yang berkaitan:
|