'TIADA APA LAGI MAHU DIREBUT'

oleh Hanisah Selamat  (Berita Harian: Jumaat, 14 September 2007)

ANAK, RAKAN BUATKAN KEHIDUPAN DATUK SHARIFAH AINI BERMAKNA

Tanyalah apa saja, dari hal kerjaya, bisnes hingga perkembangan anak-anak, Datuk Sharifah Aini tidak lokek berkongsi cerita, malah pastinya sepanjang perbualan disulami jenaka mencuit hati.  Jelas kebahagiaan sentiasa melingkari kehidupan biduanita kesayangan ramai itu apatah lagi dalam usia hampir empat dekad pembabitannya dalam dunia seni, pelbagai onak duri sudah ditempuhi.

Biar gelora pernah menyinggahi kamar kehidupan, beliau reda, malah seteguk pengalaman getir itulah yang menjadikan dirinya semakin matang mengatur langkah.  "Dalam usia begini tiada apa lagi yang mahu saya rebutkan.  Saya bersyukur dikelilingi kawan-kawan dan anak-anak yang membuatkan hidup saya setiap hari begitu bermakna," katanya sambil tersenyum.

Biar lelah selepas menjayakan Konsert Muzika Arabia di Istana Budaya belum hilang, Sharifah Aini yang mesra dipanggil Kak Pah itu tidak menolak jemputan untuk merasmikan pembukaan bilik pameran Casa Impian di Jusco Home Centre, Damansara Utama.  Itulah Sharifah Aini, walau tidak cukup rehat atau sibuk dengan pelbagai agenda, beliau sukar mengatakan tidak malah berasa terharu jika kehadirannya ke sesuatu majlis membuatkan acara itu berlangsung seperti dirancang.

"Rasanya letih sepanjang persediaan dan hari konsert berlangsung lenyap dengan sendiri melihat sokongan peminat.  Saya sendiri kagum melihat yang datang bukan sekadar peminat tempatan malah warga asing juga tidak henti bergelek sama.  Saya terharu kerana pengorbanan untuk memastikan konsert itu memuaskan hati penonton cukup berbaloi.  Namun kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama semua pihak," katanya yang sempat mengalunkan dua lagu pada majlis perasmian bilik pameran terbabit.  Nyata aura penghibur tersohor itu begitu kuat, walaupun hanya dilatari muzik karaoke, lemak merdu suaranya tatkala mendendangkan Seri Dewi Malam menyebabkan bilik pameran dibanjiri pengunjung yang datang semata-mata mahu melihat biduanita itu dari dekat.

Bercerita perihal anaknya, Aliff Omar Ali yang kebetulan kembali semula ke Madinah pada 5 September lalu selepas tiga bulan bercuti, suara sedikit bergetar barangkali hatinya diusik pilu mengenangkan akan berjauhan semula dengan si buah hati.  Namun sebagai ibu yang ingin melihat si anak berjaya menggapai cita-cita, beliau reda tambahan pula walau jauh beribu batu kedua-dua saling berhubung dan bertukar-tukar cerita bagi melenyapkan kerinduan.

"Saya bersyukur dikurniakan anak-anak yang memahami.  Macam Aliff sendiri, ketika dia balik bercuti, saya sibuk dengan latihan untuk konsert tetapi macam selalu, dia dan adik-adiknyalah yang menyuntik semangat ini.  Walau sibuk, kami cuba mencuri-curi masa sekurang-kurangnya dapat makan bersama atau minum petang seisi keluarga sambil berbual," katanya yang tidak ketinggalan menyingsing lengan di dapur untuk menyediakan hidangan kegemaran anaknya itu.

Diusik mengenai usia anak bujangnya yang kini sudah mencecah 25 tahun dan 'sedang elok' mencari jodoh, senyumannya kembali berbunga malah akuinya beliau menerima siapa saja calon yang diperkenalkan.  "Tapi Aliff ada lima tahun lagi untuk menamatkan pengajian.  Kalau dalam tempoh itu dia mahu memperkenalkan seseorang, saya terima. Cuma jangan risau, tiada syarat untuk menjadi menantu saya dan saya juga tidak akan menjadi mentua garang," selorohnya.

Menyentuh mengenai persiapan Ramadan, katanya beliau lebih gemar bersederhana dalam segala hal kerana bulan puasa tidak semestinya perlu membazir menyediakan pelbagai juadah berbuka atau bersahur.  "Seperti biasa setiap kali Ramadan saya hanya menerima undangan ke majlis amal dan Insya-Allah tahun ini saya dan beberapa rakan akan bersolat tarawih secara giliran di masjid sekitar Lembah Klang serta Shah Alam.  Bukan apa, bukan bermakna setiap Ramadan saja kita patut menggandakan ibadah, cuma kita perlu mengambil keberkatan bulan mulia ini," kata penyanyi yang bakal tampil dengan album yang menampilkan 40 lagu popular berjudul Warisan: Irama Terindah Malaysia menerusi syarikatnya sendiri, Seri Dewi Productions.