Sambut uLang tahun bersama anak yatim

oleh Serimah Mohd Sallehuddin  (Berita Harian: Rabu, 2 Julai 2008)

Kak Pah lunas hajat adakan majlis tahlil doa selamat di surau baru bersama putera kesayangan

Tiada lain yang diharapkan penyanyi evergreen, Datuk Sharifah Aini sempena ulang tahunnya selain daripada mengharapkan keredaan Yang Maha Esa.  Meniti usia setengah abad, penyanyi itu juga tidak mengharapkan hadiah besar mahupun mewah.  Baginya cukup andai rezeki terus dimurahkan-Nya.  Dikurniakan kewarasan fikiran, kesihatan yang sentiasa baik serta amalan yang diterima, itulah antara perkara yang tidak pernah dilupakan penyanyi Bunga Tanjung ini setiap kali menghadap Yang Maha Esa.

Meraikan ulang tahunnya yang jatuh hari ini, penyanyi bersuara lunak ini memilih mengadakan majlis tahlil dan doa selamat saja di kediamannya di Petaling Jaya pada Jumaat lalu.  Lebih 100 anak yatim dari tiga buah rumah anak yatim iaitu Puchong, Kepong dan Subang serta rakan terdekat penyanyi itu diundang.

Bergaya sopan dengan tudung dan jubah serba hitam, Biduanita Negara itu atau lebih selesa menggelarkan dirinya sebagai Kak Pah berkata, setiap tahun dia tidak pernah gagal meraikan ulang tahun kelahirannya.  "Hajat Kak Pah untuk mengadakan majlis tahlil dan doa selamat dengan memanggil anak yatim tercapai juga akhirnya setelah surau di rumah Kak Pah siap.  Jemaah pada malam ini dipimpin oleh Ustaz Mahfuz.

"Bagaimanapun, setiap tahun Kak Pah tidak pernah gagal meraikan ulang tahun hanya dengan rakan rapat saja.  Kak Pah lebih sukakan majlis makan malam eksklusif daripada berparti kerana saya bukanlah orang yang gemar berparti," katanya yang gembira kerana anak terunanya Aliff, 26, dapat bersama meraikan hari lahirnya tahun ini.   Aliff yang menuntut dalam bidang syariah di sebuah universiti di Madinah kini sedang menjalani cuti semester selama tiga bulan.

Bergelar ibu, Kak Pah tidak mengharapkan hadiah mewah daripada anak-anaknya.  Walau hanya sekadar sekeping kad, ia sudah cukup membuatkan dia gembira.  Nilai kad itu katanya, begitu besar maknanya kerana ingatan anak-anak lebih penting dari hadiah.  "Kak Pah minta pada Allah supaya memberikan kesihatan dan kewarasan fikiran yang baik.  Lebihkan kesabaran, tingkatkan lagi keimanan dan ketakwaan Kak Pah serta dipanjangkan umur," katanya kala ditanya mengenai harapan dan impiannya sempena ulang tahun yang sudah mencecah lebih setengah abad.

Kepulangan Aliff nyata membawa sinar bahagia kepada insan bergelar ibu ini.  Malah, Kak Pah siang-siang lagi sudah memberitahu Hip, lebaran yang bakal disambut Oktober nanti lebih bermakna kerana dapat diraikan bersama anak bujang kesayangannya itu.  Lima tahun Aliff merantau ke negara orang, inilah kali pertama Kak Pah dapat meraikan bersamanya.  Bagaimanapun keseronokan itu hanya seketika kerana sehari selepas lebaran, Aliff akan pulang semula ke Madinah.

Ibu mana yang tidak sedih apabila berjauhan dengan anaknya.  Kata Kak Pah, setiap kali Aliff pulang ke Madinah dia akan menangis hampir setiap hari.  Mujur kecanggihan teknologi mendekatkan mereka, jika tidak berbual di telefon dua beranak ini akan bertanya khabar menerusi SMS saja.  "Siapa yang sudah bergelar ibu pasti tahu bagaimana perasaan ini.  Setiap kali Aliff balik semula ke Madinah, Kak Pah akan menangis selama dua bulan.   Selepas berbual dengannya di telefon pun, Kak Pah akan menangis.

"Hari raya tahun ini cukup menyeronokkan buat Kak Pah kerana dapat meraikan bersamanya," kata Kak Pah yang sudah bersedia menerima kehadiran orang baru dalam keluarga seandainya sudah tiba jodoh anak terunanya itu.  Siapa pun pilihan Aliff, Kak Pah tidak kisah.  Asalkan menantunya itu datang dari golongan yang baik ia sudah memadai.  Malah kata Kak Pah dia lebih seronok sekiranya Aliff bertemu dengan wanita yang menghafaz al-Quran.

Kak Pah, juga tidak akan menghalang sekiranya Aliff memilih untuk menetap di Madinah seandainya dia berkahwin satu hari nanti.  "Setakat ini, Aliff tidak pernah beritahu Kak Pah hasrat hatinya untuk berumah tangga.  Jika sudah sampai jodohnya, Kak Pah terima.  Kak Pah tidak kisah sekiranya Aliff memilih untuk menetap di tempat lain jika dia sudah berkahwin kerana sudah lima tahun kami berjauhan dan Kak Pah sudah biasa dengan keadaan itu.  Cuma Kak Pah berharap Aliff mendapat jodoh dari keturunan yang baik," katanya.

Kak Pah yang sudah lama tidak muncul di kaca televisyen mengakui rindu untuk beraksi kembali.   Katanya, dia ada menerima undangan tetapi terpaksa ditolak kerana ia jatuh pada hari ulang tahunnya.  Tidak lama lagi, penyanyi itu juga akan kembali sibuk di studio bagi merakamkan album baru.