SAMBUTAN ULANG TAHUN AMAT ISTIMEWA oleh Farihad Shalla Mahmud (Berita Harian: Jumaat, 13 Julai 2007) |
"Lazimnya Kak Pah mengadakan majlis sekali saja dan ketika itulah kawan rapat akan berkumpul dan meraikan bersama. Tapi kali ini jadual lari sikit kerana ada antara mereka orang korporat yang terpaksa ke luar negara atas urusan kerja. Jadi, Kak Pah terpaksa pecah-pecahkan hari untuk meraikan hari itu bersama mereka. Malam pertama Kak Pah bersama teman di kalangan media dan malam seterusnya bersama teman korporat Kak Pah. Cuma malam kelima saja Kak Pah diraikan mereka. Kak Pah adakan majlis itu di beberapa hotel yang berbeza. Inilah saat yang paling membahagiakan Kak Pah apabila semua kawan yang Kak Pah sayang, yang sanggup susah senang bersama Kak Pah sebelum ini ada bersama," katanya ketika dihubungi Hip, Rabu lalu. Biarpun tarikh hari lahirnya jatuh pada 2 Julai lalu, sambutannya sengaja dilangsungkan awal iaitu bermula 30 Jun untuk memberi peluang kepada semua sahabatnya meraikan bersamanya. Menurut si pelantun Seri Dewi Malam ini, majlis yang diadakan secara privasi ini berlangsung dalam suasana penuh meriah dan seperti yang dirancang.
Melangkah ke usia baru, anak jati Johor ini cukup positif dengan apa yang dilaluinya dan segala yang berlaku sama ada baik atau buruk, dijadikan pengalaman berharga untuk menempuhi kehidupan pada masa akan datang. "Apa yang boleh Kak Pah katakan, perjalanan hidup Kak Pah ini umpama memerah santan dan kini, Kak Pah mendapat patinya. Pati santan yang Kak Pah maksudkan adalah kawan-kawan yang selama ini cukup setia bersama Kak Pah, dalam susah atau senang. Kami masing-masing menjaga antara satu sama lain. Cukuplah dengan apa yang Kak Pah miliki ketika ini, kehidupan yang lebih tenang, kesihatan yang baik, anak yang sedang membesar serta dikelilingi sahabat sejati. Kak Pah tak perlukan sahabat baru kerana Kak Pah kini memang berjaga-jaga dalam soal menjalinkan persahabatan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali," ujarnya seraya mengucapkan syukur terhadap kurniaan Tuhan yang diterimanya selama ini. |