SUNYI TANPA ASRI

oleh Serimah Mohd Sallehuddin  (Berita Harian: Jumaat, 21 Ogos 2009)

Perbualan melalui telefon sebulan setengah lalu mengundang Allahyarham Mohd Asri Ibrahim untuk bersama-sama menyemarakkan kelas agama yang diadakan di kediamannya setiap Khamis rupanya perbualan terakhir Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini dengan penyanyi utama kumpulan Rabbani itu.  Allahyarham bagaimanapun tidak dapat memenuhi undangan penyanyi yang selesa membahasakan dirinya sebagai Kak Pah dengan alasan masalah kekangan waktu.   Bagaimanapun penolakan dibuat secara baik dan lembut barangkali tidak mahu mengecilkan hati tuan rumah.

Seakan masih baru perbualan antara mereka, tiba-tiba Khamis minggu lalu beliau menerima berita yang sukar dipercayai.   Berita kepulangan Asri ke Rahmatullah amat mengejutkan Kak Pah hingga membuatkan moodnya terjejas sepanjang hari.   Mungkin ramai tidak tahu biarpun berbeza aliran muzik namun mereka cukup akrab, persahabatan mereka sudah terjalin lebih 17 tahun lalu sejak Asri masih lagi bersama kumpulan Nada Murni.  Hubungan mereka tambah akrab apabila sama-sama bernaung di bawah syarikat rakaman EMI.

"Kak Pah terkejut mendapat berita Asri sudah meninggal dunia sehingga Kak Pah jadi bingung.  Kak Pah tak dapat terima kenyataan Asri sudah tiada sehinggalah apabila dia tiba di rumah keluarga Allahyarham barulah Kak Pah yakin yang dia memang benar-benar sudah pergi.  Kebetulan pada hari berkenaan Kak Pah terikat dengan rakaman program raya untuk RTM, jadi Kak Pah tak berkesempatan nak lari sekejap untuk menziarah jenazah.  Setelah selesai rakaman kira-kira jam 9 malam barulah Kak Pah dapat bergegas ke rumah Allahyarham.  Kak Pah terkilan sangat sebab tak sempat menatap wajah Asri buat kali terakhir.  Kak Pah mahu sangat berbuat demikian tetapi jadual Kak Pah ketika itu sangat ketat.

Membacakan selawat bersama ustaz dan pelajar tahfiz"Kak Pah memang terasa sangat pemergian arwah kerana kami sudah saling mengenali lebih 17 tahun.  Dulu arwah sering menghadiri tahlil dan kelas agama di rumah Kak Pah tetapi sejak Rabbani sibuk, arwah jarang dapat turut serta.   Bagaimanapun setiap kali kami terserempak di mana-mana, arwah tak pernah lupa bertanyakan khabar Kak Pah.  Arwah panggil Kak Pah dengan panggilan Kak saja, jadi apabila setiap kali kami terserempak dia mesti bertanya, Kak apa khabar?   Kak masak apa?  Itu antara soalan wajib yang ditanyakan arwah.  Bukan saja dengan Kak Pah, arwah juga akrab dengan Aliff.  Jika dia ke Madinah, dia tak lupa menghubungi Aliff dan belanja anak Kak Pah makan.  Kalau Aliff balik bercuti seperti tiga tahun lalu, arwah juga akan hubungi Aliff dan mengundangnya berbuka puasa di Hotel Singgahsana, tempah arwah menyanyi sepanjang bulan Ramadan," kata Kak Pah yang sukar melupakan kebaikan Asri yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri.

Oleh kerana sudah menganggap Asri seperti adiknya sendiri, Kak Pah sanggup mengadakan majlis tahlil di kediaman arwah tetapi dia tidak menganggap sumbangan itu dari seorang yang bernama Sharifah Aini sebaliknya daripada seorang kakak kepada adiknya.  Sepanjang mengenali Allahyarham, perkara paling membuatkan Sharifah Aini sukar melupakan Asri adalah kepada keperibadian mulia Ikon Nasyid itu.  Sikapnya yang bertimbang rasa dan tidak berkira adalah antara sikap terpuji yang cukup membuatkan Kak Pah kagum.

"Arwah seorang yang unik, dia bukan seorang yang mata duitan dan tidak pernah berkira soal bayaran.  Berapa pun yang diberikan penganjur dia akan terima dengan ikhlas tidak kiralah banyak atau sikit.  Kak Pah juga cukup terharu kerana pernah sekali penganjur tak mampu menyediakan bayaran sebaliknya hanya mampu memberikan duit minyak saja tetapi arwah tetap terima undangan berkenaan.  Kebaikannya betul-betul membuatkan Kak Pah terharu, dia langsung tidak berkira sebaliknya amat berbesar hati dapat membantu.

"Arwah juga seorang yang sangat tenang, sepanjang tempoh perkenalan kami, Kak Pah tak pernah dengar dia marah atau merungut.  Kata-kata yang keluar dari mulutnya semuanya lembut dan sangat berbudi bahasa.  Nampaknya selepas ini Kak Pah tidak berpeluang lagi untuk bertemu dengan orang yang baik seperti Asri dan Kak Pah akan merindui keindahan suaranya mengalunkan azan," kata penyanyi itu lagi.  Bagaimanapun penyanyi yang sudah lebih 40 tahun pengalaman dalam dunia seni suara tanah air itu menasihati ahli kumpulan Rabbani yang lain supaya tidak patah semangat sejak ketiadaan Asri, sebaliknya mengharapkan anggota kumpulan yang lain akan terus kekal berdakwah dan berjuang demi Rabbani.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kehilangan Ustaz Asri (Harian Metro – Khamis, 20 Ogos 2009)

KAH PAH TERUJA RAMADAN TIBA

oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Sambutan Ramadan tahun ini tentu sekali cukup bererti bagi Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini apabila anak lelaki tercinta, Aliff, turut berada di sisi.  Aliff yang masih menuntut di Madinah, kembali ke ibu kota 3 Julai lalu untuk bercuti panjang kira-kira tiga bulan, sebelum pulang semula ke Arab Saudi.  Pengajian anak muda berusia 27 tahun itu masih berbaki empat tahun di kota suci itu.  Lalu, kata penyanyi bersuara buluh perindu itu, tiada apa lagi yang diinginkan selain menyambut kedatangan bulan puasa penuh keberkatan itu bersama anak tunggalnya.

"Kak Pah sebenarnya amat seronok sekarang kerana Aliff pulang ke Kuala Lumpur untuk sama-sama menyambut Ramadan di Malaysia.  Yang lain tidak lagi penting apabila dia ada di samping Kak Pah," ujar wanita yang sering membahasakan dirinya sebagai Kak Pah itu tatkala ditemui di kediamannya, baru-baru ini.  Akui penyanyi yang paling lama bertahan bersama syarikat rakaman EMI Malaysia ini, pada ketika dia cukup gembira dengan kehadiran Aliff, hatinya akan cepat bersedih sebaik saja hari-hari si bujang kesayangannya itu hendak meninggalkannya semula hampir tiba.  Walaupun dia masih bersama Kak Pah, tetapi hati Kak Pah sudah mula tidak tenang sebaik saja mengetahui hanya beberapa hari yang tinggal untuk kami meluangkan waktu bersama sebelum dia pulang ke Madinah.  Itulah yang selalu Kak Pah rasakan setiap kali Aliff terpaksa pulang menyambung pengajian," cerita penyanyi Yayadan ini.  Tahun ini, Aliff akan kembali ke Madinah pada Aidilfitri ketiga.

Ditanya apakah dia tidak merancang sebarang percutian bersama anak lelakinya itu sepanjang Aliff berada di ibu kota, penerima Anugerah Khas Bintang Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 memberitahu, dia sebenarnya sudah pun mempunyai perancangan sendiri.  "Pada awalnya, Kak Pah memang hendak pergi bercuti bersama Aliff serta anak angkat Kak Pah ke Australia.  Tetapi, mengenangkan keadaan sekarang yang kurang mengizinkan apabila penyakit Influenza A (H1N1) semakin menular, nampaknya biarlah Kak Pah tunda dulu perancangan itu.  Namun, Insya-Allah, dalam masa terdekat ini Kak Pah dan Aliff akan turun ke Singapura untuk bertemu dengan ibu Kak Pah di sana.  Setiap kali tibanya Ramadan, Kak Pah memang tidak lupa untuk menjenguk ibu di kota Singa," ujar artis yang turut menghiasi beberapa filem popular ini.

SERING ANJURKAN MAJLIS ILMU DI RUMAH

Menyambut Ramadan secara bersederhana, Sharifah Aini berkata, sebagaimana amalannya sejak kira-kira setahun yang lalu, pada Ramadan ini dia akan tetap menganjurkan majlis ilmu atau majlis khatam Quran di kediamannya.  Amalan menganjurkan majlis ilmu seperti itu, kata Biduanita ini, menjadi sesuatu yang amat menggembirakan serta menyenangkan hatinya saat ini.  "Pada setiap bulan, Kak Pah memang ada menjemput ustaz dan anak-anak tahfiz sekitar Kuala Lumpur dan Selangor untuk hadir pada majlis khatam al-Quran yang diadakan di surau di kediaman Kak Pah.  Seperti yang dapat dilihat pada malam ini, kira-kira 80 kanak-kanak tahfiz bersama ustaz mereka hadir mengimarahkan majlis.

"Kak Pah ingin memenuhkan rumah Kak Pah dengan bacaan ayat suci al-Quran serta zikir.  Apalah gunanya rumah yang tersergam ini jika Kak Pah tidak menggunakannya untuk mendapatkan pahala?   Baiklah Kak Pah manfaatkan rezeki yang diberi Tuhan ini untuk mendapatkan kebaikan.  Lagipun, sudah menjadi azam Kak Pah dulu, apabila siap saja rumah ini, Kak Pah hendak menjadikannya pusat majlis agama dan ilmu.  Kak Pah amat gembira dengan semua amalan ini," katanya yang turut mengundang saudara-mara serta kenalan rapat setiap kali majlis sedemikian dianjurkan.

Menurut Sharifah Aini, sebagaimana manusia dia mencari rezeki menerusi bakat yang dianugerahkan Tuhan kepadanya sebagai penyanyi.  Namun, amalan untuk bekalan akhirat tidak akan dilupakannya.  "Kak Pah berasa cukup bertuah apabila ustaz yang datang pun agak rapat dengan Kak Pah.  Mereka golongan yang penuh dengan ilmu di dada.  Kini Kak Pah berasa lebih selesa apabila golongan berilmu ini yang datang ke rumah.  Kak Pah sudah penat dianiaya mereka yang mengaku sahabat, tetapi akhirnya melakukan perkara tidak baik di belakang kita.  Bukannya Kak Pah sombong untuk tidak mengundang golongan itu lagi ke rumah, tetapi Kak Pah sentiasa belajar daripada kesilapan," ujarnya yang akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur.

Penyanyi ini turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambung Ramadan kepada semua peminat serta pembaca Berita Harian.