SAYA SUDAH PUAS MUDA

(Berita Minggu: B*Pop, 8 Julai 2012)

Salam sejahtera.  Alhamdulillah dengan izin Allah SWT pada Februari lalu, genap 44 tahun saya berada dalam industri seni tanahair.  Sungguh jauh pengalaman saya sebagai anak seni, banyak yang telah saya lalui, suka duka onak duri, tawa dan tangis, jatuh bangun, tersungkur menanggung keaiban gara-gara fitnah orang yang saya kenal sebagai kawan, tapi sebenarnya bagaikan gunting dalam lipatan.  Alhamdulillah, semua dapat diatasi dengan segala kesabaran dan saya berpegang kepada besarnya kuasa Allah SWT.  Dengan izin Allah saya masih lagi di sini meneruskan kerjaya.

Itulah namanya kehidupan sebagai anak seni.  Saya antara insan seni yang amat bertuah, saya bermula dari bawah sebagai penyanyi pembuka tirai di zaman pop yeh yeh, saya bertocang panjang, membuat persembahan di serata funfair dengan hanya mendapat bayaran antara RM5 hinga RM10.  Adakalanya saya hanya membawa balik balik 10 cucuk sate!  Saya mencari rezeki untuk menambah duit sekolah.  Dan apabila saya dilamar syarikat rakaman EMI pada 1968, saya rasa bertuah dan bermulalah karier saya sebagai penyanyi dan penghibur – dari zaman EP, LP, cartridge, tape, CD dan DVD dan seterusnya mengikuti perkembangan teknologi hingga ke zaman digital.

Saya bermula sebagai anak gadis yang berani berhijrah ke Kuala Lumpur hanya berbekalkan wang RM75 menaiki kereta api pada 1971 meninggalkan Johor Bahru untuk mengejar cita-cita saya.  Saya juga seperti gadis lain, melalui transformasi terutama dari segi berpakaian.  Saya hanya manusia, saya tidak punyai sifat berpura-pura.  Saya bagaikan buku yang senang dibaca ... Itulah saya.  Kita semua punya masa lalu dan kisah tersendiri.  Saya melalui zaman muda seperti gadis lain, bekerja keras, bercinta dan bernikah.

Saya bernikah pada Jun 1981 tanpa mendapat restu keluarga suami dan melahirkan anak yang sangat comel dan sihat pada 15 April 1982, namun jodoh kami tidak panjang.  Selepas empat bulan melahirkan Aliff saya memfailkan urusan perceraian.  Lalu pada umur 28 tahun saya sudah bergelar janda.  Setahun selepas itu, saya bertemu seorang yang 20 tahun lebih dewasa daripada saya.  Dia benar-benar mencintai saya dan dua bulan selepas berkenalan, dia melamar dan menikahi saya.  Kali pertama dalam hidup saya berasa selamat dan dilindungi dengan segala kasih sayang melebihi segala-galanya.

Ya, saya bernikah dengan suami orang, saya menjadi isteri yang kedua dan saya tidak pernah memperkenalkan beliau kepada umum.  Mana mungkin!  Saya sedar di mana diri saya berada, saya sudah melukai hati seorang wanita lain.  Saya akan menjadi zalim menayangkan dia kepada dunia dan menjatuhkan air muka isteri pertama dan keluarga beliau.  Atau pun mengadakan majlis pernikahan besar-besaran.  Saya tidak pernah mengenakan sebarang syarat kepada suami.  Saya terima beliau seadanya.

Namun langit tidak selalu cerah.  Enam belas tahun melayari bahtera akhirnya kami mencari kata sepakat untuk berpisah.  Perlu saya nyatakan di sini, beliau seorang yang sangat baik, sudah hampir 17 tahun kami berpisah, kami sangat akrab dan beliau tetap menjaga saya hingga ke hari ini.  Saya adalah antara wanita yang sangat bertuah.  Beliau sangat menyayangi Aliff bagaikan anak sendiri.  Kami mempunyai dua anak angkat perempuan yang kami ambil dua jam setelah lahir.

Kini, saya menjalani kehidupan yang aman dan sangat bahagia di samping anak-anak dan dikelilingi sahabat yang rapat dan ikhlas.  Saya sekarang sibuk dengan urusan kerja amal di samping membuat persembahan eksklusif.  Saya juga insan yang tidak terkecuali daripada pertukaran fizikal, saya tidak ramping seperti Sharifah Aini 44 tahun lalu.  Semua orang akan melalui pertukaran ini tetapi saya tidak langsung hairan dan kesal.  Saya sangat bertuah mempunyai peminat yang sangat setia dan menyayangi diri saya seadanya.   Terbaru saya kini menjadi keluarga baru pada syarikat rakaman KRU.  Saya akan berada di studio bulan depan untuk album terbaru.

HAJI MABRUR

Pada kesempatan ini, saya ingin berkongsi pengalaman ketika menunaikan haji pada 2010 bersama Aliff dan tiga lagi ahli keluarga.  Ketika berada di Padang Arafah, saya bermohon kepada Allah agar mengurniakan saya haji yang mabrur.  Airmata saya tidak berhenti memohon kehadrat Allah agar menghilangkan nafsu keduniaan saya.  Saya berjanji kepada Allah yang saya akan berhijab dan tidak akan membuka hijab saya hingga ke akhir hayat.  Tiada apa yang harus saya tunggu lagi, saya bukan muda dan sesungguhnya saya sudah puas muda dan merasai segala kehidupan.

Baru-baru ini, Allah telah menduga saya dengan penyakit yang berat (jangkitan paru-paru yang kuat).  Saya amat bersyukur kerana Allah menduga saya dengan penyakit yang diberi kerana saya melalui proses membersihkan dosa saya.  Perkara yang sangat saya takuti jika Allah tidak mahu melihat kita dan tidak mahu pandang kita.  Allah tidak mahu menduga kita.  Selepas dua hari saya pulang ke rumah setelah berada 17 hari di hospital, Allah menduga saya.  Saya kehilangan sahabat baik selama 38 tahun iaitu Allahyarham Hasanah Osman.