SHARIFAH AINI TAK SERIK

oleh Farihad Shalla Mahmud  (Berita Harian: Jawablah! – Rabu, 12 Mei 2010)

Mengeluh panjang Biduanita Negara ini apabila menceritakan pengalaman yang dilaluinya sepanjang menganjurkan dua konsert amal, Up, Close & Personal With Sharifah Aini di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini.  Keluhannya itu bukanlah kerana penat kerana terpaksa bekerja keras tetapi terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah manusia yang ditemuinya sewaktu menjalankan projeknya itu.  Sejak menjadi promoter yang menganjurkan konsertnya sendiri, baru kini Datuk Sharifah Aini sedar, siapa kawan, siapa lawan.

Permintaan untuk sama-sama memberikan sumbangan dengan menjayakan konsert amal anjurannya, ada yang disambut dengan separuh hati.  Tak kurang juga yang bersikap acuh tak acuh untuk turut serta membuat persembahan dek kerana bimbang penyanyi itu tidak memberikan bayaran atas keringat mereka itu.  Malahan, ada juga yang tergamak memberikan cek tendang sehingga menyusahkan penganjur dan pelbagai perkara lain yang dilalui oleh penyanyi dan penghibur ini.  Namun semua itu dihadapi dengan sabar kerana menyedari bukan mudah untuk melakukan amal jariah.  Barpun mengakui terkilan dan kecewa dengan situasi yang dialaminya itu, namun dia tidak pernah patah semangat untuk terus mengadakan persembahan amal bagi membantu rumah anak-anak tahfiz, seperti mana yang pernah dia janjikan suatu ketika dulu.

HIP:  Selepas melakukan dua persembahan amal, mungkin Kak Pah boleh cerita sikit pengalaman menganjurkan persembahan sendiri.

Sharifah Aini:  Alhamdulillah, setakat ini Kak Pah berpuas hati dengan perjalanan mini konsert ini dan Kak Pah bersyukur dengan sambutan yang diberikan oleh peminat.  Bagi Kak Pah, tidak ada apa yang lebih menggembirakan diri ini apabila hajat Kak Pah untuk membantu anak-anak tahfiz tercapai.  Cuma selepas bergelar promoter ini, barulah Kak Pah tahu bagaimana sukarnya untuk menjayakannya.  Jika tidak dikuatkan hati dan iman, mahu saja Kak Pah mengalah tetapi mengenangkan janji yang sudah dilafaz, Kak Pah teruskan juga walaupun Kak Pah tahu banyak cabaran yang menanti saya dalam kehidupan sehari-hari bukan saja sebagai artis tapi urusan perniagaan.

HIP:  Antara cabaran yang Kak Pah hadapi.

Sharifah Aini:  Tentu ramai yang menyangka Kak Pah anjurkan acara ini dengan mudah.  Tapi sebenarnya tidak.  Bayangkan dalam ramai yang menderma, ada juga yang memberikan cek tendang.  Tergamak betul mereka melakukan perkara sebegitu, sedangkan mereka tahu yang kita buat show amal ini adalah untuk membantu anak-anak yatim dan pelajar tahfiz yang belajar secara persendirian.  Berkali-kali Kak Pah cuba hubungi pihak terbabit menerusi telefon, malangnya semua tidak berjawab.  Mungkin selepas ini, untuk persembahan akan datang, Kak Pah tidak akan lagi menerima cek.  Bimbang perkara yang sama akan berulang.

HIP:  Bagaimana pula dengan komitmen artis?  Apakah mereka mudah memberi kerjasama atau sebaliknya?

Sharifah Aini:  Ini juga antara masalah yang terpaksa Kak Pah hadapi sepanjang menganjurkan persembahan amal ini.  Ada segelintir artis yang Kak Pah dekati bersikap sinis dengan persembahan amal ini.  Mungkin apabila membicarakan soal kebajikan, ramai yang menyangka yang Kak Pah ingin mendapatkan perkhidmatan mereka secara percuma atau dibayar dengan murah.  Kak Pah bukanlah seorang yang begitu.  Kak Pah amat menghargai jasa dan keringat mereka.  Terus terang, setiap penyanyi yang bekerja sama dengan Kak Pah dalam show amal sebelum ini menerima bayaran yang cukup "sihat" dari Kak Pah.  Ini tidak, baru saja Kak Pah buka mulut untuk melamar mereka, soal bayaran menjadi persoalan pokok.  Itu belum lagi jenis meminta bayaran yang Kak Pah sifatkan tak masuk akal.  Dan orang-orang inilah yang selalu ke depan, berjumpa dengan media sambil memberitahu mereka memang gemar melakukan kerja amal.  Tapi pada masa sama, berkira dalam soal wang ringgit dan tenaga.

HIP:  Kenapa Kak Pah tak mahu mencari penaja?  Bukankah itu lebih meringankan beban Kak Pah.

Sharifah Aini:  Kak Pah rasa, biarlah Kak Pah buat sendiri semuanya.  Bukannya berlagak tetapi Kak Pah tak mahu diibaratkan seperti pengemis dengan meminta tajaan sana sini kerana Kak Pah tahu, dalam keadaan sekarang, kebanyakan pihak tidak berminat untuk menaja artis tempatan.  Mereka lebih senang menaja artis luar negara.  Lagipun dalam situasi sekarang, Kak Pah tidak memerlukan lokasi yang besar untuk membuat konsert.  Dewan besar atau ballroom hotel serta dewan pada Kak Pah sudah memadai kerana itu lebih membuatkan Kak Pah lebih dekat dengan penonton.  Terlanjur bercakap soal penaja, Kak Pah ingin mengucapkan syabas pada kumpulan Wings dan Search yang berjaya menganjurkan konsert mereka, Double Trouble, baru-baru ini walaupun dalam ketiadaan penaja.  Harap itu menjadi satu tamparan buat mana-mana pihak yang sebelum ini tidak begitu yakin dengan kebolehan artis tempatan.

HIP:  Kak Pah tak serik dengan apa yang berlaku?

Sharifah Aini:  Apabila Kak Pah mengambil keputusan untuk membuat kerja amal ini, Kak Pah sudah bersedia dengan segala kemungkinan.  Apapun halangan yang menanti, Kak Pah tetap meneruskan usaha ini.  InsyaAllah akan ada dua persembahan amal menanti selepas ini.  Dalam senarai saya, ada kira-kira 15 sekolah tahfiz yang mana sumbangan akan diberikan mengikut giliran, insyaAllah.  Kalau tidak mampu memberi bantuan wang ringgit, saya akan berikan dalam bentuk lain seperti makanan, pakaian dan sebagainya.  Anak-anak ini bukan setakat memerlukan belanja sekolah tetapi perbelanjaan untuk sakit demam dan kos menghantar mereka belajar di luar negara.  Jadi demi mereka, Kak Pah tak kisah walau apa yang terjadi kerana Kak Pah tahu tuhan akan menolong niat murni Kak Pah ini.

Pada 28 Mei ini, jam 8 malam, Kak Pah akan menjayakan persembahan Hari Ibu bersama Mawi pula di Palace of the Golden Horses, Sri Kembangan.  Persembahan ini juga untuk tujuan kebajikan seperti ini.  Kak Pah juga sudah mula berlatih dan akan menyanyikan 20 hingga 25 lagu yang kebanyakannya lagu khusus untuk mereka yang bergelar ibu.  Kak Pah juga akan berduet dengan Mawi pada hari itu nanti.  Harap peminat Kak Pah dan Mawi dapat bersama-sama menghadirkan diri ke majlis ini.