OGY TERUJA DAPAT JUMPA KAK PAH

oleh Nurulhisham Abdul Latiff  (Berita Harian: Isnin, 14 Mei 2007)

"Saya memang tidak sabar hendak bertemu Kak Pah, seterusnya menjayakan persembahan Hari Ibu pada 18 Mei ini kerana antara kami memang serasi dan saya sendiri sudah mengenali diva ini sejak sekian lama,” kata Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dengan nada penuh teruja.  Ogy bakal menaiki pentas pada persembahan istimewa yang dijadual berlangsung di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur bersama Datuk Sharifah Aini, Jumaat ini.  Dia akan mengendalikan majlis makan malam amal anjuran Mufira Entertainment itu, manakala bintang malar hijau berkenaan akan menghiburkan tetamu dalam persembahan selama 90 minit.  Turut terbabit menjayakan acara persembahan ialah penyanyi Dharma Harun Al-Rashid.

Kata Ogy, mungkin ramai yang tidak tahu, dia pernah menjadi penari latar biduanita negara itu di pentas persembahan tatkala kedua-duanya terbabit dalam siri jelajah Hiburan Minggu Ini terbitan RTM pada awal tahun 80-an.  "Pada ketika itu, saya masih lagi aktif menari bersama Saadiah Ahmad Daud Dancers dan saya masih ingat, antara lagu yang Kak Pah nyanyikan dengan iringan tarian kami ialah Love Will Keep Us Together,” cerita Ogy yang bakal mengenakan gaun biru rekaan Shahrir Nurdin pada majlis berkenaan.

Menurut pelakon, pengarah dan penyanyi terkenal ini, persembahan bersama artis popular terbabit boleh diibaratkan sebagai ‘jejak kasih’ antara dirinya dengan penghibur yang sudah lama tidak ditemuinya.  Difahamkan, penyanyi lagu Terbang Helang itu memang teringin bekerjasama dengan Ogy yang kini saban minggu mengkritik pelajar Akademi Fantasia musim kelima.  Ogy juga wajah yang cukup sinonim dengan rancangan televisyen hari ini menerusi beberapa rancangan seperti Ilham Komposer, Selera Thai, Ogy & Salleh dan Fitrah Kasih.

Lalu, pertemuan di pentas Dewan Perdana Felda nanti tentunya banyak mengembalikan nostalgia antara dua bintang terkemuka negara.  "Saya mula meminati Kak Pah setelah melihatnya menyanyikan lagu Seri Dewi Malam dalam rancangan terbitan Radio Televisyen Singapura suatu ketika dulu,” dedah aktres yang bakal beraksi di samping Fatimah Abu Bakar, Farid Kamil dan Raja Farah dalam filem Apa Kata Hati, arahan Saw Teong Hin tidak lama lagi. 

Ditanya apakah dia sendiri tidak akan menyampaikan lagu pada majlis makan malam itu, Ogy berkata, sekiranya tetamu membuat permintaan, dia tidak keberatan menyanyikan satu atau dua lagu.  Meskipun, kehadirannya pada majlis berkenaan ialah sebagai pengacara.  Persembahan sempena Hari Ibu tahun ini adalah yang ketiga berturut-turut buat Ogy kerana sebelum ini dia turut mengacarakan persembahan serupa yang masing-masing menampilkan Datuk Siti Nurhaliza dan Anita Sarawak.

"Sebenarnya, saya segan sekali hendak menyanyi di hadapan Kak Pah.  Yalah, dia seorang penyanyi yang cukup disegani dan terkenal dengan kemerduan suaranya,” kata artis yang suka bersikap selektif dalam menerima tawaran mengacarakan majlis.  Biarpun dia bersikap merendah diri, namun Ogy pada hakikatnya turut terkenal dalam industri hiburan tempatan dengan nyanyiannya.  Dia memiliki kira-kira enam album sepanjang karier seperti Simfoni Kasih, Gerhana, runut bunyi Ali Setan dan Suara Kekasih, Pelayaranku serta Variasi.

Kini, bintang berusia 44 tahun ini saban hari dapat didengar suaranya berduet dengan kumpulan Urban Method menerusi lagu popular, Wajah Rahsia Hati, yang pernah dinyanyikannya 22 tahun lalu.  "Mana ada lagi penyanyi wanita bertudung berusia 44 tahun lain yang menyanyikan lagu rap selain Akak?" tanyanya berseloroh.  Bagi peminat yang merindui lakonannya pula, selepas empat tahun tidak beraksi di depan kamera, Ogy bakal muncul di samping Fauziah Nawi, Raja Azura, Roy Azman dan Zamarul Hisham menerusi telemovie Suara Saliha, yang akan menemui penonton melalui slot Cerekarama pada bulan ini.

  INFO 

  TEMPAHAN menyaksikan persembahan Datuk Sharifah Aini, Dharma Harun Al-Rashid dan Fauziah Ahmad Daud sempena Hari Ibu boleh dibuat dengan menghubungi Mufira Entertainment (03-40226500), Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (03-26987300) dan Felda D’Saji (03-26988302).