KAK PAH TERMAKAN PUJUKAN ELLIE

oleh Serimah Mohd Sallehuddin  (Berita Harian: Jumaat, 20 Januari 2012)

Kesungguhan Ellie Suriaty Omar memujuk rayu membuatkan hati Datuk Sharifah Aini akhirnya cair juga apabila beliau bersetuju untuk membintangi filem Penanggal.  Kali terakhir Sharifah Aini atau Kak Pah berlakon pada tahun 1980 menerusi filem Bintang Pujaan arahan Shahrom Mohd Dom dan diterbitkan oleh Syed Kechik Film Production.  Dalam filem itu, beliau digandingkan dengan Latiff Ibrahim selain turut membariskan Rubiah Suparman dan Nancie Foo.  Berbeza dengan Bintang Pujaan yang bercorak drama dan muzikal, filem Penanggal arahan Ellie Suriaty ini dalam genre seram.

Penyanyi yang digelar Biduanita Negara ini berkata, beliau cukup teruja ketika ke lokasi pada hari pertama penggambaran iaitu pada 12 Januari lalu, apabila dapat bergaul mesra dengan krew produksi serta barisan pelakon yang terbabit dalam filem itu.  “Ellie dan wakil penerbitan berkali-kali menghubungi Kak Pah menawarkan watak dalam filem Penanggal.  Tapi Kak Pah minta mereka datang ke rumah kerana mahu melihat skripnya terlebih dulu.  Kak Pah mengambil masa beberapa hari juga untuk buat keputusan.  Tetapi ketika kali pertama baca skrip, Kak Pah sebenarnya sudah tertarik kerana watak ditawarkan memerlukan kak Pah bertutur dalam bahasa Arab.  Selain itu Kak Pah juga perlu bertutur bahasa Melayu pelat.  Belajar di sekolah Arab sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada Kak Pah.  Walaupun sudah lama meninggalkan alam persekolahan tetapi Kak Pah masih boleh bertutur sedikit-sedikit dalam bahasa Arab,” katanya kepada Hip.

Menurutnya, beliau juga kagum dengan usaha Ellie yang dianggap sebagai seorang yang sudah membuat persediaan dan kajian mendalam untuk filem arahannya itu.  “Itulah sebabnya Kak Pah bersetuju menerima tawarannya.  Selain itu, Kak Pah sendiri memang teringin berlakon supaya dapat bergaul dengan rakan-rakan baru.  "Maklumlah selama ini Kak Pah lebih gemar berdiam diri jika tiada sebarang projek,” kata penyanyi dan pelakon itu yang membawakan watak ibu kepada Syed Yusof lakonan Azri Iskandar.

Menceritakan pengalaman manisnya di lokasi, Kak Pah berkata, walaupun bergelar Datuk, beliau tidak meminta layanan istimewa mahupun hendak diangkat seperti seorang diva.  “Walaupun pertama kali bekerja dengan mereka, Kak Pah dilayan dengan baik.  Ellie juga berjaya membuatkan Kak Pah selesa biar pun sudah lama tak berlakon.  Kak Pah tak kisah duduk makan bersama krew.  Lagipun memang itu yang Kak Pah mahukan.  Selama ini Kak Pah lebih banyak habiskan waktu di rumah.  Kak Pah bukanlah orang yang boleh duduk diam, jadi apabila dapat tawaran ini Kak Pah tak ambil masa untuk terima.  Apatah lagi watak yang diberikan kena dengan usia Kak Pah,” katanya.

Menurut Kak Pah, pembabitannya dalam filem Penanggal belum dapat dipastikan sebagai isyarat beliau mahu kembali aktif berlakon.  “Kak Pah belum membuat sebarang keputusan lagi.  Bagaimanapun Kak Pah akan mempertimbangkan sekiranya ada watak yang ditawarkan sesuai,” katanya.  Selain Bintang Pujaan, Sharifah Aini mula dikenali sebagai pelakon menerusi filem Hapuslah Air Matamu yang diarahkan oleh M Amin pada 1976, diikuti Sumber Ilhamku arahan Aziz Jaafar (1979).