'KALAU ADA JODOH, ADALAH ...'

oleh Farihad Shalla Mahmud  (Berita Harian: Jumaat, 19 Jun 2009)

Perkataan sepi tidak pernah wujud dalam diari hidupnya.  Mempunyai seorang zuriat lelaki yang cukup baik pada pandangan mata hatinya serta memiliki ramai anak angkat di serata dunia serta dikelilingi rakan dan sahabat yang sanggup susah senang bersama sudah cukup untuk membuatkan figura seni tersohor ini diulit bahagia dalam menjalani kehidupan sehariannya.  Justeru, tidak hairanlah andai Datuk Sharifah Aini sehingga kini tidak pernah memikirkan soal jodoh walaupun sudah 13 tahun hidup bersendirian tanpa ditemani seorang lelaki bernama suami.

"Sejujurnya, selama 13 tahun hidup bersendirian begini, Kak Pah tidak pernah terdesak untuk mencari calon suami.  Sehingga kini pun, Kak Pah masih solo dan tidak ada sesiapa di dalam hati.    Entahlah, mungkin orang lelaki yang sebaya tak berminat dengan wanita seperti Kak Pah kerana mereka lebih suka mencari wanita muda yang boleh dijadikan trophy wife.  Atau mungkin mereka rasa takut dan terancam dengan wanita yang kukuh dari segi kewangan dan mempunyai kehidupan yang stabil.  Biarlah, kalau ada jodoh adalah.  Bagi Kak Pah sendiri, Kak Pah mahukan lelaki yang bukan saja boleh menjadi seorang suami yang baik, tetapi juga menjadi sahabat untuk berkongsi susah senang, peneman hidup hingga ke akhir hayat dan pergi mengembara, mengelilingi dunia bersama kerana itulah yang ingin Kak Pah lakukan pada masa depan seandainya Kak Pah bersara dalam bidang nyanyian kelak," ujar Sharifah Aini yang lebih mesra di sapa Kak Pah di kalangan rakan dan teman media.

Diusik pertanyaan apakah tidak ada di kalangan temannya yang cuba mengatur jodoh untuknya, pantas penyanyi lagu Seri Dewi Malam ini mengiyakannya.  Memang ada, dengan macam-macam lelaki.  Tapi satu pun tak sangkut.  Entahlah, mungkin tiada keserasian.  Seperti yang Kak Pah nyatakan tadi, Kak Pah tidak pernah terdesak untuk mencari suami.

"Mungkin sebab sudah terlalu lama bersendirian menyebabkan Kak Pah rasa selesa.  Iyalah, kalau hendak buat apa pun, tiada siapa yang nak larang.  Andai rasa teringin ke luar negara, Kak Pah boleh terus terbang tanpa perlu memikirkan atau meminta kebenaran sesiapa.  Biarpun mengakui hidupnya selesa walaupun tanpa suami di sisi, namun jauh di sudut hatinya perasaan sunyi tetap bertamu dalam jiwa.  Bohonglah kalau Kak Pah kata Kak Pah tak berasa sunyi.  Ada ketika, apabila bersendirian, perasaan itu datang dan tanpa disedari mengalir juga air mata.  Mujurlah Kak Pah ada ramai teman yang sentiasa berada disisi membuatkan Kak Pah dapat melupakan soal itu.  Dan Kak Pah juga bersyukur kerana anak Kak Pah, Alif Omar memahami situasi Kak Pah dan tidak pernah mendesak ibunya untuk mencari pengganti," ujar Biduanita Negara ini ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan barisan penaja majlis makan malam An Evening With Datuk Sharifah Aini serta pelancaran laman sesawangnya, www.sharifahainiweb.com di Saloma Bistro, petang Selasa lalu.

Hadir sama, Pengarah Jualan Hotel Concorde, Nordin Ismail; Pengurus Saloma Bistro & Restaurant, Mohd Yazid Aziz; Pengarah Urusan Cosmic Silk, Zakir Hussain; Pengarah Urusan Nacee Event, Noranizah Che Ee dan Pengarah Urusan Lime Event, Shameem Faiz.   Tidak mahu meletakkan sebarang sasaran bilakah dia mahu menamatkan zaman solonya, Kak Pah berkata, dia menyerahkan soal itu kepada Yang Maha Kuasa.  "Jodoh pertemuan, semuanya urusan Tuhan.  Kalau ditakdirkan ada jodoh, adalah.  Kalau tidak, Kak Pah tak kisah hidup bersendiri sampai bila-bila kerana Kak Pah sudah lali melaluinya," ungkap penyanyi itu.

Meninggalkan topik jodoh, perbualan kami petang itu beralih kepada soal yang kedengarannya lebih sensitif dan bersifat peribadi.  Penyanyi ini diminta untuk menjawab persoalan apakah benar dia melakukan perubahan ke atas wajahnya seperti yang didakwa ramai ketika ini.  "Cuba awak beritahu saya bahagian muka yang mana saya ubah?," soal Kak Pah sambil ketawa.  Sedikit pun riak wajahnya tidak menunjukkan sebarang perasaan kurang senang terhadap soalan itu.

Jelasnya, dalam menjaga kecantikan diri, dia lebih percaya kepada bahan semula jadi dan menolak sebarang amalan kurang sihat seperti pembedahan kosmetik serta teknik suntikan.  "Untuk merawat wajah, saya gunakan produk penjagaan kulit yang saya amalkan sejak dulu lagi.  Cuma untuk bibir, saya gunakan salap bibir khas.  Itu saja ..." dedah Kak Pah mengenai rahsia dia menjaga kecantikan serta sentiasa kelihatan awet muda.

KISAH SEORANG GADIS BERNAMA AINI

Laluannya sebagai anak seni penuh ranjau dan liku.  Sepanjang 40 tahun menghambakan diri dalam bidang seni,  Kak Pah mengakui bahawa ketawa dan air mata menjadi teman setianya.  Namun, dalam kepayahan, dia berdikit-dikit mendaki sehingga berjaya mencapai ke kemuncak.  Bagaimanapun, walaupun dia kini mendongak ke langit, namun rumput di bumi tidak pernah dia lupakan.

Susah senang sewaktu mula-mula menceburkan diri dalam dunia nyanyian masih kekal terpahat dalam ingatan.  Justeru, sekadar ingin mengenang nostalgia lalu, 8 November depan bertempat di Stadium Nasional Singapura, Kallang, penyanyi ini akan mengadakan sebuah konsert khas yang akan mengimbas kembali perjalanan hidupnya sebagai seorang anak seni.

"Konsert yang masih belum diberi nama itu nanti adalah konsert berskala mega Kak Pah yang pertama di Singapura.  Memandangkan tahun ini adalah genap usia 40 tahun Kak Pah berada dalam industri, jadi konsert itu nanti akan mengembalikan semula kenangan masa lampau Kak Pah sewaktu mula-mula menyanyi.   Mungkin ada yang tidak tahu bahawa Kak Pah mula-mula menyanyi pada tahun 1969.  Masa itu Kak Pah menyertai pertandingan nyanyian di Singapura.  Konsert itu nanti akan menceritakan kepada khalayak siapa itu gadis bernama Aini serta perjalanan hidupnya sebagai insan seni," ceritanya mengenai konsert anjuran sebuah pertubuhan Islam, Jamiyah Singapura.

Walaupun dianjurkan oleh sebuah pertubuhan Islam namun jelas Kak Pah, pengisiannya tetap sama seperti konsert lain yang pernah diadakan sebelum ini.  "Ini bukanlah konsert kerohanian tetapi seperti konsert biasa yang lain.  Kak Pah tetap akan menyanyikan lagu popular Kak Pah.  Kolaborasi ini berlaku kerana sebelum ini Kak Pah pernah bekerjasama dengan Jamiyah sewaktu majlis sambutan Maulidur Rasul pertubuhan itu tidak lama dulu.  Selepas persembahan itu, mereka menawarkan Kak Pah untuk membuat konsert di Singapura dan hasrat itu diterima dengan hati terbuka," katanya.

Kak Pah, jika tiada aral melintang, dia juga bakal mengadakan konsert di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjelang Mei tahun depan.  “Konsert ini akan diadakan selama dua hari iaitu pada 7 dan 8 Mei.  Untuk malam pertama, ia berkonsepkan amal.  Kami bercadang untuk menjual meja.  Manakala untuk malam kedua, ia dikhususkan untuk peminat setia Kak Pah.  Harga tiketnya tak mahal iaitu RM60 dan RM100, semua orang mampu beli," cerita Kak Pah sambil memberitahu konsep konsert itu nanti sama dengan apa yang akan dipersembahkannya di Singapura, November ini.

PELUANG MASIH TERBUKA

Kontroversi mengenai album ke-99 iaitu Warisan Melayu yang terbengkalai gara-gara sikap tidak bertanggungjawab seorang komposer terkenal nampaknya masih berlanjutan sehingga kini.   Mengulas lanjut perkara itu, Kak Pah berkata selepas memberi masa dua tahun untuk komposer terbabit untuk bersemuka dengannya dan memberikan penjelasan terhadap apa yang berlaku, Kak Pah berkata kesabarannya itu kini sudah berada di titik noktah.  "Selama dua tahun saya berdiam diri, saya tak cari pun dia dengan harapan supaya dia tampil memberikan penjelasan mengapa kerja yang saya amanahkan padanya dibuat sedemikian rupa. Terus terang, kualiti album yang diberikannya itu adalah hampas.  Bayangkan, kualiti muzik karaoke rasanya lebih hebat dari apa yang dia hasilkan."

"Saya masih lagi memberikan peluang kepadanya untuk bertemu dengan saya.  Apa yang saya mahukan adalah, dia datang berjumpa saya dan dia boleh ambil balik mastering tape ini, dan saya mahukan wang saya sebanyak RM83 ribu itu kembali.  Itu saja.  Saya bagi tempoh sampai 30 hari bulan ini, kalau dia tak datang juga, saya terpaksa membawa kes ini ke muka pengadilan," putusnya.  Untuk album ke-100 iaitu Irama Terindah Malaysia, album terbitan komposer Ramli MS itu masih lagi rancak dalam pembikinan dan kini dalam peringkat untuk mengeluarkan single terlebih dulu.

  Jangan lupa temu janji anda dengan Biduanita Negara itu pada 17 Julai di Dewan Perdana Felda

  Persembahan biduanita yang mula terjun ke dunia muzik menerusi pertandingan Bintang RTS di Singapura pada 1968 itu akan diiringi oleh kumpulan muzik diketuai Syed Sobri yang bermain keyboard, serta tiga pemain gitar dan tiga penyanyi latar.

  Dianjurkan oleh Nacee Events & Advertising dengan kerjasama Lime Events Management.

  Tiket persembahan dijual pada harga RM2,000, RM3,000 dan RM5,000 semeja, atau RM200, RM300 dan RM500 seorang.

  Peminat boleh mendapatkan tiket dengan menghubungi Nora di talian 016-2252970, Shameem (019-3488054), Mas (016-2631303) atau Eja (016-2529995).