KALAU ADA JODOH ...

oleh Zaidi Mohamad  (Berita Harian: Jumaat, 5 March 2010)

BIDUANITA NEGARA, DATUK SHARIFAH AINI BERCAKAP SOAL HATI, LELAKI DAN CALON SUAMI

"Ada jodoh, adalah.  Tiada jodoh tak mengapa.  Ia rahsia Tuhan.  Kak Pah sentiasa reda dengan keadaan hidup.  Soal hati ini biarlah ia menjadi rahsia antara Kak Pah dengan Tuhan.  Hanya Allah saja yang maha mengetahui apa yang terbaik buat Kak Pah," ungkap Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini kala dirinya diusik dengan soal hati, lelaki dan perkahwinan ketika Hip bertamu di kediaman mewahnya di Petaling Jaya baru-baru ini.  Pertemuan Hip kali ini berbeza misi kerana penyanyi berusia lingkungan 50-an yang mesra disapa Kak Pah itu diajak berbicara menyentuh persoalan hidup yang sememangnya sesuatu yang klise.  Tetapi barangkali ia perlu dilalui wanita sepertinya yang bergelar ibu tunggal kepada seorang insan bernama Aliff berusia 27 tahun.

Pernah melalui dua fasa perceraian dalam hidupnya, penyanyi Seri Dewi Malam ini dilihat begitu senang hidup berdikari meneruskan legasi seninya yang sudah menerjah lebih empat dekad.  Akuinya yang sudah 14 tahun hidup solo, beliau selesa menikmati kehidupannya kini.  "Kak Pah menjalani kehidupan yang sangat tenang dan gembira.  Tapi kalau nak cakap sempurna itu, Kak Pah tak berani menterjemahkannya.  Kalau setakat nak cakap lengkap hidup Kak Pah dengan kehadiran seorang lelaki bergelar suami, itu bukan definisi sempurna bagi Kak Pah.  Terma sempurna itu terlalu subjektif.  Kak Pah jalani hidup tanpa takut dengan bayang-bayang sendiri.  Tapi tipulah kalau Kak Pah cakap perjalanan hidup ini tak pernah sunyi.  Ada masa dalam keadaan bersendirian, Kak Pah terfikir alangkah indah saki baki hidup ini ditemani lelaki bernama suami.  Tetapi harus Kak Pah tekankan perasaan itu hadir pada masa dan ketika.  Bukannya selalu.  Benar, kalau perasaan itu singgah, sejujurnya Kak Pah rasa sedih.  Kak Pah pernah terfikir, kalau Aliff sudah berkeluarga nanti, Kak Pah tak mahu menyusahkan dia dan bakal menantu.  Kak Pah harus memikirkan untuk berpisah dengannya," kata Kak Pah sambil menguntum senyum penuh makna sekali gus menyerlah deretan gigi putih bersihnya.

Apa yang diungkapkan Kak Pah ternyata naluri kewanitaannya untuk mencari kebahagiaan atau dalam erti kata sebenar untuk berkahwin lagi memang ada.  Seperti wanita lain, Kak Pah juga mempunyai cita rasa yang sama dalam mencari bakal suami.  Ironinya, mencari lelaki idaman bukan semudah mengganti baju.  Lalu, tidak hairan, Kak Pah begitu cerewet dalam soal terbabit.  Sambil berseloroh, Kak Pah memberitahu mungkin kerana sikapnya itu, jodoh lambat sampai kepadanya.  Mustahil tiada lelaki Melayu yang tidak mahu mendekatinya atau agaknya jodohnya kali ini dengan orang luar.  Semuanya tidak mustahil.  Ketika dilontarkan dengan soalan nakal itu, Kak Pah hanya mampu mengukir senyum kerana beliau sendiri tidak mampu menilik masa depan.  Tetapi pintanya tanpa bermaksud membelakangkan kuasa Tuhan, jangan dihantar jodoh yang sudah bergelar suami orang. 

"Kak Pah mencari lelaki dan suami yang boleh bergelar sahabat baik.  Kak Pah suka lelaki yang bijak, menawan, menjaga kesihatan dan penampilan, tinggi, penyayang.  Bab rupa paras itu terpulang kepada mata yang memandang.  Kalau ada susunan gigi yang cantik itu satu bonus.  Selain itu, mempunyai sisi humor, berjiwa sensitif dan paling mustahak dia tahu tanggung jawabnya sebagai suami.  Biarpun Kak Pah sudah hidup selesa, tak perlulah lelaki itu bergelar jutawan.  Cukuplah dia lelaki sejati yang tahu peranannya.  Kak Pah juga sukakan lelaki yang pembersih dalam setiap inci dirinya.  Yang suka mengembara pun okey.  Mungkin kriteria yang Kak Pah cari terlalu tinggi.  Tapi siapa tahu, suatu hari nanti, Kak Pah akan bertemu jodoh lagi.  Kita tak mampu menjangka kuasa Tuhan.  Mungkin pada satu tahap, Kak Pah perlu berkompromi dalam soal mencari suami tetapi biarlah ada relevannya," kata Kak Pah yang menafikan beliau seorang yang ‘high maintenance’ dan apa yang dinikmatinya kini ialah hasil usaha kerasnya.

SIBUKKAN DIRI

Enggan terus membiarkan dirinya dibuai perasaan dan gejolak hatinya yang dilanda kesepian, Kak Pah bijak menyibukkan dirinya.  Dalam setahun, tempoh 10 bulan itu Kak Pah memastikan dirinya sibuk dengan kerjaya seni dan baki dua bulan lagi diisi dengan aktiviti berfaedah seperti bercuti di luar negara atau berehat di rumah.  "Setidak-tidaknya, dalam tempoh dua bulan itu, Kak Pah boleh mengisi masa lapang dengan keluarga dan kawan-kawan.  Kalau Kak Pah bekerja secara automatiknya perasaan sunyi itu akan terhakis.  Setiap minggu juga, kalau berkelapangan Kak Pah akan mengadakan makan malam bersama kawan.

"Kak Pah pula jenis suka memasak dan mencuba resipi baru.  Kak Pah memang suka menjamu kawan-kawan.  Selalunya, sesi makan-makan ini kami wujudkan tema biar seiring dengan makanan dan busana yang dipakai.  Menu berubah setiap masa.  Sesekali dengan menu masakan Melayu, Itali, barbeku dan ada kalanya, kami makan malam romantik dilimpahi cahaya lilin," kata Kak Pah yang tidak gemar keluar rumah melainkan perlu menyelesaikan kerja dan menghadiri acara tertentu.

JANGAN ANGKUH DENGAN KEJAYAAN

Perbualan petang itu turut berlanjutan mengenai harapan dan jangkaan Kak Pah di dalam bidang seni.  Bagi Kak Pah pada tahapnya kini, beliau tidak takut untuk melalui hari mendatang termasuk hari kematian.  Katanya, setiap kali bangun meneruskan kehidupan, kita sebenarnya membuat persiapan untuk ke arah itu (kematian).   "Bonus bagi kita semua, jika masih tegar meneruskan kehidupan.  Kak Pah sudah melalui segala-galanya selama ini.  Pelbagai kemungkinan boleh jadi pada masa mendatang.  Kak Pah hanya berdoa untuk diri sendiri, keluarga, sahabat dan musuh supaya dijauhkan penyakit yang tiada ubatnya.  Kak Pah sudah buat apa yang disukai selama ini.  Kak Pah bersyukur masih dikurniakan kekuatan tenaga dan memiliki suara untuk menghiburkan orang.  Bergelar artis bukan perkara mudah.  Jangan menjadikan tiket artis untuk mengumpan kesenangan cara mudah.

"Setiap hari ialah proses pembelajaran.  Kak Pah sentiasa berpegang kepada pepatah Inggeris berbunyi, the biggest room in the world is the room for improvement.  Kak Pah sendiri tak sempurna, sentiasa mencari jalan melakukan kebaikan.  Merendah diri itu perlu ada supaya kita tak rasa hanya diri kita saja yang terbaik," tegas Kak Pah.  Tambah Kak Pah lagi, setiap insan yang bergelar artis harus ingat, semuanya bukan sekadar bermodalkan bakat atau rupa sebagai bonus, sebaliknya perlu disertakan dengan jiwa yang tulus, komitmen yang besar dan tahu matlamat sebenar berada dalam industri.  Tak perlu juga ada istilah skeptikal yang mengatakan seseorang artis itu naik kerana jasa seseorang.  Bagi Kak Pah setiap orang mempunyai habuan masing-masing.  Tak timbul soal kenang budi atau tidak.   Cuma kita jangan angkuh dengan kejayaan yang diterima.  Cuma kita harus ingat, kita sebenarnya saling bergantung di antara satu sama lain.  Sebagai contoh peranan media dengan artis.   Pada akhirnya semua berbalik kepada soal situasi menang-menang.  Paling penting kita perlu berhati-hati kerana penipuan mahupun dengki itu sentiasa ada di mana-mana," katanya yang sudah masak dengan selok belok dunia hiburan.

  Sepintas 

  Lelaki yang tak digemari: Kak Pah tak suka lelaki yang suka berkepit dengannya 24 jam, ke hulu ke hilir bersama.   Lelaki itu tak perlu menjadi pengawalnya.  Tak suka lelaki yang berbadan besar tapi berjiwa kecil.  Tak suka lelaki yang cepat buruk sangka, kuat cemburu dan tak berfikiran terbuka.

  Jualan meja persembahan Up Close And Personal With Datuk Sharifah Aini pada 17 April ini di Hotel Concorde sangat memberangsangkan.  Kak Pah juga merancang permainan rahsia yang akan dilaksanakannya pada hari terbabit.   Tetamu dan peminat yang akan hadir juga berpeluang untuk makan malam istimewa bersamanya dengan menjawab soalan pada acara itu.  Kak Pah juga mendapat permintaan untuk berduet dengan tetamu.  Untuk yang berminat membeli meja boleh menghubungi pihak Lime Event di talian, 019-3488054 atau 012-9332373.  Ataupun emelkan pertanyaan ke limeevent@gmail.com

  Mengakui dirinya masih menjalani terapi ‘cleanerholic’ kerana sukakan kebersihan sepanjang masa.  Bukan hanya kebersihan diri tapi juga dalam soal yang membabitkan rumah.

  Sangat sentimental jiwanya.  Kak Pah suka mendengar lagu mengikut mood yang dirasainya.  Di rumahnya sudah terkumpul 7 ribu cakera padat yang tersimpan di bilik buku dan pejabat mininya.  Jika memilih untuk mendengar lagu klasik, artis pilihannya seperti Josh Groban dan Luciano Pavaroti.

  Teringin bertemu dengan personaliti popular Hollywood, Oprah Winfrey kerana itu impiannya sekian lama.  Kak Pah memandang Oprah sebagai inspirasinya malah sudah mengikuti perkembangan Oprah sejak lebih 20 tahun.  Kak Pah gemar menonton program bual bicaranya.  Bagi Kak Pah, Oprah sangat bijak, sensitif dan hatinya cantik.  Apabila memandang Oprah, Kak Pah secara jelasnya boleh mengaitkan wanita berkulit hitam itu dengan dirinya kerana Kak Pah juga mudah terasa hati terhadap orang yang kurang bernasib baik, sebagaimana Oprah.  Dalam simpanan, Kak Pah mempunyai empat buah buku autobiografi bukan rasmi mengenai Oprah.