KEHADIRAN ALIF HADIAH PALING BERHARGA

oleh Zaidi Mohamad  (Berita Harian: Isnin, 13 Julai 2009)

Majlis sambutan ulang tahun Datuk Sharifah Aini bertemakan cinta, penuh kasih sayang

Airmata Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini cukup mudah tersentuh kala terkenangkan anak tersayang, Alif Omar, yang jauh di negara orang demi mengejar cita-cita.  Kuntuman rindu yang bertandang di antara Malaysia dan kota Madinah, tempat si anak menimba ilmu, membuktikan bahawa kasih ibu tiada penghujungnya.

Bagaimanapun, ia bukan penghalang untuk si ibu terus menebarkan kasih dan sayang kepada anaknya yang sudah menginjak usia 27 tahun.  Biarpun terpaksa berjauhan, beliau yang sinonim dengan panggilan Kak Pah itu reda melepaskan anaknya ke sana.  Malahan, penyanyi Seribu Mawar itu sangat senang hati apabila anaknya berada di tanah haram kerana yakin dan percaya bahawa Yang Maha Kuasa sentiasa merahmati perjuangan Alif.   Kata Kak Pah, melahir, memiliki dan membesarkan Alif dengan sempurna di depan mata umpama hadiah terbesar yang cukup bermakna dalam hidupnya.

"Dia buat Kak Pah bangga menjadi seorang ibu.  Dia nyawa dan kekuatan hidup Kak Pah.  Kami harus akur dan perlu membiasakan diri untuk berjauhan.  Hampir setiap hari kami akan berhubungan untuk melepaskan rindu.  Setiap hari juga Kak Pah akan SMS kepadanya untuk meluahkan isi hati.  Kalau dia sedang berperang dengan peperiksaan, Kak Pahlah yang paling gementar dan tumpang takut.  Ketika itu, Kak Pah tidak tidur malam untuk berdoa dan bersembahyang meminta restu Tuhan supaya dia dapat menjawab soalan dengan tenang dan lancar.  Kebiasaan Kak Pah juga jika terlalu rindu dengannya ialah untuk ke kamar tidur Aliff.  Kak Pah akan mencium bajunya, malahan ada dua tiga pasang bajunya dibiarkan tidak dibasuh beberapa hari supaya bau badannya terus melekat.  Kak Pah juga pernah tidur di biliknya dan mencium bantal kepunyaannya.  Kak Pah turut terleka di biliknya apabila dapat melepak dan membaca kitab dan buku miliknya," kata Kak Pah yang ditemui Hip, 4 Julai lalu di VillaMay, Seksyen 7, Shah Alam ketika mengadakan majlis meraikan sambutan hari lahirnya (2 Julai) dengan rakan karibnya.

Acara rutin yang sering dilakukan Kak Pah itu cukup bermakna apabila Alif turut hadir memberi kegembiraan berganda kepada ibunya itu.  Kebetulan, Alif sedang bercuti tiga bulan daripada pengajiannya.  Patutlah hampir setiap butir bicara Kak Pah bersama Hip, beliau rancak bercerita mengenai anaknya itu.  Bahkan, kalau dapat diputar kembali masa lalu, jika Kak Pah masih muda, beliau berharap untuk memiliki bukan seorang anak, sebaliknya enam orang anak.  Selorohnya, beliau teringin anak perempuan tapi pintasnya kembali mungkin rezekinya hanya untuk mendapatkan seorang anak iaitu Alif, satu-satunya intan payung dambaan hatinya.

"Bukan nak memuji dia melangit, tetapi memang dia anak yang tidak suka meminta-minta.  Nak minta duit dekat Kak Pah pun dia segan.  Tapi sebagai ibu, naluri Kak Pah cepat terasa dan dengan spontan Kak Pah akan hulurkan duit kepadanya.  Dia anak yang paling senang untuk dijaga dan tidak banyak songeh.  Dia jenis yang suka memberi kejutan kepada Kak Pah.  Setiap kali kembali ke Malaysia, dia tak lupa belikan Kak Pah gula madu, daun pudina dan kitab suci Kalamullah.  Bagi Kak Pah, hadiah yang paling memadai dan bermakna untuk hari lahir Kak Pah ialah jika dia lulus peperiksaan dengan baik," kata Kak Pah.

Mengenai majlis hari lahirnya itu yang diadakan secara santai, lebih 25 tetamu istimewa diundang.  Sebelum berkaraoke, tetamu menjamu selera juadah enak yang disediakan di Papillon.  Sambil diiringi alunan muzik instrumental bertemakan cinta, ia bagaikan sebuah acara yang cukup dirahmati dan penuh kasih sayang.  Kak Pah juga tak lekang mengukir senyuman melayan tetamu.  Paling menarik perhatian Hip ialah gelagat Alif yang begitu berselera menikmati hidangan yang disediakan.  Barangkali juga Alif begitu merindui masakan Malaysia.   Bagaimanapun pada akhirnya Hip difahamkan Alif begitu berselera kerana tidak sempat makan tengah hari.

Menurut Kak Pah, majlis ini diadakan bukan atas soal glamor sebaliknya sebagai tanda terima kasih kepada rakan yang sentiasa berada di sisinya ketika berdepan dengan keindahan dan kesukaran kehidupan.  Sebelum berlangsungnya acara itu, Kak Pah terlebih dulu menganjurkan majlis khatam al-Quran selama tiga malam berturut-turut di kediamannya.  "Majlis khatam al-Quran itu dihadiri lebih 200 orang termasuk ustaz, anak-anak tahfiz dari Kepong, Subang dan Puchong.  Majlis itu dijadikan acara bulanan di surau rumah Kak Pah.  Kak Pah tidak berharap lebih dan berharap apa yang dilakukan ini akan diberkati Tuhan.  Bersempena ulang tahun hari lahir Kak Pah tahun ini, Kak Pah hanya berdoa yang mustahak saja.

"Kak Pah memohon supaya Tuhan terus menjadikan wanita bernama Sharifah Aini ini untuk terus tegar dan kuat menjalani kehidupan mendatang.  Masalah datang dan pergi, ia bukan sebab untuk Kak Pah terus mengeluh dan termenung.  Kak Pah tak mudah goyah kerana Tuhan sentiasa memberi kekuatan, malahan Alif juga sentiasa mendoakan Kak Pah.  Kak Pah hanya meminta kesihatan yang baik, dipertingkatkan iman dan mudah-mudahan Tuhan akan mengakhiri hidup Kak Pah dengan baik.  Jika sampai waktu untuk Kak Pah menghadap Tuhan, biarlah Kak Pah meninggal dunia dengan aman dan tenang.  Kak Pah juga tidak lupa mendoakan Alif bertemu jodoh yang baik.  Paling penting kini ialah persembahan Kak Pah pada 17 Julai ini di Dewan Perdana Felda diharap akan berjalan lancar.  Kak Pah ini orang yang kuat dan boleh menolak ketepi apa juga kontroversi melanda supaya dapat memberi tumpuan kepada persembahan itu nanti," katanya yang sudah ligat membuat latihan bersempena persembahan An Evening With Datuk Sharifah Aini.

Sementara itu, Hip sempat menemu bual Alif yang semakin bertambah kacak dan kurang pemalu lagi orangnya.   Cuti pengajiannya itu memberi kesempatan indah apabila dia dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama ibunya kelak.  "Peluang cuti ini juga dapat saya gunakan untuk menziarahi sanak saudara dan rakan.  Selalunya, pertemuan saya dan rakan diadakan di rumah ibu.  Saya juga seronok dapat bersama-sama meraikan hari lahir ibu saya kali ini.  Harap dia akan gembira selalu dan mudah-mudahan akan cepat bertemu jodoh (pengganti).  Ibu saya seperti emak orang lain juga.  Kala berjauhan, dia akan menghubungi atau sekadar berSMS untuk bertanya khabar dan perkembangan saya di Madinah.  Terlalu banyak kenangan manis saya titip bersamanya.  Di kesempatan ini juga saya berharap dia akan terus bersemangat dan tabah mengharungi kehidupan mendatang," kata Alif.