DIVA TENANG BERTEMANKAN BUKU oleh Roslen Fadzil (Berita Harian: i-Kon – Sabtu, 20 Disember 2003) |
CANTIK & TENANGNYA MAHLIGAI SEORANG DIVA Segala-galanya bagaikan sempurna. Susun atur perabot serta kebersihan di segenap inci rumah itu benar-benar melambangkan keperibadian pemiliknya. Sekali pandang, orang tentu dapat mengagak beliau seorang 'perfectionist'. Atas faktor keselamatan, penulis bagaimanapun tidak dapat menyatakan secara terperinci di mana kediaman ini tersergam indah tetapi cukuplah sekadar dikatakan banglo secantik istana hinggap ini terletak di pinggiran Kuala Lumpur. Setinggi dua tingkat, keluasan rumah ini (tidak termasuk lamannya) dianggarkan lebih kurang sama dengan lapan pangsapuri mewah.
Ditanya mengenai kebersihan yang ketara di rumah yang bersulamkan kayu cengal itu, Sharifah berkata: "Mata saya ini cukup sensitif dengan kebersihan. Sejak kecil lagi saya sudah dididik arwah ibu (Allahyarham Tengku Wan Mariam Wan Tahir), supaya selalu menjaga kebersihan. Pesannya, biar rumah kita kecil, tapi jangan biar kotor. Dulu, walaupun rumah kami guna dapur abu, lantainya cuci 'calat' hingga boleh dibuat tidur." Apa yang jelas kini, selera ibu tunggal itu dalam memilih perabut hiasan meanglah tinggi. Bayangkan, di tingkat bawah banglo yang banyak berhias candelier itu, ada enam set sofa empuk dan kayu yang diimpot dari Milan, Paris, London dan Bali disulami empat set meja makan mewah. Dapurnya turut dijaga dengan rapi dan ia terbahagi kepada ruang kering dan basah. Sesuai dengan minat beliau terhadap haruman, penyanyi 'Bunga Tanjung' itu sentiasa memastikan dapurnya segar dengan wangian potpouri dan candle burner. Itu belum lagi mengintai ruang pejabatnya kerana ia cukup luas, berhawa dingin dan dilengkapi kira-kira 3,000 buku, 7,000 cakera padat (CD) dan sistem audio visual canggih. Sementara patio di antara pejabat dan ruang tamunya begitu redup dengan pokok yang dibiar menjalar pada dinding dan jerigi. Seperkara yang jelas, kediaman Sharifah tidak banyak menggunakan langsir kerana beliau lebih gemarkan bidai kayu yang dipadankan dengan tingkap kaca. Banglo itu disempurnakan lagi dengan taman menghijau serta ruang lepak berhampiran dapur yang berbumbungkan pokok menjalar ala Inggeris. Semua itu hasil kreativiti beliau sendiri yang banyak membaca buku dan melawat luar negara. "Bagi saya, setiap inci rumah perlu mendapat penjagaan sama rata. Rumah saya tidak ada depan atau belakangnya kerana semua sudut adalah penting. Saya juga tidak sukakan rumah yang 'pretentious' tetapi biarlah 'friendly', katanya yang gemarkan warna lembut seperti peach dan beige. |
|