BUNGA TANJUNG BUAI PERASAAN

oleh Zubir Mohd Yunus  (Berita Minggu: Bi-Pop, 19 Mac 2006)

Kontroversi demi kontroversi yang pernah menimpa Datuk Sharifah Aini tidak pernah meninggalkan kudis kepada penghibur evergreen negara itu.   Lebih dari itu, beliau redha meneruskan kehidupan yang penuh cabaran ini malah tetap disayangi jutaan peminat termasuk mereka dari kalangan rakan artis sendiri.  Lama tidak muncul menyanyi di kaca TV, akhirnya pada Malam Anugerah Seri Angkasa 2005 lalu, Sharifah atau lebih sinonim dengan panggilan Kak Pah, kembali melepaskan rindu peminat dengan lagu hit belaiu, Bunga Tanjung, selain lagu padang pasir Nour El Ain.

Tidak dinafikan, Kak Pah yang cukup jelita dalam busana rona biji kundang daripada fabrik malam itu berjaya memukau semua hadirin termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta ramai tetamu VIP lain.  Jelas alunan suaranya yang lemak merdu dalam lagu Bunga Tanjung itu membuai perasaan dan penonton memberikan tepukan paling bergemuruh kepada beliau selepas selesai menyanyi.

Bukan saja di depan pentas, suasana di belakang pentas turut meriah apabila ramai artis datang berjumpa beliau untuk bertanya khabar, mengucapkan tahniah dan bergambar kenangan dengannya.  Antara mereka ialah Aktres Terbaik ASA 2005, Safura, Penyanyi Nombor Satu Negara, Mawi serta Ning Baizura, Jaclyn Victor, Marlia Musa dan Niki Malaysian Idol.  "Alhamdulillah.  Saya cukup gembira dan berbesar hati dengan undangan pengajur pada malam ini.  Pada saya, orang-orang di dalam industri ini tidak pernah menghukum saya dan tetap profesional.  Saya begitu terharu melihat penerimaan peminat pada malam ini," katanya yang tidak lekang dengan koleksi intan berlian.

Bercakap mengenai perkembangan terbaru, biduanita tersohor negara ini sedang dalam proses rakaman album Melayu Deli dan Inggerisnya.  Sehingga kini beliau sudah muncul menerusi 94 album bergenre pop, asli, dakwah, Inggeris dan rakaman konsert live sepanjang lebih 35 tahun berjuang di pentas seni.  "Saya akan masuk studio lagi dalam waktu terdekat ini.  Dua album istimewa akan menanti semua peminat saya.  Terima kasih di atas sokongan anda yang tidak putus-putus itu," ujarnya.

Disoal mengenai kisah pahit yang melanda beliau sejak kebelakangan ini, Kak Pah berkata: "Kita janganlah takut dalam mencari kebenaran.  Saya sedia mempertahankan diri saya kalau dianiaya.  Apapun saya sedar setiap yang berlaku ada hikmahnya dan saya akan lebih berhati-hato dalam meneruskan hidup ini."