BELUM HILANG AURA oleh Nurulhisham Abdul Latiff (Berita Harian: Rabu, 14 Mei 2008) |
Menonton persembahan Biduanita Negara dalam majlis Minum Petang Eksklusif Hari Bonda Bersama Datuk Sharifah Aini di Hotel Legend hujung minggu lalu ibarat sebuah pelayaran untuk mencari diri sebenar penyanyi ternama ini. Sambil menjamu telinga dengan alunan merdu suaranya dan kelihatan begitu anggun dalam rekaan pereka terkemuka negara, Calvin Thoo, beliau membawa penonton mengimbau kisah suka duka sepanjang 40 tahun bergelar penghibur. Kira-kira dua jam berada di pentas, menyampaikan 20 lagu merdu yang kebanyakannya daripada era 70-an dan 80-an sesuai dengan acara, Sharifah Aini yang lebih mesra disapa Kak Pah bukan hanya menghadiahkan peminat dengan persembahan yang menghiburkan, bahkan dia memberikan ruang untuk mereka mengenalinya dengan lebih mendalam. Pada mulanya penyanyi ini mendedahkan, betapa dia inginkan suasana yang lebih intim bersama peminat. Justeru, majlis petang itu menerima tempahan beberapa ratus peminat saja. Dengan khalayak yang lebih kecil, wanita terkenal ini dapat berasakan keakraban bersama mereka yang datang. Dan, dia membuktikannya apabila turun dari pentas untuk bertemu kalangan penonton yang sememangnya menunggu penuh sabar penyanyi bersuara emas itu mendekati mereka. Lalu, peluang yang tiba tidak disia-sia apabila ramai yang mengerumuni untuk bersalam dan mengambil gambar. Tidak kurang yang melepaskan rindu dengan mencium pipi gebu penyanyi ini, tatkala dia berjalan-jalan menghampiri meja tetamu, sambil mengalunkan lagu Hapuslah Airmatamu.
Beberapa kali berjenaka, wanita berusia 54 tahun ini juga sempat memaklumkan betapa dia berhasrat untuk bersara daripada dunia nyanyian sebaik saja merakamkan album ke-99 dan ke-100 tahun depan. Begitupun, hasrat Kak Pah nampaknya tidak dipersetujui peminat yang secara nyata membangkang. "No!", jerit peminat berkali-kali sebaik saja dia mengumumkan hasrat berbuat demikian. Kata penyanyi ini, dia bagai berasakan, tiba masanya dia melakukan sesuatu perkara yang berbeza. Ujarnya, jauh di sudut hati dia teringin menyumbangkan khidmat dan tenaga untuk pertubuhan kebajikan dan kemanusiaan bagi membantu insan yang memerlukan. "Jika saya menyuarakan hasrat untuk melakukan kebajikan di negara ini, ramai yang memandang pada saya dan bertanya apakah saya serius? Jadi, bagi mengelakkan perkara seperti itu berulang, hantarlah saya ke Afrika atau ke mana saja, selama tiga bulan atau enam bulan, biar saya sumbangkan tenaga untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan," katanya. Pada ketika yang lain, penyanyi ini berkongsi cerita bagaimana kehidupannya dulu bukanlah semudah sekarang. Pada zaman kanak-kanak, dia terpaksa menjual kuih dan mengambil upah menggiling cili bagi membantu keluarga. Bapanya seorang pemandu teksi yang terpaksa berhempas pulas untuk membesarkan kanak-kanak. Banyak halangan dan kesukaran yang ditempuh penyanyi ini sebelum berjaya bergelar sebagai penyanyi. Dia masih ingat peristiwa bersusah payah menaiki bas untuk ke studio rakaman. Kerana kesusahannya itu dia menyimpan impian menjadi 'seseorang' apabila dewasa. Pertandingan nyanyian disertai pada usia remaja, mengubah kehidupannya. Dengan rezeki yang didapati hasil suaranya, Sharifah Aini membantu keluarga.
Pada petang itu juga, bukan saja kisah silam dan pesanan berguna dikongsi penyanyi ini bersama peminat, malah dia juga berkongsi banyak lagu merdu era terdahulu untuk halwa telinga penontonnya. Di samping itu, dia tidak lupa untuk memperkenalkan beberapa lagu yang bakal didendangkan, dengan menceritakan sejarah ketika ia dirakam. Antaranya, lagu Putus Kasih yang cukup bererti baginya apabila dia merakamkan lagu terbabit ketika sarat mengandungkan Alif. Lagu lain yang dinyanyikan penghibur ini ialah Seri Dewi Malam, Kenangan Indah Yang Menyayat Hati, Dekatlah Padaku, Terbang Helang, Empat Dara, Kau Pergi Tanpa Pesan dan Bunga Tanjung. INFO
Artikel lain yang berkaitan:
|