'ALIFF UBAT PALING MUJARAB'

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (Berita Harian: Selasa, 24 Jun 2014)

Datuk Sharifah Aini Nafi Tenat, Kesihatan Pulih 85%

Apabila dilaporkan Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini, kurang sihat dan sering berulang-alik ke hospital, ramai peminat bimbang dan tertanya-tanya perkembangan diri penyanyi Seri Dewi Malam itu.   Persoalan itu terjawab apabila Hip mengunjungi Sharifah Aini atau mesra disapa Kak Pah, Sabtu lalu.  Beliau sudah 85 peratus pulih selepas menjalani rawatan intensif di Pusat Perubatan Pakar Damansara, Petaling Jaya, sejak lima bulan lalu.  Sebelum ini, keadaan kesihatan Sharifah Aini dikatakan agak membimbangkan dan terpaksa berulang-alik ke hospital selepas dijangkiti virus influenza A (H1N1).

Tiga Penyakit

Bertambah bimbang di hati peminat apabila Kak Pah yang agak rajin mengemas kini akaun facebook tidak lagi berbuat demikian.  Ada juga yang membuat rumusan permata negara itu semakin nazak.  Bagaimanapun, lebih kurang sebulan lalu, beliau berkongsi keadaan kesihatan dirinya dan sekaligus mengubat kerinduan peminat tegarnya.  "Tidaklah nazak seperti yang heboh diperkatakan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Petaling Jaya, Sabtu lalu.  Katanya, ketika itu keadaan dirinya agak kritikal selepas berdepan dengan tiga penyakit iaitu radang paru-paru, jangkitan kuman dalam paru-paru dan virus H1N1.

"Alhamdulillah, kesihatan saya kembali pulih selepas menjalani rawatan intensif dan mendapat pemantauan doktor.  Hampir 85 peratus sudah pulih, mungkin dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi, semuanya akan kembali normal.  Cuma buat masa ini, kesan ubat steroid yang diambil membuatkan muka, badan dan kaki membengkak.  Itu pun sudah 50 peratus semakin pulih.  Saya masih mendapat rawatan di hospital setiap dua minggu untuk membuat pemeriksaan," katanya yang kelihatan ceria.

Aliff penawar harungi kesakitan

Sharifah Aini berkata, kepulangan anaknya, Alif Omar, 32, yang sudah dua tahun tidak ditemui, membuatkannya semakin sihat dan bersemangat.  "Aliff tidak dapat pulang selama dua tahun kerana terikat dengan pembelajaran di Madinah.  Kali ini, Aliff pulang dan akan menyambut Ramadan dan Aidiliftri bersama saya.   Aliff bercuti tiga bulan.  Melihat Aliff saya rasa sudah sihat ... Alhamdulillah.  Aliff menjadi kekuatan saya untuk terus berjuang menempuh penyakit ini," katanya.  Sharifah Aini juga berkata, beliau terharu dengan kunjungan teman artis seperti Datuk DJ Dave, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Khadijah Ibrahim, Nancie Foo, Datuk Freddie Fernandez, Julie Sudiro, Mas Omar, Sheila Mambo, Nozie Nani dan Jaafar Onn ketika beliau sedang terlantar di rumah.  Malah Jaafar Onn membawa gulai asam pedas ikan parang yang dimasaknya sendiri untuk saya makan.  Saya berterima kasih kepada rakan artis yang mengingati saya.  Doakan kesihatan saya pulih sepenuhnya," katanya.