"SAYA CUMA PERLUKAN MASA LIMA TAHUN LAGI" oleh Huzz (URTV, 15 Julai 1996) |
"Cuma ada masa lima tahun saja lagi untuk saya bergelar penghibur pentas," demikian pengakuan biduanita cantik lawa, Sharifah Aini. "Sama ada nak muncul di TV ke, majlis makan malam ke, pertunjukan pentas di sana sini ke ... semuanya hanya dalam tempoh itu mulai dari sekarang. Selepas itu saya tidak mahu lagi fikirkan semua itu. Saya nak berehat terus dari menjadi penghibur pentas. Saya sudah membuat keputusan apabila usia saya 46 tahun (5 tahun lagi) saya akan bersara!". Tentulah keputusan yang dibuat oleh penyanyi yang pernah bergelar 'Ratu Seni Suara' dan 'Primadona Segala Lagu' ini mengundang keresahan di kalangan peminatnya yang sejak dulu setia mencintainya sebagai penyanyi. Tentulah akan sunyi dunia seni suara ini kerana tiada lagi penyanyi yang bersuara lemak merdu yang setanding penyanyi Mesir, Umi Kalthum dan Fairuz itu. Mungkinkah Diana Ross Malaysia ini sudah bosan menyanyi? "Bosan itu tidak. Tapi ... entahlah ... hati saya mula terfikir untuk menyanyi 'all out' dalam tempoh lima tahun ini. Selepas itu saya akan buat perubahan dalam hidup saya. Saya nak menjadi surirumah tetap dan ibu kepada anak-anak yang telah membesar dan akan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Saya fikirkan lima tahun akan datang saya akan sering melawat anak saya Aliff yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Ketika ini, Aliff masih dalam tingkatan dua. Impian saya pada masa itu, mahu di sisi anak-anak yang sedang dalam usia antara remaja ke dewasa. Saya mahu mereka belajar sampai ke luar negara. Saya mahu melihat Aliff ambil ijazah di luar negara. Begitu juga dengan anak-anak saya yang lain. Saya yakin dengan kemampuan mereka. Saya tidak menggalakkan mereka jadi penyanyi. Lagipun tak ada yang nampaknya mewarisi bakat saya," begitu cerita Sharifah Aini sewaktu Huzz bertandang ke rumahnya baru-baru ini. "Bagaimanapun hendak dikatakan langsung tidak mahu menyanyi tu ... saya tak beranilah! Apalagi kalau ada yang masih mahu mendengarkan suara saya. Cuma masa itu saya tak mahu sibuk nak fikirkan soal show lagi! Tentang album ... saya akan merakamkannya jika pihak rakaman atau peminat masih mahukan saya berbuat demikian. Kalau mereka merindu saya ... dengarkanlah kaset saya. Tapi kalau nak jumpa saya di pentas tak mungkin lagi ..." tambahnya lagi. "Oleh itu dalam masa lima tahun dari sekarang saya tidak mahu melepaskan peluang menyanyi di serata pentas. Saya terima undangan majlis makan malam dan saya kira sambutan majlis makan malam cukup banyak buat saya sekarang. Saya juga menerima undangan pertunjukan pentas di sana sini termasuk di luar Kuala Lumpur. Begitu juga untuk program TV. Saya ingin puaskan hati saya terhadap bidang yang saya cintai ini. Cuma kalau soal berlakon tu ... saya tidak fikirkan sangat. Kalau disuruh pilih antara berlakon dan menyanyi sekarang ni ... saya lebih suka menyanyi. Malaslah memikirkan lokasi dan waktu shooting," katanya.
Cuma katanya, dia tidak menolak sebuah tawaran berlakon drama arahan Eddie Pak untuk menjadi seorang penyanyi dalam drama itu. "Tapi untuk filem itu saya tak fikirkan atau nak kejarkan sangat," katanya yang pernah berlakon tidak lama dulu. Kini Sharifah Aini baru saja selesai rakaman album solonya yang ke 43. Album ini diberi judul 'SELAMANYA' dan dijangka berada di pasaran tidak lama lagi. Dua penerbit terkenal
Terkejut Sharifah Aini apabila ada penyanyi baru yang tidak suka malah melahirkan rasa tidak senangnya kepada wartawan terhadap tindakan penyanyi evergreen ini yang berusaha merakamkan semula lagu-lagu popular masa kini. "Mengapa ada yang semudah itu membenci saya kerana merakamkan lagu mereka. Sepatutnya mereka perlu sedar, saya tak pernah berniat nak menunjukkan saya lebih baik dari mereka atau nak rosakkan lagu yang pernah mereka nyanyikan. Saya buat sebaik-baiknya agar lagu itu sedap didengar dengan cara saya. Mereka punyai stail dan cara mereka ... begitu juga saya. Saya hargai lagu-lagu hits masa kini. Saya pun menyukai lagu itu. Saya mendendangkannya dalam album saya kerana ingin memperdengarkan cara saya pula menyanyikannya. Bukan saya tak ada modal lagu lain atau berdengki dengan sesiapa. Di Barat pun lagu-lagu hits dirakamkan semula oleh penyanyi lain dari penyanyi asalnya. Sekarang ini sudah tidak mengejutkan. Mengapa di Malaysia masih ada yang suka mempertikaikan dan melemparkan tanggapan buruk?" Jelas Sharifah Aini yang telah memanaskan semula populariti lagu Seksa. Lagu yang diperkenalkan buat pertama kali oleh Amir UK's itu telah dinyanyikan semula oleh Sharifah Aini dan dimuatkan dalam album Konsert Sharifah Aini. Album itu telah dipasarkan pada awal tahun ini. Penjualannya terbukti hebat. Laris hampir 100,000 unit dalam tempoh tidak sampai setahun. Kini untuk album terbarunya, Sharifah Aini merakamkan semula lima lagu yang pernah dipopularkan oleh penyanyi masa kini. Lagu-lagu itu ialah 'Gerimis Mengundang' (nyanyian asal oleh Zamani Slam), 'Sampai Hati' (Ameng, Spring), 'Dalam Gerimis' (Sham, Visa), 'Kenangan Lalu' (Flybaits) dan 'Di Alam Fana Cintamu' (Shamrin Fotograf). "S Atan sebagai pengubah semula muzik lagu-lagu itu cukup hebat. Bukan saja saya, pasti peminat-peminat akan menyukai lagu-lagu yang terdapat dalam koleksi rakaman semula saya ini nanti. Sementara lima lagu baru dalam album ini dicipta oleh Saari Amri. Saya yakin lagu-lagu itu juga akan muncul sebagai lagu yang diminati. Getarannya hebat. Saya puashati dengan hasil kerja komposer muda ini," jelas Sharifah Aini. Lagu-lagu baru itu diberi judul 'Selamanya' (lirik oleh Sharifah Aini), 'Kepastian Cinta', 'Sebelum Rindu Tercalar', 'Hatiku Sudah Patah' dan 'Kuntum-Kuntum Kasih'.
Pada pertengahan Jun lalu, pukul 11.00 malam, Huzz mengajak jurufoto, Harun Osman menjenguk Sharifah Aini di Studio King, Petaling Jaya, Selangor. Ketika itu, dia sedang sibuk merakamkan lagu berjudul 'Hatiku Sudah Patah'. Kehadiran kami disambut oleh penerbit albumnya, Saari Amri dengan senyum panjang. "Terima kasih kerana hadir. Saya suka wartawan datang ... biar tengok sendiri bagaimana rakaman saya dilakukan," kata Sharifah Aini yang segera keluar dari bilik rakaman sebaik melihat kami datang. "I love this song (saya sukakan lagu ini ...) mengandungi banyak erti. Judulnya pun menarik ... 'Hatiku Sudah Patah', untuk saya mengenangkan pengalaman masa silam dan khas untuk peminat yang asyik kena tipu kerana cinta. Apapun sentuhan Saari memang hebat," kata Sharifah. Pintas Saari pula, "Saya pun senang kerja dengannya Huzz ... you nak tahu Sharifah Aini boleh menghayati lagu dengan cepat. Dia ambil masa dua jam untuk siapkan satu lagu. Berbeza dengan pengalaman saya bersama artis kita yang muda-muda ni ... ada tu dua hari untuk rakamkan satu lagi. Ini dikatakan pengalaman itu mahal."
Sebelum ini pun komposer lain seperti S Atan, M
Nasir, Ahmad Nawab, A Ali dan Manan Ngah yang pernah bekerja dengan Sharifah
Aini pun mengakui kehebatan penyanyi itu. Kata mereka Sharifah Aini bukan
setakat menyanyi tapi mengenali apa itu lagu untuk dijiwai. "Kami boleh
bekerjasama. Saya akan beritahu dia apa yang saya hendak ... begitu juga dia
boleh menanyakan apa saja yang perlu. Dan Sharifah membantu saya apa yang
dirasakan cantik dan baik untuk menjiwai lagu ini," kata Saari. "Jadi di sinilah
perlunya ada pada seorang penyanyi.'
Malam itu sungguh asyik Huzz mendengarkan irama lagu baru ciptaan Saari,
Hatiku Sudah Patah. Apalagi nyanyian Sharifah Aini yang cukup tenang dan mengasyikkan itu bagaikan menggamit kenangan silam. Terdapat keistimewaan pada lagu itu bukan saja kerana sentuhan ciptaan Saari dan kelunakan suara Sharifah Aini, tapi pemetik gitarnya saudari Raffi pasti akan membuat peminatnya menyukai lagu ini.
"Memang pun ... saya ni jatuh cinta mendengarkan petikan gitarnya. Sungguh menggagumkan saya," terus terang Sharifah Aini mengakuinya. "Eh ... jatuh cinta kerana petikan gitar, bukan orangnya. Bahaya ni ... nanti wartawan gosipkan. Huh jangan ... ! " pesannya. Janganlah lupa mendapatkan kaset atau CD album terbarunya nanti jika di pasaran.
Wah ... kalau mendengarkan lagu Gerimis Mengundang pasti ada yang
terpikat kerana nyanyian Sharifah Aini istimewa sekali untuk lagu ini. Kalau
Seksa membuat suaranya sering ke udara di corong radio, apa
kurangnya, Gerimis Mengundang lagu gubahan
S Atan itu. Ada sentuhan yang memikat jiwa. "Sebetulnya saya buat
'homework' juga. Saya dengar dan amati persembahan penyanyi asalnya,
Zamani. Dan kemudian saya cuba bawakan nyanyian itu cara saya. Saya
sukakan lagu ini. Malahan sebagai penyanyi asalnya, saya akui Zamani
mempunyai satu kehebatan. Saya sukakan suara lelakinya itu. Pada saya
nyanyiannya juga istimewa. Terus terang saya katakan Zamani ada daya
kehebatannya sebagai penyanyi lelaki masa kini," kata Sharifah Aini.
Huzz terdengar cerita kononnya tempoh kontrak Sharifah Aini dengan syarikat rakaman EMI Malaysia telah dilanjutkan sampai lima tahun lagi? "Ya memang benar. Saya baru saja menandatangani perjanjian.
Nampaknya sekian lama saya dengan syarikat ini ya ... sudah hampir 30 tahun dengan mereka. Bukannya tak ada tawaran daripada syarikat lain cuma ... saya tidak berminat. Setakat ini terima kasih layanan pihak rakaman tidak mengecilkan hati saya," katanya. Dengarnya, royalti album yang kak Aini terima merupakan paling mahal untuk sebuah kaset. Mengatasi artis lain di Malaysia, khabarnya RM3 untuk sebuah kaset? "Ohh .. no komen! " katanya sambil tersenyum.
Peminat-peminat Sharifah Aini kian bertanya bilakah akan diadakan lagi konsert gemilang penyanyi ini setelah kejayaan konsert tiga hari tiga malamnya berlaku akhir tahun lalu. "Mulanya dijangkakan konsert seterusnya akan diadakan pada Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra, tapi akhirnya ditunda pada bulan November. Memanglah saya hendak sangat adakan konsert tahun ini lagi,' kata Sharifah, penyanyi perempuan Malaysia pertama mengadakan konsert dengan iringan orkestra yang mempunyai jumlah pemuzik hampir 100 orang tahun lalu.
"Kalau boleh konsert bulan November ini juga saya mahu kekalkan orkestra itu. Memanglah ada yang mengatakan bukan mudah menyanyi dengan orkestra, tapi saya sukakannya. Malahan saya gembira di belakang saya beraksi lebih 100 pemuzik. Kemungkinan konsert ini akan dibuat dua malam. Malam pertama untuk seluruh peminat saya dari segala pelosok rantau. Saya akan muncul selama dua jam mendendangkan lagu-lagu lama dan baru. Lagu-lagu lama saya masih banyak belum dinyanyikan dan lagu-lagu baru pasti akan memuaskan hati mereka. Malam kedua. saya akan berdepan dengan golongan korporat. Sambil berhibur mereka boleh menikmati makan malam istimewa. Ada yang sanggup membayar RM500 satu orang! Terima kasih kalau benar ingin berbuat demikian. Apa pun soal tiket dan jualan meja semuanya akan diputuskan nanti," katanya.
Sharifah Aini tersenyum panjang bila Huzz tanyakan apakah pendapatnya tentang bermacam gelaran yang pernah diterimanya dari wartawan hiburan sepanjang 31 tahun menjadi penyanyi. "Hmm memanglah macam-macam. 'Ratu Evergreen'lah, 'Ratu Seni Suara'lah, 'Ratu Segala Lagu'lah, 'Ratu Tahi lalat'lah, 'Primadona Lagu'lah, 'Liz Taylor Malaysia', 'Dolly Parton ...' huh ... banyaknya! Saya mengucapkan terima kasih kepada wartawan yang menilai kejayaaan saya sebagai penyanyi. Malah saya terharu bila seorang ketua pengarang sebuah akhbar pernah memberikan saya gelaran 'The Living Legend'. Saya menghargai gelaran ini dan menjadikan kenangan ketika saya masih hidup. Saya menghargai mereka yang mengenangi bukan saja saya tapi penyanyi lama yang masih menyemaikan bakti dalam arena seni suara." katanya. "Mengenai gelaran Liz Taylor dan Dolly Parton Malaysia tu ... saya kurang senang juga tapi apa nak buat sudah diberikan. Begitu juga dengan gelaran Diana Ross Malaysia. Sebolehnya saya mahu berbangga menjadi Sharifah dari Malaysia! Saya tak anggap saya sudah bagus dan memandang rendah pada orang lain. Saya mahu menjadi Sharifah Aini yang disegani bukan kerana suara atau kehadiran saya ke sesuatu majlis tapi diri saya. Tak saya nafikan ... dalam usia begini memang mudah berjauh hati ... bila ke sesuatu majlis tu ... bertemu artis baru, tapi kita ni dianggap musuh. Jangankan bertegur ... dekat dengan kita pun tak mahu. Saya pernah terkejut berhadapan dengan sikap seorang artis baru. Pada satu show, dia meminta saya memulakan persembahan sebagai pembuka tirai. Tapi pihak penganjur membantah dan mahukan saya menjadi penyanyi penutup tirai. Sebagai penghibur, kita sepatutnya tidak mengukur diri kita sendiri tetapi biarlah orang lain yang membuat penilaian untuk kita. Dan lebih malang lagi, malam itu persembahannya disusuli dengan berbagai komplin. Bagi saya mereka yang baru ini perlu banyak belajar dan jangan mudah sombong. Saya terkejut dengan kejadian itu tapi saya cuma menelannya sebagai satu pengalaman," katanya. |