SHARIFAH AINI PASRAH MELEPASKAN ALIFF PERGI oleh Bahyah Mahmood (BAM) (URTV, 15 Mei 2001) |
Seligat manapun SHARIFAH AINI di pentas nyanyi ... riuh rendah dengan tepukan dan sorakan penonton, adakalanya sejenak nyanyiannya terhenti ... tawa riangnya, gurau sendanya bertukar menjadi sebak pilu mengenangkan Aliff - buah hati pengarang jantung, tiada lagi di sisi ... jauh dari pandangan mata. Aliff kini berada di Kota Bharu, Kelantan Darulnaim sejak 3 Mei yang lalu, menyertai kelas intensif bahasa Arab di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri KB. Sharifah Aini sendiri menghantar Aliff ke KB, ditemani beberapa orang teman rapatnya. Saya juga berkesempatan turut sama menyaksikan peristiwa bersejarah, penyanyi pujaan ramai itu menyerahkan anak bujangnya kepada pegetua dan guru-guru sekolah, sambil meninjau asrama tempat kediaman Aliff. Di pagi Kahmis, 3 Mei 2001, setibanya kami di penginapan (Hotel Renaissance Kota Bahru), Aini disambut mesra oleh petugas-petugas hotel. Walaupun pada mulanya peminat-peminat agak tergamam di kala bersua dengannya yang berpakaian jubah hitam dan tudung di kepala. "Ini Sharifah Aini ke?" tanya mereka. Aini hanya tersenyum menganggukkan kepalanya. Lalu ada pula yang menyampuk: "Sharifah berpakaian begini, nampak lebih cantik lagi." Dia hanya tersenyum. Aini memang tidak pandai menyombong diri. Sapaan peminat dilayaninya dengan mesra. Kami hanya sempat meletakkan beg pakaian sahaja. Kenderaan telah menunggu untuk membawa kami ke Bachok, menjenguk ke Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK). Pelajar-pelajarnya duduk bersila. Gurunya pun duduk bersila juga. Begitu rupanya sekolah pondok. Sikap ramah-tamah guru-guru dan pengetuanya melekat di hati kami. Dengan hati yang ikhlas pengetuanya spontan itu mempelawa Aliff. "Aliff boleh sambung belajar di sini, sebulan, dua bulan, tiga bulan, cari pengalaman baru," ujar pengetuanya. Lebih dua jam kami di situ, lalu terus berkunjung ke Sekolah Arab Perempuan - Maahad Muhammadi (P) di Jalan Merbau. Di sini, penyanyi ternama Sharifah Aini diserbu macam nak rak. Aliff terus lari sembunyikan diri di sebalik tembok. Tapi akhirnya Aliff tersepit juga di tengah-tengah pelajar perempuan yang mengerumuni ibunya. Dengan wajah merah padam, gugup, dia hanya mampu tersenyum. Acara yang diatur begitu pada seharian itu. Sebelah petang barulah Aliff dihantar ke sekolahnya, di Pusat Bahasa Arab di Nilam Puri, untuk mendaftar nama dan berkenalan dengan guru-guru di situ. Ustaz Nasir, pengarahnya sendiri, menguruskan kemasukan Aliff di situ. Ditunjukkan asrama tempat tinggal Aliff. "Puan Sharifah, bolehkah Aliff berkongsi bilik dengan empat lima orang pelajar?" tanya Usatz Nasir kepada Aini. "Puan Sharifah mahu bilik khas untuk Aliff? Kita ada bilik VIP," ujar Ustaz Nasir lagi. Aini cepat mencelah; "Tidaklah Ustaz,. Biarlah anak saya ini bergaul dengan kawan-kawan sebagaimana pelajar-pelajar lain. Aliff, budaknya pendiam dan pemalu, tapi dia suka berkawan," kata Aini lagi. Kata Ustaz Nasir lagi, "Saya akan menjaga Aliff seperti anak saya sendiri." Senang hati Aini mendengar pengakuan itu. Tapi sedih tetap sedih. Kata Aini: "Kesian Aliff,kenalah dia cuci baju sendiri. Nak makan kena pergi kantin. Dia pula suka makan malam-malam pun cari makan, lapar." Bagi Aini, hidup di asrama begini, bagai suatu kejutan bagi Aliff. Sebaliknya Aliff sendiri bila ditanya: "Aliff tau tak, Aliff harus menghadapi semua ini?" Dia hanya mengangguk dan tenang menjawab: "Aliff dah nampak semuanya, tak mengapa!" Si ibu tak henti-henti menangis. Dari KL ke Kota Bharu dan KB ke KL, asyik berlinang airmata. Maklumlah selama ini Aini tak pernah berpisah dengan Aliff. Kalau berpisah pun sewaktu Aini ke show sahaja. Kata Bibik dan Mus (dua orang pembantu rumah Sharifah Aini), saban hari Aini menangis sejak tiga minggu sebelum Aliff pergi lagi. Padahal di kala itu (sepanjang April lalu) Aini ligat di show sempena Minggu Setiausaha, show di Johor Bahru, show di Perlis dan show di KL. Dalam masa yang sama juga Aini sibuk menguruskan kemasukan Aliff ke Sekolah Arab di Kelantan itu, menghubungi orang-orang berkenaan menerusi telefon. Aini terpaksa juga lakukan semuanya ini atas desakan Aliff sendiri yang sudah tidak sanggup lagi duduk memerap di rumah. Dia sudah bosan menonton TV, sudah jenuh bermain komputer dan apa-apa lagi. Aliff sudah tidak sabar lagi menyambung pelajarannya setelah tamat SPM tahun lalu. Sejak Aliff tiada di sisinya, Sharifah Aini serasa 'mati'. Saban hari asyik berendam air mata. Bangun pagi tengok Aliff tiada, menangis. Tengok bilik Aliff kosong, menangis. Tengok pakaian Aliff, menangis. Tengok TV Aliff, menangis. Tengok komputer Aliff, menangis. "Waduh!! Mummy asyik menangis aja teringatkan Aliff," kata Bibik, pembantu rumahnya. Saya masih ingat lagi ... impian Aliff untuk bersekolah di Madinah, bermula di kala berada di Mekah, untuk kali kedua, bulan Ramadan Disember 2000. Ketika itu Mummynya membawa Aliff ke Mekah untuk mengerjakan umrah bersama dua orang lagi adiknya, Nina dan Siti. Selama berada di Madinah dan Mekah, Aliff sentiasa dikunjungi oleh abang angkatnya, Rizal (anak angkat Sharifah Aini) yang pernah menuntut di Jordan. Rizal fasih berbahasa Arab dan layak menjadi imam. Saat itulah pintu hati Aliff terbuka untuk menjadi seorang cendekiawan Islam dan Muslim sejati. Tambahan pula Ustaz Mahmud, seorang mutawif yang sentiasa bersama kami, turut memberi dorongan dan perangsang kepada Aliff. Katanya Aliff boleh bersekolah di Madinah ataupun di Mekah. "Kalau Aliff duduk di Mekah ini, setahun dua tahun, pasti Aliff boleh bercakap Arab dengan fasih." Mendengar kata-kata Ustaz Mahmud, Aliff hanya tersenyum. Sepanjang mengerjakan ibadah umrah di Mekah, Aliff kelihatan sentiasa riang selalu. Ibadat umrah dikerjakannya berulangkali. Tawaf sunatnya pun rancak. Begitu asyik dia menatap Kaabah. Serasa berat hatinya untuk pulang ke KL. "Rasa macam tak puas, sekejap sangat duduk di Mekah ini. Lama-lama sikit kan best!" kata Aliff. Aini pun asyik beriktikaf di Masjidil Haram dari waktu Asar hinggalah selesai sembahyang Tarawih, barulah pulang ke hotel untuk makan malam. "Tak terasa lapar pun," kata Aini. "Kenyang berbuka puasa makan kurma dan minum air zamzam," katanya lagi. Aliff pula paling suka makan 'kebab'. Selesai sembahyang Tawaih makan kebab. Bangun sahur pukul 3.00 pagi pun sanggup turun hotel beli kebab. Tak muak-muak selama 10 hari - saban hari Aliff makan kebab dan minum air mangga, huh, nikmatnya! Aini sendiri sering meluahkan hasratnya, kalau boleh teringin sangat nak tinggal lama sikit di Mekah. "Nikmat kalau dapat tinggal sebulan di Mekah. Baru puas dapat bersembahyang jemaah di Masjidil Haram. Puas dapat menatap Kaabah - Baitullah, rumah Allah. Bila berada di Mekah, serasa dekat diri kita dengan Allah," ujar Aini semacam rindu nak ke Mekah lagi. "Di Madinah pula, serasa kita dekat dengan Rasulullah s.a.w. Sayunya hati bila mengunjungi Makam Rasulullah. Bila kita memberi salam "Assalamualaikum Ya Rasulullah. Baginda Rasul akan menjawab salam kita, kta Ustaz," ujar Aini lagi. Sesungguhnya, Mekah dan Madinah memang tidak pernah sunyi dari kunjungan umat Islam di seluruh pelosok dunia. Kerana itu Aini akur dengan kehendak Aliff yang mengejar impian untuk melanjutkan pelajarnnya di bidang pengajian Islam di Madinah. "Aini sikit pun tak bimbang kalau Aliff bersekolah di sana kerana Madinah itu kota yang aman dan tenang, dan ramai pelajar-pelajar Malaysia di sana. Aliff telah membuat pilihan yang terbaik untuk dirinya. Mudah-mudahan dia akan menjadi anak yang soleh dan seorang cendekiawan Islam yang boleh diharap," ujar Sharifah Aini.
Alifflah satu-satunya anak tunggal Sharifah Aini hasil perkahwinannya dengan Ali Abu Bakar. Perkahwinan pertamanya dulu tidak kekal lama. Pernah di zaman kanak-kanaknya dulu. Aliff Omar bin Ali, menjadi rebutan antara ibu dan bapanya, untuk mendapatkan hak penjagaan. Serasa 'mati' Sharifah Aini, kalau anak kesayangannya itu terlepas ke tangan Ali Bakar. Terasa begitu cepat masa berlalu ... Aliff kini mulai meningkat usia remaja - 19 tahun. Imbasan wajahnya mirip ibubapanya yang berketurunan Arab. Aliff tampan kacak. Bersopan, agak pendiam dan pemalu, tapi tidak sombong bila didekati. Cuma Aini agak terkilan juga, dan kesiankan Aliff yang telah bertahun-tahun tidak pernah menatap wajah bapanya. Sudah bertahun tidak pernah berjumpa. Merajukkah Ali? Teringat saya, pernah dulu ketika berada di Mekah, tiba-tiba Aliff bertanya: "Auntie, pernah ke berjumpa daddy?" Nada suaranya terlalu merindu. "Anak ini terlalu rindukan bapanya," kata hati saya. "Aliff ingin nak jumpa Daddy?" tanya saya. Dia hanya tersenyum dan mengangguk. Tanpa Ali, kata Aini, "Aliff amat menyayangi Daddy Sallehnya (Datuk Salleh, bekas bapa tirinya)." Alifflah orang yang paling bersedih bila Mummynya berpisah dengan Daddy Salleh. Dia benar-benar terasa kehilangan kasih sayang seorang bapa yang memeliharanya sejak kecil lagi hinggalah meningkat remaja. Namun bayangan bapa kandungnya tak akan dapat dilupakannya. Aliff, Aliff!
|