SHARIFAH AINI BAWA ANAK-ANAK BUAT UMRAH

oleh Huzz  (URTV, 15 Januari 2000)

Sharifah Aini memeluk anak perempuannya - Siti Nadia bersama Aliff, kak Bam dan anaknya Syafiq ketika singgah di DubaiBiduanita Sharifah Aini berada untuk kali kedua di Tanah Suci Mekah pada Disember tahun lalu.  Beliau ke sana untuk menunaikan umrah.  Kali ini beliau ditemani anak sulungnya, Aliff Omar, 18, anak perempuan, Nina, 14 dan Siti, 12.  Tidak ketinggalan keluarga dan sahabat handai.  Sebenarnya Sharifah Aini tidak mahu pemergiannya itu dihebah-hebahkan.  Tetapi setelah dipujuk, biduanita itu akhirnya mengalah dalam rasa serba salah.

Katanya ketika memberikan albumnya, "Saya takut ada yang salah anggap saya ingin menunjuk-nunjuk.  Saya ke sana untuk beribadah, sebab itu kalau boleh saya ingin senyapkan perkara ini.  Sebenarnya saya sentiasa  sempat bertemu dengan anak-anak angkat saya yang sedang menuntut di Madinah dan Jordan.  Tidak perlulah saya menceritakan secara mendalam tentang mereka tapi saya sangat bahagia, setiap kali ke sana saya dikunjungi oleh mereka.  Begitulah tiada yang indah dalam hati seorang ibu apabila melihat anak teruna saya bergegas cepat mahu ke masjid untuk menunaikan ibadah.  Sungguhpun saya sibuk dengan dunia menyanyi, saya tidak lupa ingatkan anak-anak mengenai agama semenjak kecil.  Tidak terkecuali perasaan bahagia saya di Tanah Suci apabila kak Bam (bekas Pengarang URTV, Bahyah Mahmood) turut sama dalam rombongan kami.  Kak Bam yang saya kenali semenjak menjadi artis sentiasa sudi berada di sisi saya di dalam keadaan senang atau susah.  Saya juga ditemani oleh Raja Salmah yang telah saya anggap macam ibu sendiri."

Sharifah Aini menyimpan hajat untuk menunaikan haji pula selepas iniBetul ke ada yang cerita ternampak Sharifah Aini menangis di depan Kaabah?  "Saat berada di Tanah Suci ialah saat yang terindah saya rasakan di atas dunia ini.  Mekah begitu tenang dan damai.  Rasanya tidak terbanding dengan tempat lain di atas dunia ini," cerita Sharifah Aini.  Tidak saya nafikan menghadapkan wajah di depan Kaabah, air mata saya berlinangan dan mencurah-curah kerana hanya Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang yang mengetahui banyak rahsia hati saya.  Terlalu banyak saya lalui selama hidup di dunia ini.  Yang sakit, pedih, yang indah, manis semuanya saya rasai.  Saya juga masih mengharapkan masa depan saya yang indah dalam meniti hidup ini sebelum saat kembali.

"Banyak juga harapan saya sebagai seorang ibu untuk anak-anak yang kian membesar.  Soal saya sebagai penghibur dan penyanyi itu urusan saya untuk hidup, tapi soal amalan adalah soal peribadi antara saya dengan Allah.  Saya selalu ingat yang Allah benci kepada mereka yang riak apalagi menghukum orang lain, kerana saya percaya Allah sangat mengenal setiap hamba-Nya dan Dialah Maha Mengetahui dan sebaik tempat kita mengadu nasib.  Saya yakin setiap kali mengangkatkan doa hanya Allah sajalah yang memahami dan mengetahui naluri dan perasaan hamba-Nya."