KISAH LELAKI DAN DUIT DATUK SHARIFAH AINI oleh Huzz (URTV, 1 Mei 2012) |
Datuk Sharifah Aini pernah berkahwin. Bukan sekali. Tapi dua kali. Yang pertama dengan seorang ahli perniagaan dalam dunia hiburan (pemilik Box Office) iaitu, Ali Bakar. Percintaan yang terjalin ketika lelaki itu bekerja dengan sebuah syarikat akhbar berbahasa Inggeris membawa penyanyi ke alam rumahtangga pada tahun 1981. Tetapi jodoh beliau dengan Ali tidak panjang. Selepas bersama-sama Ali Bakar menghidupkan show business, Box Office, Sharifah Aini dan Ali Bakar bercerai sesudah lahirnya anak mereka, Aliff Omar pada tahun 1982. Tak lama kemudian, setelah lama menjanda, pada tahun 1983, Sharifah Aini bertemu pula dengan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk S atau nama sebenarnya Datuk Salleh, yang manis orangnya. Kisah cintanya menjadi hangat di dada merata akhbar dan majalah tempatan ketika itu. Lebih lagi, apabila Sharifah Aini merahsiakan wajah suaminya. Tidak, mahu gambarnya dirakamkan oleh jurugambar. Apatah lagi beliau bermadu kerana sebelum berkahwin dengannya, Datuk S sudah ada isteri. Namun jodoh mereka tidak panjang. Manusia mampu merancang, namun Allah menentukan. Perkahwinan dengan Datuk S yang sekian lama membawa bahagia berakhir dengan perceraian, tetapi antara beliau dengan bekas suaminya ini sampai ke hari ini masih baik, sebagai kawan. Kini, setelah 16 tahun Sharifah Aini menjanda, ada peminat yang ingin tahu, apakah Sharifah Aini takut berkahiwn lagi? Hakikatnya, dalam waktu menjadi ibu tunggal ini dikatakan, masih menjadi perhatian lelaki-lelaki kaya, ternama dan berkedudukan untuk mengenalinya, bahkan ada yang mahu menikahinya. Tetapi penyanyi ini didakwa beberapa kali telah menolak lamaran yang datang itu. Ketika bertandang ke rumahnya akhir April lalu, Huzz merisik cerita ini soal lelaki dan perkahwinan. Jawab Sharifah Aini, "Sebetulnya, kalau boleh, saya hendak mengelak soalan menyentuh hal-hal berkaitan kahwin. Apabila ditanya soal ini, saya mengaku berasa janggal hendak menjawab. Malu pun ada. Maklumlah, saya bukan muda lagi, saya wanita yang sudah matang dari segi umur, soal kehidupan dan pengalaman. Benar, sudah lama sangat saya keseorangan. Tidak punya pasangan dalam hidup. Sebetulnya, hampir 17 tahun saya sudah tidur bersendirian tanpa insan bernama suami. Namun kalau dibanding ketika mula-mula kembali bersendiri dulu dengan keadaan sekarang, ada kelainannya. Ada ketikanya saya merasa selesa dengan keadaan sekarang. Saya tidak terdesak memikirkan lelaki dan kahwin. Namun sesekali itu, saya tak menafikan, terfikir juga soal perkahwinan, bila ada merisik hati. Namun, dalam pada itu, terfikir juga ... kalaulah saya bersuami lagi, pasti berasa kekok. Contohnya kalau bercerita bab bilik tidur ... selama ini tidur bersendiri ..., kalau ada suami, kena kembali berkongsi katil. Seperkara lagi dah lama lifestyle saya bebas dan berdikari. Bebas yang saya maksudkan ialah saya mudah membuat keputusan untuk kehidupan, nak pergi bercuti atau pergi ke mana-mana. Saya gembira menjadi wanita yang tidak terlalu bersandar dan mengharapkan orang lain untuk hidup. Jangan salah tafsirkan penjelasan saya ini ya. Maksud saya ialah sekarang selesa bila hidup tak dikongkong. Tidaklah 24 jam kena berada disisi suami! Kalaulah saya bersuami lagi, takut saya akan rimas jika mempunyai lelaki yang cemburu, sentiasa mahu berada disisi saya atau ikut ke mana saja saya hendak pergi. Hal-hal itu kelak bimbang membuat hubungan tak berkekalan. Tapi saya tak boleh berbohong dengan mengatakan ... saya serik. Tak nak kahwin lagi. Tak nak bersuami lagi. Sebagai hamba Allah saya redha dengan takdir yang tertulis saya akan berkahwin lagi. Saya berdoa dijodohkan dengan yang terbaik sebagaimana yang saya hajatkkan." SYARAT TERHADAP BAKAL SUAMI Andai takdir mengatakan ada jodoh lagi dalam waktu terdekat atau akan datang ini, apakah ciri-ciri lelaki idaman Sharifah Aini, pada waktu-waktu begini? "Kalau sudah tertulis, saya tak bisa menolak. Tetapi saya harap ia tidak lagi berakhir perceraian dan kami bahagia. Kalau boleh sampai ke hujung nyawa. Berceitra tentang lelaki idaman, saya sama seperti perempuan lain di luar sana, mahukan lelaki yang baik. Saya mahu dilindungi oleh lelaki yang beriman kepada Allah dengan ikhlas, berhemah, berbudi bahasa, dan tentu saya mahu yang punya kewangan yang stabil dan tak kedekut. Dia juga mesti memiliki sifat suka bersedekah dan membuat kebajikan ke jalan Allah. Terus terang saya bencikan kepada manusia yang pentingkan diri sendiri. Saya juga suka lelaki yang bijak dan pandai bercakap, petah dengan perbincangan yang bernas dan suka berjenaka. Wajahnya segak, pandai menjaga penampilan, senyuman yang menawan. Saya mahu dia memiliki gigi yang putih bersih walaupun sudah berumur. Juga sentiasa wangi", ujarnya. Wanita sekarang sukakan lelaki muda. Apakomen Kak Aini? "Maaf, saya bukan wanita yang sukakan lelaki muda atau lebih muda daripada saya untuk dijadikan suami. Saya berasa janggal. Saya suka yang lebih tua daripada saya. Kalau boleh, mahu yang masih bujang atau duda. Bukan suami orang. Saya juga wanita yang suka memasak dan menjamu saudara serta kawan-kawan ke rumah. Pintu rumah sentiasa terbuka untuk tetamu. Saya bina surau dalam rumah dan kebelakangan ini suka melakukan aktiviti ilmu (usrah) solat berjemaah dengan anak-anak tahfiz. Jadi kalau sesiapa nak jadi suami saya, dia kenalah memahami dan tidak menganggap sering ada tetamu merimaskan! Jika dia seorang yang begitu kami tak boleh berkongsi hidup bersama. Saya juga tidak mahu suami yang mahu mengikut saya ke mana saya nak melakukan show ... bagi saya, waktu saya kerja, dia tak perlu ada sama. Saya rasa he should be he's own person ... kecuali kalau kami berdua menghadiri jemputan majis orang lain. Bukan apa, saya segan, bimbang orang kata saya nak tunjuk suami," jawab Sharifah Aini. Begitulah doa dan permintaan Sharifah Aini dalam memilih bakal suami. REFLEKSOLOGI Dari dulu sampai ke usia sekarang, Sharifah Aini terkenal sebagai artis yang cukup menjaga hal-hal kecantikan dan kesihatan diri. Katanya, "Dari dulu lagi saya mengutamakan soal kesihatan. Bila melewati usia 40an sebelum ini, saya mula jaga soal makan, gula dan garam. Mengamalkan vitamin, suka minum jus pegaga dengan madu yang saya kisarkan sendiri. Saya minum jus itu, sebulan beberapa kali serta jaga kulit muka dan badan saya penuh teliti, sudah amalan saya sejak dulu. Saya juga tak akan tidur dengan wajah masih ada kesan solekan. Penat letih balik dari show mana pun, saya pastikan muka dan tubuh badan bersih sebelum tidur. Kalau tak ada show, di rumah saya tak bersolek. Rajin juga mimum air suam dan air gunung. Suka menanam pokok bunga sekeliling rumah. Ada pembantu tak semestinya saya lepas tangan dalam kerja rumah. Tidur kena macam bayi ... 10 jam. Ada masa suka berjalan kaki, keliling rumah atau kawasan berdekatan. Buat kerja-kerja rumah, bagai senaman badan. Sudah bertahun-tahun juga, ada masanya saya akan menjalani rawatan refleksologi (urut kaki). Bila sudah penat kerja, apa salah memanjakan diri, jangan berlokek untuk diri sendiri. Kenalah bijak membeli dan berbelanja apa yang patut dan padan ikut kemampuan diri," katanya. |