SUARA HATI SHARIFAH AINI

oleh Saharudin Musthafa  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 21 September 2003)

Di pentas-pentas yang penuh dengan kilauan seribu neon, lazimnya seorang seniman menyerahkan kepada khalayak seluruh gambaran hidupnya yang penuh dengan pelbagai warna kehidupan.  Khalayak gembira dan bersorak kerana jiwa mereka terhibur menonton persembahan seorang seniman yang kita kagumi.  Lantas, pada masa yang sama kita terlupa untuk mendasari jauh sekali bertanya apa pula yang sarat ditanggung seorang seniman setiap kali dia berada di hadapan khalayaknya?

Gelombang kehidupan seorang seniman tidak pernah kita cuba hayati kerana lazimnya, hanya dia sahaja yang tahu betapa saratnya beban yang ditanggung.  Ironinya, khalayak sukar mengerti bahawa betapa berat sekalipun beban kehidupan seorang seniman itu, beliau terpaksa tampil dengan seribu kegembiraan.  Di mata khalayak, biduanita negara, Datuk Sharifah Aini mungkin dilihat sebagai wanita yang cukup sempurna.  Menempa kemasyhuran dalam dunia hiburan selama lebih tiga dekad, Sharifah hadir dengan pakej yang lengkap, bersuara hebat, jelita dan imej yang melambangkan beliau sebagai seorang primadona.  Sekali gus, penghibur ini menjadi ikon kepada sebilangan besar penyanyi wanita tanah air.

Bagaimanapun jauh di sudut hati penghibur bersuara emas ini tidak banyak yang tahu bahawa beliau tertekan dengan tanggapan seperti itu.  Sharifah mengakui, masih terdapat banyak kekurangan di dalam dirinya terutama kerjaya sebagai penghibur disegani.  "Jangan menganggap saya terlalu sempurna," luah Sharifah dalam satu pertemuan eksklusif dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini.  Menurut Sharifah, selagi namanya seorang manusia biasa, selagi itu beliau tidak lekang daripada dihimpit oleh kesilapan dan kelemahan yang seharusnya dilihat juga oleh peminat-peminatnya.  Justeru, beliau bersedia untuk dikritik oleh mana-mana pihak sekalipun.

"Sesuatu yang gila seandainya saya tidak boleh menerima kritikan," tegasnya menjawab pertanyaan banyak pihak.  Pengalaman kata Sharifah banyak mendewasakan beliau.  Justeru, seandainya kritikan itu jujur dan membina beliau amat menghormati pandangan sedemikian.  "Malang sekali, keadaan itu tidak saya perolehi lewat kebelakangan ini," ujarnya berkecil hati.  "Saya tidak marah atau berkecil hati kalau kritikan yang dibuat itu munasabah," tegas beliau lagi.  Kritikan ikhlas dan jujur yang dibuat tentang persembahannya, jelas Sharifah, menunjukkan keprihatinan pihak berkenaan untuk membaiki kelemahan yang ada dalam kerjayanya sebagai penghibur.

Dalam kedudukannya selama 35 tahun dalam dunia hiburan, Sharifah tidak mampu menolak hakikat bahawa beliau masih punya kelemahan.  Bagaimanapun jelas Sharifah, apa yang tidak disenanginya ialah terdapat di antara komen yang diberikan lebih bersifat menghentam dan bertujuan menjatuhkan kerjayanya.  "Kalau hendak kritik pun biarlah secara berasas dan dapat membantu meningkatkan kerjaya saya sebagai penghibur," katanya dengan nada yang sangat kecewa.  Kemunculan khas penghibur berdarah kacukan Melayu-Arab ini pada malam Konsert Simfoni Ghazal Johor Bersama Datuk Sharifah Aini baru-baru ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Sharifah dikritik hebat.  Meskipun kemampuan vokalnya dalam konsert selama empat hari itu sungguh mengagumkan, banyak faktor lain dianggap mencacatkan persembahan yang diiringi oleh kumpulan ghazal Yayasan Warisan Johor (YWJ) itu.  Menyentuh mengenai perkara itu, Sharifah mengakui, sesuatu yang amat sukar untuk dilakukannya pada kedudukannya hari ini ialah menyentuh soal etika kewartawanan.  Keseluruhannya, Sharifah amat menghormati segala penulisan mengenai persembahan beliau pada malam konsert ghazal yang julung-julung kali dianjurkan itu.

Sharifah Aini ... Jangan menganggap saya terlalu sempurnaSharifah Aini ... Kalau hendak kritik pun biarlah secara berasas dan dapat membantu meningkatkan kerjayanya sebagai penghibur

"Semua penulisan boleh membantu meningkatkan kualiti saya sebagai penghibur.  Yang tidak adilnya di sini ialah orang yang tidak berada di konsert saya juga sanggup mengkritik dan menulis.  Tidak ketinggalan ada yang hanya sekadar duduk menonton empat buah lagu menulis sesuatu yang tidak ada rasionalnya bukankah tidak adil namanya?" ujarnya penuh terkilan.  Sekali lagi dalam pertemuan itu, biduanita ini menegaskan, beliau sememangnya menghormati semua komen dan kritikan membina daripada semua pihak terutama pihak media.  Namun, sesuatu yang tidak disenanginya apabila kritikan itu cuba menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan peribadinya.

Barangkali kata Sharifah, pemahaman dan tanggungjawab serta etika kewartawanan dalam profesionalisme seseorang wartawan harus diberi penekanan.  "Ini amat mengecewakan saya kerana selama ini saya jarang sekali menyentuh hal-hal mengenai etika kewartawanan.  Saya amat menghormati pihak media tetapi kejadian baru-baru ini amat mengecewakan saya," ujarnya lagi.  Membicara lanjut mengenai pengalaman beliau pada malam konsert simfoni ghazal itu juga, Sharifah mengakui, selama menjayakan persembahan itu, beliau mempelajari banyak perkara.

"Mana-mana konsert sekalipun akan ada kekurangan.  Tambahan pula konsert itu selama empat hari berturut-turut dan waktu latihan terhad.  Bagaimanapun saya tidak kisah apa sekalipun tanggapan orang kerana yang penting kerajaan Johor dan YWJ faham dan memberi kepercayaan kepada saya untuk menjayakan konsert berkenaan," jelasnya.  Berakhir pementasan terbesar buat beliau, Sharifah berpuas hati kerana beliau sudah menyempurnakan amanat yang diberikan oleh kerajaan negeri Johor dan YWJ kepadanya.  "Saya tidak mengatakan saya sudah buat yang terbaik.  Saya hanya menyempurnakan kerja yang baik.  Saya juga sedar, adalah sesuatu yang mustahil untuk saya buat semua orang gembira," ujarnya menyambung bicara.  Apa yang lebih manis buat Sharifah ialah, beliau juga sudah melaksanakan tanggungjawab membawa ghazal ke kedudukan yang sewajarnya.  Saya bangga menjadi pewaris ghazal dan gembira kerana sudah menunaikan tanggungjawab untuk menarik perhatian generasi muda mencintai ghazal," katanya lagi.

Pada pertemuan itu, penghibur yang juga anak jati Johor ini turut menjelaskan, penggunaan bahasa Inggeris pada malam konsert berkenaan yang tidak disenangi banyak pihak.  Menjelaskan kekeliruan banyak pihak mengenai hal itu, Sharifah berkata, selama ini dalam mana-mana persembahannya, beliau sering mengambil kira kehadiran penonton yang terdiri daripada bangsa asing.  "Saya sentiasa sensitif dengan kehadiran penonton bukan Melayu atau penonton luar Malaysia.  Saya mahu mereka berkongsi pemahaman dan kegembiraan yang sama dengan peminat Malaysia," jelas Sharifah sambil memberitahu pendekatan itu juga seiring dengan saranan Perdana Menteri yang memberi penekanan terhadap kepentingan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia.

Sesuatu yang dikesalinya juga, tindakan beliau membasahkan tekak dengan meminum air juga menjadi bahan kritikan penonton.  "Adakah satu masalah besar untuk saya minum air ketika mengadakan persembahan?"' katanya meninggalkan persoalan penuh tanda tanya.  Kata Sharifah, sebilangan besar penghibur terkemuka dunia tidak terlepas daripada meminum air semasa mengadakan persembahan dan hal itu tidak pernah dijadikan isu.  Keputusan meluahkan kekecewaan ini kata Sharifah tidak didorong oleh mana-mana pengaruh luar  Bahkan, kesedaran untuk bertemu dan berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia dilakukannya atas dasar mempertahankan hak dan kedudukannya sebagai penghibur yang sudah 35 tahun berjuang membina empayar seninya.

Sebagai manusia, Sharifah sekadar mahu masyarakat tidak tangkas melemparkan pelbagai tohmahan terhadap kelemahan hidup orang lain.  Jauh lebih daripada itu, Sharifah bimbang ada kalanya khalayak, melupakan batas-batas manusiawi dengan menjatuhi hukuman secara membuta tuli.  "Sebagai seorang yang profesional, saya secara jujur dan ikhlas begitu menghormati pandangan dengan hati penuh terbuka," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel lain yang berkaitan:

  Ghazal Sharifah Aini Di Istana Budaya (Mingguan Malaysia: Pancaindera 31 Ogos 2003)

  Sharifah Aini Berghazal Di Istana Budaya (Utusan Malaysia Jumaat, 25 Julai 2003)