SHARIFAH AINI MAHU BERSARA

oleh Saharudin Musthafa  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 23 September 2001)

Pernahkah anda bayangkan bagaimana agaknya suasana dunia hiburan tanahair jika suatu hari nanti bintang legenda tanahair, Sharifah Aini mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni?  Sama ada mahu dinafikan atau tidak terpulang kepada apa yang sedang anda fikirkan ketika ini.  Hakikatnya jika benar perkara itu berlaku dalam waktu terdekat ini, anda perlu menerima kenyataan bahawa dunia seni akan kehilangan serinya jika Sharifah bersara.  Sharifah sudah lama mewarnai dunia seni.  Bukan sehari dua dia bergelar penyanyi.  Sebaliknya, dalam diam-diam Sharifah sudah 33 tahun menyanyi dan menghiburkan masyarakat.

"Saya terlalu mencintai kerjaya yang saya lakukan selama ini, malangnya banyak perkara yang membuatkan saya kecewa," akuinya jujur pada awal pertemuan dengannya.  Selama ini penghibur berdarah Arab yang mempunyai banyak tahi lalat di muka tidak pernah menyuarakan detik-detik persaraan.  Bagaimanapun, dalam satu pertemuan dengan Mingguan Malaysia beberapa hari lalu, Sharifah bagaikan memberi isyarat.  Biarpun tidak jelas, yang pasti Sharifah begitu kecewa.  Dia penat dengan kerenah birokrasi yang menyebabkan pelbagai perancangan yang diaturnya berdepan dengan kegagalan.  Yang memeritkan dia juga ialah, dia sudah terlalu bosan menanti janji yang ditaburkan.

Sesudah 33 tahun menghiburkan masyarakat, Sharifah mula menyedari, persekitaran dunia hiburan juga dipenuhi dengan pihak-pihak yang kurang sensitif dngan kehendak sebenar penggiat seni.  "Saya sudah terlalu letih untuk memikirkan mengenai orang-orang di sekeliling saya.  Ada kalanya saya terfikir, ada benarnya kata orang dunia hiburan sebenarnya dipenuhi dengan mereka yang tidak peka atau kurang sensitif tentang kekurangan yang dihadapi oleh golongan artis," tegas bicaranya.  Sebagai penghibur senior, bukannya satu kesalahan apabila sesekali Sharifah melontarkan idea atau mendedahkan kesilapan yang sudah, sedang dan yang akan terus berlaku dalam dunia seni.

Sharifah terlebih dahulu makan garam berbanding generasi muda yang baru sehari dua mengenal dunia glamor.  Pada Sharifah, glamor bukan lagi keutamaan.  Tanggungjawabnya hari ini menjadi semakin berat kerana dia mempunyai misi dan matlamat jauh yang lebih penting untuk kepentingan negara.  Jika dilihat dari satu perspektif yang lain, dengan apa yang ada padanya hari ini, Sharifah sebenarnya sudah boleh duduk senang lenang dan membiarkan orang lain yang bekerja untuknya.  Malangnya, itu semua tidak dinikmatinya.  Sharifah bukannya Celine Dion.  Dia berada dalam dunia seni yang diuruskan oleh mereka yang kurang peka dan kurang sensitif tentang kebajikan dan kepentingan artis.

Dalam konteks penglibatannya selama 33 tahun sebagai artis, pastinya bukan sahaja Sharifah, malah beribu-ribu peminatnya serta pihak media yang sudah lama menantikan Sharifah muncul dengan sebuah album yang memuatkan lebih 10 buah lagu baru.  Untuk lebih menarik dan menghargai perjuangannya, album itu juga harus tampil dengan pakej yang menarik di mana kulit album dibuat dengan begitu serius dan muncul seperti sebuah box set.  Tetapi bila masanya akan sampai?

Barangkali EMI Music (M) Sdn Bhd, syarikat rakaman di mana Sharifah bernaung sekarang perlu lebih serius dalam menilai 'hubungan rumahtanggan yang mereka bina bersama-sama selama 33 tahun tanpa sebarang perceraian'.  "Saya dan EMI tidak pernah mempunyai masalah sebarang masalah.  Cuma yang ingin saya tegaskan di sini EMI harus mengambil sikap lebih sensitif dan harus bersikap adil serta serius," kata Sharifah penuh tegas dan berulangkali.  Kata Sharifah, bukan menjadi tabiatnya meminta sesuatu yang luarbiasa atau yang melampau daripada syarikat rakaman yang dianggap sebagai 'suaminya' yang paling setia.

"Inilah masanya untuk EMI bangkit dan menilai sendiri.  Selama ini saya tidak pernah menceritakan hal ini kepada media, cuma kini saya kira sudah tiba masanya untuk saya meluahkannya," Sharifah mengatur ayat dengan penuh teliti bagi mengelakkan ada pihak yang tersinggung.  Mengimbas kembali ulangtahunnya bersama EMI serta ulangtahun pembabitannya dalam bidang seni selama 30 tahun, tiga tahun dahulu, dia masih tertanya di manakah konsert mega yang sepatutnya sudah lama diatur oleh syarikat rakaman itu.

Barangkali juga ada kebenarannya, Sharifah tidak boleh terlalu mengharapkan orang-orang di sekelilingnya untuk membantu menguruskan perjalanan seninya.  "Secara jujurnya, saya perlu nyatakan di sini perjuangan saya tidak dilihat secara serius oleh banyak pihak.  Saya terasa dipinggirkan.  Tetapi apa yang mampu saya lakukan selain berdiam diri dan hanya meneruskan usaha menghiburkan masyarakat," bunyi kesal pada bicaranya.

Bakal muncul dengan album ke 75 bulan depan, Sharifah turut ditanya sama ada mempunyai keinginan untuk mengadakan persembahan di sebuah dewan yang gah seperti Dewan Filharmonik Petronas (DFP).  Demikian juga dengan Istana Budaya.  Dalam nada sinis, dia memberitahu, "Mungkin apabila usia saya 75 tahun baru saya diberi peluang berbuat demikian."  Secara rasionalnya, usaha untuk membawa Sharifah mengadakan persembahan di sebuah dewan yang eksklusif seperti itu bukanlah terletak di bahu penghibur itu.  Seperti mana yang disebut di atas perlu ada pihak yang bertanggungjawab membuka laluan buat Sharifah.

"Saya tidak boleh terlalu mengharap.  Jika ada rezeki saya adalah.  Mungkin pihak-pihak yang bertanggungjawab juga mempunyai kepentingan lain berbanding saya," Sharifah mengawal perasaannya.  Seperkara lagi, Sharifah mengakui, jauh di sudut hati dia berkecil hati dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (KKK) yang tidak pernah menawarkannya peluang untuk membantu mempromosi negara menerusi persembahan hiburan.  Kata Sharifah, sebagai anak jati Malaysia, dia amat berbangga untuk memperkenalkan negara menerusi persembahan khususnya lagu-lagu Melayu.  "Cita-cita saya nampaknya hanya tinggal cita-cita.  Saya seakan dibekukan oleh kementeriaan tersebut.  Paling akhir komitmen yang saya berikan kepada kementerian itu ialah pada tahun 1987.  Kemudian saya seolah dipinggirkan," kata Sharifah penuh kehairan.

Satu lagi cita-cita ialah untuk merakamkan album yang memuatkan khazanah lagu-lagu Melayu daripada pelbagai genre termasuk ghazal, deli, samrah, dondang sayang, joget dan pelbagai lagi.  Bagaimanapun, kata Sharifah. dia memerlukan komitmen kerajaan untuk merealisasikan usaha dan cita-citanya itu.  "Berdasarkan rancangan, saya mahu melibatkan diri secara total dalam penerbitan album ini dan dijangkakan album ini menelan belanja yang besar.  Saya hanya bergantung harap kepada kerajaan kerana ini adalah misi saya untuk memastikan lagu-lagu Melayu dapat menembusi pasaran antarabangsa," kata Sharifah penuh optimis.

Ditanya mengapa dia tidak menyuarakan sahaja hasrat itu kepada Kerajaan Ngeri Johor (negeri asalnya) dengan senyuman penuh makna, Sharifah menjawab, "Saya penat menanti janji."  Bakat seni yang ada pada Sharifah sebenarnya patut dieksploitasikan semaksimum yang mungkin.  Negara tidak mempunyai dua atau tiga orang yang sama seperti Sharifah Aini.  Kita hanya ada seorang sahaja dan dia perlu diberi sokongan yang sewajarnya. Jika bukan sekarang dan kita yang memulakannya, siapa pula yang akan berbuat demikian?