SHARIFAH AINI IMBAS KEMBALI ZAMAN GEMILANG

(Utusan Malaysia: Rabu, 26 April 2000)

Pengalaman akan membataskan tahap persembahan setiap penghibur, selain turut menjadi kayu pengukur dalam menilai kemampuan seseorang artis berhadapan dengan khalayak.  Sehebat manapun seseorang artis popular semasa, mereka dapat menawan khalayak seperti mana yang sering dilakukan oleh penyanyi evergreen, Sharifah Aini.  Sekalipun muncul penyanyi-penyanyi popular yang menguasai pasaran dan persembahan pentas sekarang ini, Sharifah Aini tetap unggul di persadanya yang tersendiri.

Untuk memperkatakan tentang kehebatan vokalnya tentulah sesuatu yang sudah terlalu biasa, tetapi anugerah berharga itulah yang meletakkan nama penyanyi itu di persada muzik sekarang.  Ketika artis lain sedang rancak membuat persembahan Sempena Minggu Setiausaha sepanjang April ini, Sharifah Aini muncul pada persembahan amal An Evening Of Joy di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Penyanyi yang popular dengan lagu Seri Dewi Malam ini bukan hanya mencuri perhatian dengan persembahan vokalnya, malah sentiasa mempunyai idea baru mengusik, bergurau dan sesekali 'membuli' peminat yang asyik melihat kemunculannya.  Keletahnya yang lucu membuatkan khalayak tidak berganjak dari tempat duduk dan menantikan lagu seterusnya.  Penyanyi yang mempunyai rekod cemerlang dengan merakamkan lebih 700 lagu dan 71 album ini bukan hanya pakar di dalam menghiburkan penonton yang sebangsa dengannya, malah, penonton Cina dan India turut memenuhi dewan berkenaan.

Memulakan persembahan dengan sebuah lagu yang cukup popular di zaman mudanya, Hapuslah Airmata, Sharifah mendapat tepukan gemuruh penonton.  Sekalipun sistem bunyi di awal persembahannya kurang memuaskan, namun Sharifah Aini tetap memukau penonton.  ''Pada bulan Julai akan datang, usia saya akan mencecah 44 tahun.  Tetapi alhamdulillah saya masih teguh berdiri di depan anda hari ini,'' jelas Sharifah Aini pada persembahan tersebut.

Sharifah Aini turut mengimbas nostalgianya ketika mula berjinak dengan dunia nyanyian.  ''Ketika saya mahu mengikat kontrak dengan syarikat rakaman EMI, saya masih terlalu muda.  Usia saya baru 13 tahun dan sehingga sekarang saya merasakan saya masih lagi muda dan bergaya,'' selorohnya.

Sharifah Aini turut berkongsi pengalamannya dengan menceritakan pelbagai perkara dan kejadian yang pernah berlaku di dalam hidupnya.  Dengan mengimbas penderitaan insan lain, dia akan berasa lebih tenteram dalam meneruskan agenda hidupnya seperti biasa.  ''Sesuatu yang sering saya fikirkan ialah tentang penderitaan orang lain.  Setiap kali dihimpit masalah, saya akan membandingkan diri dengan orang lain yang lebih tersiksa dan menderita dalam kehidupan mereka.  Menyelami penderitaan orang lain akan memberikan suatu semangat baru kepada saya,'' jelasnya.

Menyaksikan persembahan An Evening Joy Bersama Sharifah Aini memberikan jawapan kenapa di usia seperti sekarang, penyanyi itu masih teguh di dalam bidang itu.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Jayakan 3,000 Persembahan Amal (Utusan Malaysia Isnin, 20 March 2000)