KAK PAH AKTIF ANJUR KERJA AMAL

oleh Abd Aziz Itar  (Utusan Malaysia: Sabtu, 8 Oktober 2011)

Bagi Datuk Sharifah Aini, pengalamannya menyanyi dan berlakon cukup lama.  Sepanjang 42 tahun terbabit dalam bidang nyanyian dia telah mencatat pelbagai pencapaian.  Antaranya beliau telah menghasilkan 15 EP dan 50 LP (piring hitam) termasuklah album kompilasi.  Malah, namanya turut dicatatkan sebagai Artis Malaysia Pertama Paling Lama Bertahan Di Bawah Satu Syarikat Rakaman iaitu syarikat rakaman EMI dalam Malaysia Book of Records.  Itu menunjukkan pencapaian dan komitmennya dalam bidang seni suara tanah air.  Justeru, tidak hairan apabila selepas lebih empat dekad mengharungi dunia seni, penyanyi berusia 58 tahun ini mampu tersenyum puas dan bangga dengan segala yang telah dilaluinya dalam dua bidang tersebut.

Namun, sehingga kini beliau mengakui masih belum puas menyanyi.  Penyanyi bersuara emas ini akan menyanyi dan terus menyanyi.  Bagaimanapun, bidang nyanyian yang menjadi kariernya sejak sekian lama itu kini bukan untuk mengisi poketnya semata-mata.  Sebaliknya, bakat Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah itu kini lebih banyak dihalakannya ke arah jalan yang menuju kepada amal kebajikan.

Menurut penyanyi yang popular menerusi lagu 'Ingatan Manis Di Bulan September' ini, dia kini begitu aktif menganjurkan persembahan amal bagi mengisi tabung kebajikan rumah-rumah anak-anak yatim dan sekolah agama di sekitar Lembah Klang.  "Saya bersama kawan-kawan saya mempunyai komuniti sendiri di mana kami aktif menganjurkan persembahan-persembahan amal bagi mengisi tabung rumah anak-anak yatim dan sekolah tahfiz al-Quran di sekitar Lembah Klang.  Setakat ini kami telah mengenal pasti 15 tempat seumpama itu yang memerlukan sumbangan wang ringgit.  Kami akan menganjurkan persembahan-persembahan amal bagi membantu tempat-tempat kebajikan itu satu persatu," katanya kepada Hits.

Sebagai permulaan, Kak Pah atau nama sebenarnya Sharifah Aini Syed Jaafar berkata, dia akan mengadakan persembahan amal bersama dua penyanyi Indonesia iaitu Grace Simon dan Dewi Yull di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 17 Disember ini.  Katanya, sebahagian daripada duit jualan meja persembahan itu akan disumbangkan kepada Sekolah Tahfiz Tahfin al-Quran di Puchong, Selangor dan Rumah Kebajikan Baitul Ehsan di Taman Maluri, Kuala Lumpur.  Jelas Kak Pah yang menjadi salah seorang mentor dalam pertandingan nyanyian Mentor musim kelima terbitan TV3 baru-baru ini, dia berasa puas dengan kerja-kerja amal yang telah dilakukannya selama ini.

"Saya lakukan semua kerja amal ini bukan kerana mahu mencari publisiti ataupun mencari keuntungan tetapi kerana mahu membantu orang yang memerlukan bantuan.  Biarlah apa orang hendak kata, asalkan niat saya betul.  Saya akan menganjurkan lebih banyak persembahan amal selepas ini nanti.  Saya akan menolak segala kos penganjuran sesebuah persembahan amal itu dan selepas itu saya akan menyumbangkan kepada pihak-pihak yang memerlukannya.  Sumbangan saya itu akan saya berikan satu persatu kepada badan-badan kebajikan dan sekolah tahfiz yang saya pilih," ujarnya.

Pada persembahan amalnya yang terbaru itu, Kak Pah berpuas hati kerana pihak Hotel Royale Chulan yang bertaraf tujuh bintang itu bersedia menaja lokasi persembahan dalam usaha menjayakan hasrat murninya itu.  Tambah ibu kepada seorang anak, Aliff Omar hasil perkahwinannya dengan bekas suaminya, Ali Bakar itu, dia juga akan menggunakan pendapatan daripada persembahan-persembahannya bagi membina surau di kawasan-kawasan yang memerlukan.  "Setakat ini, saya telah membantu mengisi dana ke enam buah sekolah dan ini adalah projek ketujuh dan terbaru saya.  Mudah-mudahan dengan bakat menyanyi yang saya ada ini, ia dapat dimanfaat kepada orang-orang yang lebih memerlukannya," jelasnya lagi.