ALIFF JADI KEBANGGAAN SHARIFAH AINI

oleh Dean  (Mingguan Malaysia: Pancaindera Bual-Bual Hujung Minggu, 25 Ogos 2002)

Setiap ibu di dunia ini sering berdoa agar dikurniakan zuriat yang soleh.  Tiada ibu yang mahu melihat anaknya melalui kehidupan yang membinasakan.  Bagi biduanita terkenal Sharifah Aini, jika ada yang beranggapan sejuk perutnya ketika mengandungkan anak lelaki tunggalnya, Aliff Omar, anggapan itu sememangnya benar.  Sebagai ibu yang melahir dan membesarkan puteranya yang berusia 19 tahun itu, hatinya terlalu sebak dan sayu apabila mendapat berita Aliff diterima untuk melanjutkan pengajian dalam bidang syariah di Al-Madinah Al-Munawwarah Islamic University.  Sharifah gembira kerana dia berjaya menafikan pandangan dan persepsi masyarakat yang sering mengganggap golongan artis sering gagal dan tewas mendidik anak-anak mereka menjadi orang yang berguna.  Aliff Omar, putera tunggalnya hasil perkahwinan pertamanya dengan Ali Bakar, bakal bergelar seorang ulama apabila dia menamatkan pengajiannya kelak.

"Aliff merupakan hadiah terbaik daripada Allah buat saya dan saya rasa semua ibu mengharapkan kehadiran zuriat yang serupa," katanya ketika ditemui di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.  Temu bual itu sebetulnya sebagai memberi peluang kepada seluruh masyarakat untuk berkongsi kegembiraan yang sedang dinikmati oleh Sharifah pada ketika ini.  Sharifah sendiri dengan jujur memberitahu, dia tidak berniat untuk mempersenda atau menyindir mana-mana anak artis seperti yang pernah disalah anggap oleh sesetengah orang.  Sharifah pada awalnya keberatan untuk bercerita mengenai anak-anaknya.  Bagaimanapun, saya memohon kepadanya untuk mengadakan temu bual itu semata-mata untuk memberi perangsang kepada ibu-ibu dan anak-anak lain.

Dean:  Bagaimanakah dengan persiapan untuk menghantar Aliff ke Madinah?

Sharifah Aini:  Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik sekali.  Insya-Allah kami akan berangkat pada 27 Ogos ini.

Dean:  Setiap kali bercakap mengenai Aliff, semua orang akan berkata sejuk perut Sharifah mengandungkannya.  Apakah perasaan Sharifah?

Sharifah Aini:  Alhamdulillah, Aliff merupakan hadiah terbaik daripada Allah kepada saya.  Saya rasa semua ibu di dunia ini mahukan zuriat yang serupa.  Pada saya, kalau ada sekalipun harta, wang ringgit dan populariti yang saya kecapi semuanya tidak sama nilainya dengan kehadiran Aliff.

Dean:  Seingat Sharifah, bagaimanakah Sharifah mendapat ilham menamakan anak Sharifah dengan nama Aliff Omar?

Sharifah Aini:  Ketika mengandungkan dia, saya banyak membaca kisah-kisah Saidina Omar dan dalam mimpi saya sering menyebut nama Aliff berkali-kali.  Apabila saya cantumkan Aliff dengan Omar saya lihat ada keserasian dan saya seorang agak konervatif apabila berbicara soal nama anak.  Sebab itu saya tidak namakan anak saya dengan nama-nama yang pelik dan moden kerana saya bimbang apabila tiba masanya ketika bacaan talkin nama anak saya sukar disebut.  Saya tidak mahu bebankan anak saya dengan nama-nama yang pelik.

Dean:  Aliff satu-satunya anak kandung Sharifah tetapi Sharifah mempunyai ramai anak angkat.  Berapakah sebenarnya jumlah anak angkat Sharifah?

Sharifah Aini:  Jumlah sebenar anak angkat saya ialah sepuluh orang.  Dua perempuan dan selebihnya lelaki.  Saya mengambil tanggungjawab untuk membesarkan mereka semenjak usia mereka kecil lagi.  Saya perlu beritahu bahawa saya sebenarnya tidak gemar memberikan publisiti mengenai mereka kerana saya bimbang emosi dan perasaan mereka tercalar.

Dean:  Tetapi apa yang memeranjatkan masyarakat ialah seorang artis popular dan termasyhur seperti Sharifah memiliki sepuluh orang anak angkat.  Ia jarang sekali dilakukan oleh artis lain.  Apakah yang menjadi harapan Sharifah?

Sharifah Aini:  Matlamat dan niat saya memiliki sepuluh anak angkat adalah semata-mata kerana mahu memanfaatkan rezeki yang Allah kurniakan ke jalan-Nya.  Saya hanyalah penyanyi yang mencari wang dan Allah memberikan saya segala rezki.  Apakah itu juga harus kita makan seorang diri?  Kerja yang saya lakukan di dunia ini semata-mata kerana tanggungjawab saya sebagai ibu tunggal dan saya tidak pernah mengambil berat mengenai apa sahaja kritikan atau cemuhan yang dikatakan oleh masyarakat kerana saya tahu tanggungjawab saya.  Selain itu saya juga gembira kerana lapan anak angkat lelaki saya semuanya berjaya dalam pengajian agama dan kesemuanya bergelar al-hafiz.

Dean:  Berbalik kepada Aliff, apakah Sharifah sebenarnya yang membentuk Aliff seperti apa yang ada padanya hari ini?

Sharifah Aini:  Saya membentuk anak-anak supaya mementingkan tanggungjawab mereka sebabagi seorang Islam sering saya tekankan setiap masa dan ketika.  Pada masa yang sama saya mengharapkan mereka menjadi orang yang soleh dan alhamdulillah, apabila Aliff memberitahu dia mahu mendalami pengajian Islam, saya hanya mampu mengucapkan syukur.

Dean:  Sebagai ibu, bagaimanakah Sharifah boleh menjelaskan kepada umum mengenai peribadi Aliff?

Sharifah Aini:  Aliff seorang anak yang taat dan dia tidak pernah meninggi suara atau menyusahkan saya.  Dia juga sebenarnya 'child in heart'.  Aliff masih gemar menonton kartun dan telatahnya cukup menghiburkan saya.

Dean:  Pernahkah Aliff bertanya Sharifah mengenai perkara peribadi atau bila Sharifah akan bersara daripada dunia seni?

Sharifah Aini:  Aliff tidak pernah melukakan atau mengguris hati saya dan dia juga tidak pernah berbincang secara terus terang mengenai peribadi dan kerjaya seni saya.  Tetapi, saya sering berbual dan berbincang dengannya dan saya ada memberitahu Aliff berikan saya dua atau tiga tahun lagi untuk saya mnyelesaikan tanggungjawab saya sebagai anak seni dan selepas itu saya akan mengucapkan selamat tinggal.  Saya yakin dan pasti dia memahami kedudukan saya.  Saya tahu, saya juga perlu menjaga hatinya dan perlu memahami kedudukannya apabila dia tamat pengajiannya nanti.  Saya ada memberitahunya, selepas bersara nanti saya akan menjalani kehidupan yang berbeza sama sekali dengan kehidupan yang saya lalui sebagai artis hari ini.

Dean:  Adakah Sharifah bersedih untuk berpisah dengannya?

Sharifah Aini:  Sudah tentu.  Selama ini saya jarang berpisah dengannya apatah lagi untuk tempoh tujuh tahun.  Tetapi, apa boleh buat semuanya untuk masa depan Aliff dan saya reda dengan keputusannya dan saya akan terus memberi sokongan dan mendoakan kejayaannya.  Saya tahu Aliff juga bersedih kerana terpaksa berpisah dengan 'mummy'nya.

Dean:  Apakah harapan Sharifah kepada Aliff apabila dia tamat pengajian?

Sharifah Aini:  Saya sering berpesan kepadanya jadilah seorang yang alim tetapi bukannya alim yang riak.  Alhamdulillah, peluangnya untuk melanjutkan pengajian di Madinah merealisasikan cita-cita dan impian saya.  Saya rasa apabila saya meninggal dunia kelak, sudah pasti saya dapat menutup mata tanpa berasa ralat kerana saya sudah memberi kesemuanya kepada anak-anak saya.  Saya terlalu bersyukur kerana saya tahu saya mempunyai anak-anak yang akan mendoakan saya dan akan mengajikan saya ketika saya tiada lagi di dunia ini. Alhamdulillah.