Peminat Beri Jam Berlian

'Soseh-Soseh'  (Harian Metro: Rabu, 29 September 1999)

 

 

Persembahan biduanita Sharifah Aini di Menara Kuala Lumpur sudah pun selesai.  Boleh dikatakan setiap persembahan Kak Pah mendapat sambutan dan hingga penyanyi itu terpaksa membuat persembahan tambahan, minggu lepas.

SS juga tidak melepaskan peluang untuk berhibur bersama Kak Pah.  Pada malam itu, kelihatan dua tiga meja ditempah oleh sekumpulan hakim dan peguam yang sememangnya peminat setia biduanita itu.  Bila persembahan hendak selesai, mereka meminta Kak Pah nyanyikan lagu 'Burung Pungguk'.  Demi tidak menghampakan mereka, Kak Pah terus menyanyikan lagu itu walaupun muzik iringannya hanya sekadar piano sahaja.

Apa yang menarik, SS terdengar soseh-soseh mengatakan ada seorang peminat setia penyanyi itu bernama Mr Eric, 'terbang' dari Bandar Seri Begawan dengan jet peribadinya semata-mata mahu menyaksikan persemabahan itu.  Kata sumber, tidak cukup dengan itu, jejaka tadi turut menghadiahkan Kak Pah seutus jam tangan berjenama mahal yang bertatah intan berlian.  Hai, bertuahnya badan ...

Khabarnya, jejaka Brunei terbabit berdarah kacukan dan sekarang menetap di California.  "Selain jam tangan, Kak Pah juga dihadiahkan loket emas dan beg tangan dari dua peminat tempatan.  Dia benar-benar terharu kerana begitulah yang selalu terjadi bila dia membuat konsert", kata sumber itu.  Dalam pada itu, SS dengar Kak Pah juga menerima tawaran dari satu pihak untuk menjayakan konsert asli di Istana Budaya (Panggung Negara).

Yang itu SS memang setuju sebab penyanyi seperti Kak Pah cukup layak membuat persembahan di dewan indah dan canggih ala Royal Albert Hall itu.  Yalah, tumpang artis kita masih hidup, pengiktirafan patut diberi kepada mereka.  Dewan Filharmonik Petronas tu bila lagi nak jemput Kak Pah?