Kak Pah Ke IB Lagi Tahun Depan 'Soseh-Soseh' (Harian Metro: Rabu, 19 Mei 2010) |
S S bangga melihat Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah meraikan ulang tahun ke-41 pembabitannya dalam bidang seni. Nampaknya Kak Pah semakin aktif memenuhi undangan persembahan di sana-sini. Kak Pah juga sudah membuktikan kehebatannya apabila persembahan solonya di Stadium Tertutup, Kallang, Singapura tidak lama lalu berjaya menarik 8,000 penonton.Menyusul selepas itu, persembahan Kak Pah bersama Adibah Noor dan Anuar di KL yang tidak kurang hebatnya. Terbaru, Kak Pah memilih meraikan sambutan Hari Ibu bertemakan To Mum With Love bersama penyanyi senegeri dengannya, Mawi, di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, 28 Mei ini. SS cukup kagum dengan kudrat dan semangat yang ada pada biduanita kesayangan ramai itu. Jika wanita sebaya Kak Pah dilihat berehat bersama anak cucu di rumah, Kak Pah pula makin bersemangat menjayakan persembahan amal membantu golongan yang memerlukan. Ternyata Kak Pah menggunakan bakat menyanyi anugerah Allah SWT itu untuk aktiviti kebajikan sekali gus memartabatkan industri seni tanah air. Terbaru, SS dengar Kak Pah sudah ditempah untuk membuat persembahan di gelanggang seni berprestij, Istana Budaya (IB), untuk tahun depan. Menurut sumber IB sendiri, Kak Pah dijadual akan membuat sambutan Hari Ibu di IB nanti. SS setuju sangat menilai daripada pencapaian Kak Pah selama ini. Memang ia langkah yang tepat dan bijak. Kalau dulu Kak Pah beraksi dengan lagu Irama Malaysia di IB, kali ini konsepnya akan berbeza pula. SS akan pasti ke sana memberikan sokongan moral kepada Kak Pah. |