'HIDUP SAYA LEBIH BAHAGIA DAN TERATUR'

oleh Ruzian Mohd Jan  (Seri Dewi & Keluarga, November 1996)

Bagai tidak percaya mendengar khabar biduanita Sharifah Aini akan melawat pejabat Kumpulan Karangkraf, penerbit majalah Seri Dewi & Keluarga.  Setelah bertahun dan pelbagai kisah dilaluinya, tiada siapa menyangka penyanyi bertahi lalat dan rambut mayang mengurai ini akan berkunjung ke pejabat kami.  Suasana penuh kemesraan begitu terasa sepanjang hampir tiga jam bersamanya.  Kisah-kisah lalu yang mengguris hati seolah-olah telah dilupakan dan tidak pernah berlaku.  Tuntutan saman terhadap akhbar BACARIA (satu lagi terbitan Kumpulan Karangkraf) kerana didakwa menyiarkan kisah tidak benar mengenai diri penyanyi ini, bagai merenggangkan hubungan kedua pihak.  Namun segala-galanya kini berakhir.  Kunjungan biduanita popular ini telah memadamkan sama sekali sengketa yang pernah dilalui oleh kedua pihak.  Ia bagai membina semula kuntum-kuntum kemesraan yang nyaris terkulai layu.

Sharifah Aini yang kelihatan begitu anggun dengan kebarung hitam berbunga aneka warna petang itu tidak putus-putus menguntum senyum manis dan tertawa mesra.  Mood cerianya itu seolah-olah berjangkit pada wartawan dan kakitangan Karangkraf yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama mengabadikan kenangan dengan penyanyi yang kini kembali menghiasi persada dunia seni suara setelah hampir tiga tahun menghilang diri.  "Sebenarnya saya tidaklah hilang terus.  Hanya ketika itu saya tidak merakamkan sebarang album dan lebih menumpukan kepada show tertentu sahaja," terangnya sambil menguak rambutnya yang ikal mayang, lambang kejelitaan semulajadi Sharifah.

Kiranya 'kehilangan' selama tiga tahun itu menjadi rahmat baginya.  Ternyata ramai yang merinduinya.  Kemunculan semulanya bagaikan hujan di musim kemarau, mengubati segala kerinduan yang payah dibendung.  "Saya sendiri tidak menyangka kemunculan semula ini akan mendapat sambutan yang cukup hebat dari peminat lantaran banyaknya saingan dari penyanyi muda dan berbakat," katanya tak ragu-ragu.  Namun begitulah hakikatnya.  Kredibilitinya sebagai seorang penyanyi masih belum dapat diganggu-guat oleh bakat-bakat baru yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.  Buktinya, biarpun dia muncul bukan dengan lagu baru, sekadar menyanyikan lagu orang lain, sambutan peminat tetap luarbiasa.  Apa yang istimewa, lagu-lagu yang dahulunya hanya diminat oleh golongan remaja atau orang muda, kini turut diminat oleh golongan yang berumur setelah diberi lentok dan gaya baru oleh Sharifah Aini.  "Jangan terkejut, budak-budak ingusan pun ada yang menulis surat menyatakan suka kepada gaya saya menyanyikan lagu Seksa," ujarnya tertawa mesra.

Namun begitu tidak semua senang melihat kejayaan penyanyi 'evergreen' ini dan menuduh dia mempergunakan lagu-lagu tersebut untuk menaikkan semula namanya.  "Saya rasa tak ada salahnya saya menyanyikan semula lagu-lagu tersebut.  Jika di Barat sebuah lagu boleh dirakam semula dalam pelbagai bentuk dan dinyanyikan oleh ribuan artis, mengapa kita tidak boleh berbuat demikian?  Saya menyanyikan semula lagu-lagu itu kerana ia mengandungi lirik dan irama yang indah.  Sayang sekali jika ia hanya dinikmati oleh satu golongan sahaja.  Lagipun saya tak merosakkannya.  Sebenarnya setelah 31 tahun dalam bidang seni, saya sudah lali dengan perkara seperti ini.  Tohmahan atau umpat keji dah tak menjadi kudis lagi.  Lagipun setelah bertahun-tahun perkara seperti ini menjadikan saya seorang yang tabah dan sabar.  Jika dulu ada hal-hal yang boleh membuat saya sensitif, sekarang tidak lagi.  Kini saya boleh 'just turn my back' terhadap perkara-perkara sebegini." ceritanya tenang.  Baginya ketabahan dan kesabaran perlu ada dalam diri setiap orang apalagi yang bergelar artis yang sentiasa berdepan dengan pelbagai pancaroba.  "Kalau saya tidak tabah, belum tentu saya dapat menikmati kejayaan sebagaimana yang saya nikmati hari ini."

Sememangnya jalan untuk naik bukanlah mudah dan penyanyi yang bermula dengan album 'Seri Dewi Malam'  tidak terkecuali dalam hal ini.  Dia pernah menerima RM10 atau 15 cucuk sate sebagai imbalan mendendangkan suara merdunya.  Malah sepanjang kerjayanya dia subah banyak kali merasa pahitnya ditipu oleh promoter.  'Kalau tak silap, saya dan ditipu oleh lebih 500 promoter.  Dari situ saya belajar 'not to simply trust anybody', ada kepahitan di sebalik tawanya.  Bagaimanapun dia bersyukur kerana terus berpeluang untuk berjuang dalam dunia seni yang dicintainya.  "Saya bersyukur kerana Allah memperkenankan doa saya untuk kekal di bidang ini ketika mula-mula melangkah kaki dahulu."

Apa yang mengkagumkan, dia juga merupakan antara sejumlah kecil penyanyi yang tidak melompat dari satu syarikat rakaman ke syarikat rakaman lain seperti yang banyak berlaku sekarang ini.  "Bohong jika saya katakan antara saya dan syarikat rakaman tidak pernah menghadapi masalah.  Tapi saya percaya pada perbincangan dan kompromi.  Apa juga masalah, kami pasti bincangkan bersama biarpun terpaksa bertegang urat berhari-hari sehingga kata sepakat tercapai.  Perkara ini tidak ubah seperti juga perkahwinan, bila timbul masalah kita mesti memberi ruang untuk berkomunikasi dan berkompromi.  Takkan setiap kali bergaduh atau bermasalah, kita nak bercerai.  Jika itulah yang kita lakukan, baik tak usah berkahwin.  Sepatutnya tidak ada perkataan cerai dalam kamus perkahwinan," ujarnya panjang lebar.  "Sebab itu setiap kali ada masalah atau rasa tidak puashati yang timbul, saya bawa berbincang.  Oleh itu tidak timbul masalah nak melompat ke syarikat lain biarpun tawaran tak pernah putus," sambungnya serius.

Dalam berbicara, penyanyi bersuara merdu ini sering menyamakan kerjayanya dengan perkahwinan.  Bagaimanapun bila membicarakan perkahwinan atau kisah cintanya.  Mulutnya bagaikan terkunci.  "Semua tahu saya pernah mengalami kisah suka dan duka dalam mengejar cinta.  Bagaimanapun seperti juga semua orang tahu, saya bukanlah orangnya yang gemar bercerita hal-hal yang terlalu peribadi.  Cuma saya katakan bahawa hidup saya lebih bahagia dan teratur kini.

Adakah ini bermakna tiada lagi mendung yang menyelubungi hidupnya kini?

"Oh, tidak juga.  Ada hari-harinya saya merasa begitu tertekan dan saya tidak nafikan banyak kali menangis.  Tapi satu perkara yang pasti, saya anggap sebagai rahmat Allah.  Mengapa saya perlu mengeluh dan marah-marah akan perkara remeh sedangkan ada orang lain yang hidupnya lebih sukar dari saya." Sharifah Aini memberitahu dengan nada penuh keinsafan.

Rasa kesyukuran yang tidak pernah padam itu membuatkan Sharifah Aini tidak pernah lupa pada asal-usulnya.  Biarpun kini dia banyak menerima undangan menyanyi yang bernilai berpuluh ribu ringgit dan tidak lagi mengadakan pertunjukan pentas, jauh di sudut hati dia tidak pernah melupakan peminat-peminatnya di pendalaman ataupun yang tidak berkemampuan menyaksikan pertunjukan eksklusifnya.  "Saya sentiasa menantikan saat di mana satu hari nanti saya akan mengadakan pertunjukan untuk golongan seperti ini.  Ini kerana tanpa mereka tak mungkin saya dapat mencapai puncak setinggi ini.  Lagipun suara saya untuk semua, bukan untuk golongan yang mampu sahaja," katanya bersungguh-sunggguh.  Biarpun sudah 31 tahun, Sharifah Aini masih mahu terus berkarya.  "Suara saya adalah anugerah Allah yang amat berharga.  Saya tidak mahu mensia-siakannya dan akan terus mempergunakannya untuk menghiburkan insan lain selagi mampu."