Kenapa Sharifah Aini Menangis Atas Pentas 4 Jam Sebelum Konsert Bermula?

'Sejenak Bersama Huzz' dikendalikan Huzz  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 18 Jun 2000)

 

 

Wow ... wow ... memang panas dan hangat Konsert Sharifah Aini Di Pinggir Kayangan (diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) pada malam 10 dan 11 Jun lalu.  Mana taknya, pementasan di kedua-dua malam itu mendapat sambutan peminat sehinggakan jualan tiket RM100 dan RM200 (turut akan diderma untuk tabung kebajikan) habis dijual.  Nampaknya dia terus bertahan hebat, mantap dan bertenaga sebagai penghibur.  Malam tu Kak Pah menyanyi lebih dua jam dengan 30 buah lagu dibuaikan pada penonton yang datang.  Hal ini bukan mudah untuk dilakukan.  Namun kerana bakat, semangat dan pengalaman 31 tahun membolehkan Sharifah Aini sering sukses dalam kebanyakan konsertnya termasuklah yang terbaru ini.

Sana sini tertulis cerita memuji konsertnya itu.  Bagaimanapun ada orang mengadu dengan Huzz dia ternampak Sharifah Aini tersungkur atas pentas dan menangis pada pukul 5 petang (empat jam sebelum tirai konsertnya dimulakan) pada 10 Jun lalu, iaitu hari pertama konsert diadakan.  Menangis macam ada masalah besar saja tu?  Eh .. eh apa hal tu?  Haa ... nak juga tahu kenapa pula Kak Pah menangis teresak-esak atas pentas tu.  Teruslah Huzz menghubungi Sharifah Aini beberapa hari lalu dan bertanya cerita menangis ... tapi tak usahlah diceritakan panjang lebar.  Bukan kerana penat, bukan kerana letih atau sibuk berlatih dua minggu sebelum konsert tapi ada hal di petang itu yang tiba-tiba membuat saya terus rebah dan menangis.  Mujurlah kawan baik saya bernama Aishah kemudiannya datang memujuk.  Itu antara cubaan yang berat saya lalui sebelum mengadakan konsert malam itu.

"Aishah bawa saya naik kereta, pusing KL dan kemudian balik rumah.  Selepas itu saya kembali ke Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk konsert malam itu," akuinya.  Huzz tanya apa perasaan Kak Pah kerana peminatnya ramai datang memberi sokongan setiap kali dia mengadakan konsert sampaikan yang kali ini walaupun harga tiket mahal pun dia orang datang juga.  "Ya memang saya tak nafikan, saya amat berterima kasih kepada mereka yang bukan saja sudi datang memeriahkannya tapi menderma melalui harga tiket mahal tu.  Paling mengejutkan kali ini yang datang jauh pun ada.  You tahu ada dari Amerika, Brunei dan Singapura.  Malah yang datang bercuti dari Afrika Selatan pun ada.  Ada sepuluh pelajar kita yang balik bercuti ke Malaysia datang bersama kaum keluarga pun sudi nak jenguk saya menyanyi.  Kemudian keluarga mereka meraikan saya di satu majlis makan malam.  Begitulah juga ada sepasang suami isteri yang menyambut ulangtahun perkahwinan mereka pada 10 Jun itu turut menonton konsert saya.  Tapi you tahu Huzz dia orang sambut ulangtahun perkahwinan tapi saya yang mendapat hadiah ... saya dapat hadiah barang kemas daripada kedua-duanya yang meminati saya sejak dulu.  Hadiah koleksi barang kemas itu bukannya murah adalah dalam RM78,000.  Dahsyatnya hadiah yang diberi.  Tu tak termasuk kain-kain dan juga bunga daripada peminat, sesungguhnya banyak kenangan tak dapat saya lupakan menjelang dan sesudah konsert kerana ingatan peminat," akuinya.

Paling mengejutkan Huzz ialah di malam kedua konsert itu diadakan ada seorang lelaki yang pernah hadir dalam hidup Sharifah Aini muncul menontonnya.  Siapa lagi kalau bukan Datuk S yang pernah menjadi suaminya.  "Dia seorang wanita yang baik saya sangat menyenanginya," itu komen Datuk tentang Kak Pah.  Nak tahu lagi baca cerita komen Datuk pada Huzz di majalah URTV keluaran 1 Julai nanti!  Turut hadir di konsertnya di malam penutup itu ialah anak-anaknya yang kian dewasa.

Macam mana kalau Huzz cadangkan Konsert Di Pinggir Kayangan diusung menjelajah Malaysia?  tanya Huzz pada Kak Pah lagi.  "Satu idea baik untuk saya mengadakan ke seluruh Malaysia.  Insya'Allah kalau ada penaja di luar Kuala Lumpur yang sudi nak bekerjasama bolehlah menghubungi Johari Salleh yang mengendalikan Orkestra Kuala Lumpur dan saya anytime akan beri kerjasama untuk konsert sebegini," kata Sharifah Aini.  Ada juga yang minta Kak Pah menyanyi di tempat besar sikit kalau di KL ni patutnya sesuai sangatlah di Istana Budaya ke?  Takkanlah biduanita negara kita tak boleh masuk ke tempat besar macam tu?  Mengapa mesti ada yang menolak cadangannya menyanyi di sana?  Persembahannya memang sesuai di Istana Budaya itu apalagi bila memartabatkan lagu-lagu klasik dan tradisional Melayu kita.  Bila lagi nak beri peluang?  Selagi seniman atau insan-insan seni negara bernyawa harapnya berikanlah mereka peluang berpayung tenaga dengan Istana Budaya untuk menghimpun segala macam khazanah seni tempatan untuk dikenang sepanjang zaman.  Tak gitu?

Malam ini biduanita Sharifah Aini akan kembali ke studio menyiapkan rakaman albumnya (album ke 72) yang akan dipasarkan Julai depan.  Album terbarunya juga turut menyelitkan dua buah lagu Arab.  Salah satu daripadanya Ishar, sebuah lagu popular nyanyian penghibur terkenal Mesir bernama Fairuz.  Antara komposer bekerja untuk albumnya ialah LY, M Nasir, Azmeer dan Ramli MS.  Ha ... apalagi peminat Kak Pah jangan lupa nantikan album terbarunya.