Hajat Terakhir Pesakit Kanser Nak Tatap Wajah Sharifah Aini

'Sejenak Bersama Huzz' dikendalikan Huzz  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 24 September 2000)

 

 

Minggu lalu Huzz menerima panggilan telefon daripada penyanyi Lina Kamsan (yang kini duduk di Pulau Pinang dan aktif buat perniagaan).  Katanya ada seorang kawannya memohon Huzz carikan Sharifah Aini.  Kenapa pulak tu? tanya Huzz.  "Sebenarnya abang kawan Lina ni sakit kanser, doktor dah tak boleh buat apa-apa lagi.  Antara permintaan terakhir abangnya sebelum meninggal ialah mahu sangat jumpa Sharifah Aini."

Lalu Huzz pun mendapatkan Cik Asnita yang sekarang sering berulang-alik bersama keluarganya di sebuah hospital di Kuala Lumpur kerana abang iparnya Norhamdan Abdul Rahman (pelukis batik dari Tampin, Negeri Sembilan) sudah kronik kanser dan hanya menunggu menghembuskan nafas terakhir di situ.  Dia dah setahun lebih kanser paru-paru dan hati.  "Doktor tak bagi kami bawa dia balik sampailah rawatan diberi hingga ke akhir hayat.  Doktor kata dia ada beberapa bulan saja lagi.  Rupanya abang ipar saya buat satu permintaan.  Permintaannya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir ialah dia nak sangat jumpa Sharifah Aini.  Dia tak nak artis lain, dia nak tengok, nak cakap dan nak jumpa Sharifah Aini, kami mohon kerjasama Huzz untuk tolong dapatkan Kak Pah kerana kata abang ipar saya sebelum dia mengakhirkan hidupnya dia teringin nak jumpa secara depan dan cakap dengan Kak Pah."

Aduh ... Kak Pah pulak masa ini setahu Huzz ligat dengan promosi show di sana sini.  Tak selalu ada di KL.  Apalagi sekarang lagu-lagu album terbarunya sedang 'meletup' dan dapat perhatian.  Albumnya antara yang terlaris di Malaysia sekarang!  Akhirnya Rabu lalu, dapatlah juga Huzz bercakap dengan Kak Pah kita di rumahnya.  Sharifah terkejut mendengar cerita dan tanpa banyak soal dia kata dia akan menemui peminatnya itu.  Khamis lalu kami berdua pun berangkatlah ke hospital berkenaan.  Tapi siang-siang dia 'warning' Huzz, jangan nak usung jurugambar tak nak nanti orang kata Kak Pah nak tengok orang sakit pun nak publisiti.  "Dalam bab-bab kebajikan Kak Aini suka lakukan dengan penuh keihklasan."

Memang sungguh terharu saat pertemuan itu.  Sebenarnya tidak ramai yang tahu Sharifah Aini memang sering menziarahi orang yang sakit dan meninggal dunia.  Pernah di sebuah rumah orang meninggal ada mak cik terkejut kerana yang berlitup tudung hitam, berkaca mata hitam dan berbaju jubah Arab tu ialah Sharifah Aini!  Begitulah untuk majlis-majlis amal ... namanya sering tersenarai sama.  Pada 20 September ini dia ada konsert istimewa untuk kutipan derma pesakit buah pinggang dan jantung pula.  Pendek kata Sharifah Aini boleh Huzz kata penyanyi yang bukan saja menghiburkan hati insan-insan yang tak sihat, tapi untuk berbakti pada yang terlantar pun dia sudi.