Primadona Sharifah Aini Bikin Gempar

'Syhhh' dikendalikan Bahayah 'BAM' Mahmood  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 22 Januari 1995)

 

 

Gempar juga bila Sharifah Aini bersama rakan-rakan artis yang lain: M Nasir, Azlina Aziz dan Ning Baizura muncul di malam penutup Tilawah al-Quran mendendangkan lagu-lagu dakwah, yang disiarkan terus menerus di kaca TV yang disaksikan oleh berjuta penonton di dunia.  Kelihatan lebih cantik bila Aini, Azlina dan Ning Baizura berpakaian menutup aurat dari hujung kepala hingga ke hujung kaki.  Terkejut kita melihatnya.

BAM menggelekek ketawa melihat Aini berselubung dengan jubah hitam, betul-betul macam wanita Arab di Masjidil Haram.  Orang cantik berselubung macam mana pun tetap cantik.  Kata Datin Rafeah Buang yang menelefon BAM dari rumahnya di Pekan, Pahang Darul Makmur; "Kak BAM, tengok Aini di TV?  Bagus kan.  Naiklah darjat para artis kita," kata Pet.

Wah ... Aini sekarang jadi favourite ustaz-ustaz di Pusat Islam nampaknya.  Kedengaranlah ustaz sesama ustaz bercerita khusus tentang Sharifah Aini.  Mereka tak sangka Aini telah memberikan kerjasama yang erat untuk persembahan khas di malam penutup Tilawah al-Quran itu.  Begitulah, kalau tak kenal maka tak cinta.  Setelah kenal dekat ustaz pun terperanjat juga dengan penampilan Aini yang lemah lembut dan merendah diri.  Paling terkejut sekali mereka melihat Aini bekerja.  Dia begitu disiplin, saban hari jam 9 pagi dan terpacak menjalani latihan hinggalah ke malam, huh, memang profesional.

Khabarnya, ada juga ustaz yang tergamam sewaktu bertemu secara dekat dengan Sharifah Aini yang menjalani latihan sentiasa memakai baju kurung Johor dan bertudung litup.  Cubaan ... huh cubaan wahai ustaz!  Di malam persembahan khas Tilawah al-Quran itu khabrnya Aini dan rakan-rakan artis semuanya pulang jam 4 pagi.  Ini suatu pengorbaban yang berharga dan tidak ternilai. 

Seorang rakan ustaz bercerita pada BAM, menyatakan perasaan terharu dan simpatinya terhadap Aini, berdasarkan dari cerita-cerita yang mereka dengar mengenai Aini, sungguh bertentang dengan watak dan peribadinya, lemah-lembut, bersopan-santun, penyabar dan periang serta kaya budi bahasa.  "Sepanjang latihan yang memakan masa ynag panjang itu Aini begitu tekun dan sabar.  Kalau hilang sekejap-sekejap pun dia pergi solat," cerita beliau.  Begitulah dunia ... wahai ustaz.  Manusia ni kadang-kadang hanya menyangka yang buruk sahaja terhadap diri seseorang, apa lagi terhadap artis, buruk saja, tak yang baik.  Tanpa memikirkan bahawa artis juga insan biasa, punya kelebihan dan juga kelemahan.

Sharifah Aini yang bergelar Ratu Seni Suara ataupun Primadona Seni, buka saja dikurnia Allah suara merdu, bahkan dia memiliki personaliti atau keperibadian yang menarik dan terserlah.  Sepanjang hidupnya Aini sentiasa digelumang fitnah-fitnah jahat yang menggugat jiwa dan perasaan, tapi Aini sentiasa pasrah, dan menadah tangan mengucap syukur kepada Allah.  Sesungguhnya hidup ini keras.  Kita mesti kuat semangat, tabah dan tempuh apa saja duri dan ranjau.

AINI SERING BERSEDEKAH

BAM menulis ini bukan nak mengangkat Aini lebih-lebih sangat, tapi Aini yang BAM kenal dekat, orangnya suka bersedekah amal jariah.  Agaknya sudah puluhan ribu wangnya disedekahkan saban tahun asyik membeli barangan untuk keperluan masjid-masjid, seperti permaidani, sejadah, al-Quran, surah Yassin, kain pelikat dan telekung, yang dihantar ke masjid-masjid, penghantaran menerusi kawan-kawan rapatnya dan dirahsiakan.

Aini, jangan marah ya, sekali-sekala BAM tercerita juga segala hal yang tersembunyi selama ini.  Sebenarnya kisah Aini rajin bersedekah ini sering BAM ceritakan dengan kawan-kawan rapat BAM, cuma BAM belum pernah paparkan dalam tulisan di akhbar mahupun di ruangan ini.  BAM masih ingat lagi bagaimana Aini berbelanja besar membeli semua keperluan pakaian dan juga makanan seperti beras, Milo, susu, biskut dan segalanya, penuh muatan satu lori kecil yang disewa khas dari KL pergi ke Johor Bahru ke rumah anak-anak yatim di sana.  Maklumlah Aini kan orang JB dia tahu susah payah orang-orang miskin di Johor sana tu.

Tiap kali dia bersedakah, dia melarang BAM menulis dan bercerita.  Di surau berdekatan rumah BAM juga dia pernah bersedakah dan membayar zakat, tapi secara senyap-senyap sahaja.  BAM menulis ini penuh dengan perasaan insaf dan simpati kepada Aini yang selama 27 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni, sejak zaman dia masih dara sunti hinggalah sekarang, masih lagi menghiburkan kita semua.

Akhir kalam, BAM nak kempen supaya seluruh peminat di merata pelosok tanahair, belilah album terbaru Sharifah Aini Rindu Menghiasi Kamar Cinta yang kini sedang laris macam goreng pisang panas.  Kalau albumnya laku beratus-ratus ribu, dan bila dapat rezeki yang berlebihan, bolehlah Aini bersedekah kepada fakir miskin di seluruh tanahair kita.  Menjelang bulan Ramadan dan Syawal yang mulia ini, memang eloklah kita banyak-banyak bersedekah.  Sekian dulu kisah Sharifah Aini yang satu!