SEPETANG BERSAMA PRIMADONA SHARIFAH AINI oleh Emma (Media Hiburan: 6-12 Januari 1996) |
Jodoh Media Hiburan dengan Sharifah Aini memang liat, bak katanya, "Maaflah Emma rasanya jodoh kita ni liat sikit, Kak Pah bukan sengaja tapi betul-betul Kak Pah tak sihat hari itu," ungkapnya sebaik saja kami bertemu di lobby hotel tempat pertemuan kami. Sebenarnya perancangan untuk mengadakan sesi fotografi dan temubual dengan Sharifah Aini telah lama dirancang. Tapi sudah beberapa kali tenmujanji kami selalu saja terbantut di saat akhir. Malah untuk pertemuan kali ini pun kami agak curiga, tapi bila pegawai perhubungan awam syarikat rakamannya menyatakan yang Kak Pah sudah ke salon pagi-pagi lagi, harapan untuk bertemunya kali ini cerah. Secara peribadi saya tidak berpeluang mengenali Sharifah Aini secara dekat kerana pertemuan yang diatur selalu terbantut dan dulu temubual ini selalu diuruskan oleh seorang teman. Jadi, kalau bertemu di luar kami sekadar bertegur sapa dan bertanya khabar. Tidak banyak yang dibualkan. Namun pertemuan yang kian lama diatur hari itu agak berlainan. Gelak tawa Sharifah Aini, sebaik saja kami memasuki bilik yang disediakan untuk sesi fotografi hari itu dapat saya ukur, betapa wanita ini cepat mesra dan ramah. Sifatnya yang dikatakan agak memilih mula kabur dari pandangan. Sharifah sebaliknya membuat kami selesa. Lebih dulu memesan minuman dan makanan dan berbual sebelum bersedia di depan kamera. Belum sempat kami bertanya, dia menyoal dulu, "Apa pandangan you tentang konsert Kak Pah tempohari". "Great ! " ujar saya sepatah, lalu membetulkan duduk untuk meneruskan ungkapan. Saya bukan pengikut perkembangan lagu-lagu klasik Melayu sepenuhnya. Apa yang saya kenal, ialah apa yang dihidangkan ketika saya melewati usia remaja dan memasuki dunia kewartawanan. Saya kenal siapa Rosiah Chik, tahu Saloma dan P Ramlee hebat dengan penyampaian lagu-lagu klasik kita. Begitu juga SM Salim. Tapi saya jarang berkesempatan mengikuti konsert secara 'live' penyanyi-penyanyi besar membawa irama Melayu klasik dengan baik. Tapi peluang menonton konsert Sharifah Aini membuat saya kagum dengan wanita ini. Dulu kaset dan piringhitamnya sering menjadi pilihan kakak-kakak saya. Hari ini albumnya yang lahir, nyata suaranya tidak pernah berbeda. Keunggulannya memang utuh. Malah tidak keterlaluan kalau saya nyatakan dia layak dikatakan primadona seni suara kita. Dia berjaya mencipta namanya biar zaman dan suasana berubah. "Bulu roma saya tegak Kak Pah bila dengar you nyanyi lagu 'Burung Pungguk', 'Tudung Periuk', 'Bunga Tanjung' dan 'Teratai', kata saya ikhlas menceritakan apa yang saya alami ketika menonton konsertnya di Dewan Bandaraya. Kak Pah senyum menampakkan baris giginya yang tersusun rapi. Senyum puas selepas 8 tahun tidak muncul di mana-mana konsertnya sendiri. Ingin saya kenali wanita ini lebih dalam. Kata Kak Pah, dia memang bangga dan bersyukur kerana berjaya mempertahankan kebolehannya menyanyikan lagu-lagu Melayu klasik dengan baik dan tersusun. Dan dia turut terharu kerana berpeluang menyanyikan lagu 'Bunga Tanjung' yang sebelum ini pernah dipopularkan oleh Saloma secara 'live' selepas lagu itu dicipta. Kalau anda merasakan tidak pasti dengan apa yang saya nyatakan boleh saja mendapatkan album rakaman secara 'live'nya yang sudah pun berada di pasaran.
Sebelum konsert bermula Sharifah Aini agak gementar, dia bimbang kalau dewan kosong tanpa penonton. Adakah peminat aku lagi, bermain di kotak fikirannya. Tapi dia berani mencuba kerana yakin dengan kebolehannya yang dimilikinya. Syukur, dewan sesak tiga malam berturut-turut menyaksikan persembahannya bersama kombo bandaraya pimpinan Johari Salleh. Kejayaan itu sebenarnya memberi semangat baru pada Sharifah Aini. Dia tahu dia tak boleh menyanyikan lagu-lagu rancak dengan showmanship ligat di pentas. "Nak ligat tu kenalah ukur badan kita ...", guraunya. Tapi Sharifah ada rahsia tersendiri memancing penontonnya. Dan gelagat inilah yang dilakukannya baik di konsert atau di pertunjukan tertutup. "Memang show yang saya terima banyak untuk 'dinner show' dan 'VIP' kalau show terbuka ni dah lama saya tak buat. Tapi kalau berpeluang sekarang ni, saya terima kerana saya teringin kembali dekat dengan peminat saya. Zaman dulu tu ... ke padang dan tengah sawah pun kita pergi. Jadi hubungan dengan peminat tu rapat. Dan Kak Pah mahu kekalkan hubungan mesra itu' ungkapnya.
Untuk menari ligat mengikut tempo lagu, memang dia tidak mampu. Fizikal dan usia tidak sesuai untuk dia berbuat demikian. Tapi Sharifah Aini ada cara tersendiri memikat hati penonton setianya. Lawak Sharifah di pentas, selalunya dilahirkan secara spontan dan dari pengalaman peribadi. Misalnya dalam satu malam konsertnya yang lalu dia menceritakan bagaimana seorang YB menggunakan namanya untuk memancing undi. YB itu menurut Kak Pah berjanji, kiranya dia menang pilihanraya, dia akan membawa Sharifah Aini untuk mengadakan persembahan secara percuma untuk pengundi. "Ditakdirkan dia menang lalu dia 'call' saya merayu agar menerima tawarannya untuk mengadakan persembahan di kawasan undiannya. Katanya kalau tak pergi dia kena ... Fikirkan janjinya dan keikhlasannya saya terima. Naik kapalterbang dua jam lepas tu naik kereta satu setengah jam kemudian bersampan pulak tu ... Di sana tu dah jadi perkampungan bila saya sampai. Jadi saya sendiri serba salah nak bergerak, ialah bilik air kat luar, ke bilik air – orang menyerbu ke bilik air ... Betul-betul pengalaman yang menggelikan hati ada, terharu pun ada. Saya masak cucur kodok, bila seorang rasa semuanya nakkan cucur kodok Sharifah Aini. Beli tepung tak payah pergi kedai, 'pass word' saja dari kedai sampai depan pintu, tepung dah sampai. Pengalaman begini bukan senang nak rasa, jadi saya tak memilih tempat atau kedudukan untuk bersama peminat saya. Dan saya mahu kekalkan keakraban yang ada ini." Jelas Kak Pah sebaik dia selesai bercerita akan pengalamannya itu. |