DATUK SHARIFAH AINI DEDAH RAHSIA HATINYA oleh Kairul Anwar Yusop & Huzz (Mastika, March 2010) |
Pada petang Jumaat, wartawan Mastika, Kairul Anwar Yusop bersama Pengarang URTV, Huzz berpeluang menemu bual secara eksklusif Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pukul 3.00 petang, 22 Januari 2010. Semasa ditemu bual selama lebih 45 minit itu, Sharifah Aini banyak bercerita tentang perkembangan terbarunya bukan dalam dunia hiburan, tetapi keprihatinannya membantu pelajar tahfiz. Kenapa Datuk Sharifah Aini teruja membantu pelajar tahfiz. Apa kaitan tahfiz dengan hidup Biduanita ini? Sharifah Aini dalam nada merendah diri memberitahu segala-galanya kerana anaknya, Aliff, 27, yang kini sedang menuntut di Madinah, Arab Saudi. Sebelum ini, Sharifah Aini mengakui dia tidak pernah berceita mengenai amal jariahnya kepada pelajar tahfiz kerana tidak mahu dikata menunjuk-nunjuk. Malah, tiada sesiapa tahu selama ini bahawa Sharifah Aini pernah mendermakan hasil nyanyiannya untuk membantu 1,5000 pelajar tahfiz. "Apa yang Kak Pah buat ini untuk saham akhirat!" beritahu Sharifah Aini. Sebenarnya, Aliff banyak mempengaruhi hidup Kak Pah selama ini. Apa yang Kak Pah buat sekarang, doa dari Aliff. Kak Pah nak bantu sekolah tahfiz kerana Aliff. Perkara ini jarang Kak Pah berceita dengan orang. Sepanjang 15 tahun lalu, Kak Pah menjaga 1,500 anak-anak tahfiz. Tapi Kak Pah tidak pernah ceritakan kepada orang. Pada Kak Pah, ini amalan Kak Pah, ini tanggungjawab Kak Pah pada Allah. Tapi sekarang, Kak Pah perlu memberitahu kerana Kak Pah hendak cari dana untuk bantu anak-anak tahfiz ini. Setiap kali mereka datang ke surau di rumah, Kak Pah sering bertanya kepada ustaz mereka: "Cukupkah keperluan mereka, bagaimana keadaan mereka ustaz?" Ustaz tahfiz mengakui kepada Kak Pah, sekolah tahfiz sentiasa tersepit masalah kewangan. Sekolah tahfiz perlukan bantuan kewangan untuk menjaga dan mendidik pelajar ini belajar ilmu agama. Sedih Kak Pah dengar. Kak Pah berjanji akan membantu setakat termampu. Kak Pah bergiat dalam bidang nyanyian. Jadi hanya cara ini Kak Pah boleh buat. Duit hasil persembahan itu Kak Pah dermakan kepada mereka. Kalau ada orang ingin menghukum mengatakan duit itu tidak berkat, biarkanlah ... Bagi Kak Pah, siapa mereka untuk menghukum. Sekurang-kurangnya Kak Pah ikhlas untuk membantu anak-anak tahfiz ini, Kak Pah percaya, apa yang Kak Pah lakukan ini merupakan saham akhirat. Bagaimana penerima Aliff? Pernah orang bertanya, Kak Pah di bidang muzik. Anak lebih kepada agama. Bagaimana penerimaa Aliff? Sebenarnya Kak Pah berasa sangat bertuah. Walaupun Kak Pah dalam bidang berbeza dengan anak, Aliff menerima seadanya. Aliff tahu, diri Kak Pah sebagai ibunya. Di luar, di atas pentas Kak Pah sebagai penghibur, penyanyi. Di rumah, Kak Pah adalah seorang ibu. Aliff tahu Kak Pah bukanlah seorang yang suka berfoya-foya. Kak Pah sendiri sedar Kak Pah ada tanggungjawab kepada Allah. Dan bila Allah anugerahkan seorang anak yang cintakan agama, Kak Pah rasa ia lebih bermakna. Kalau didirikan duit sama tinggi dengan Kak Pah sekalipun, ia tidak sebahagia memiliki anak seperti Aliff. Alifflah segala-galanya untuk Kak Pah. Bila teringat Aliff, sejuk rasanya mengandungkan Aliff, anak yang sangat baik, anak yang boleh berubah dengan didikan agama. Kadang-kadang Kak Pah terfikir, inilah hadiah yang sangat besar Allah anugerahkan kepada Kak Pah. Aliff bukanlah manusia yang sempurna, tapi Aliff adalah anak yang sangat baik. Sebagai ibu, Kak Pah akui sangat beruntung mempunyai anak seperti Aliff. Kak Pah masih ingat, sejak kecil sikap Aliff lebih cenderung kepada ilmu agama. Masih ingat juga, semasa Aliff bersekolah menengah. rumah Kak Pah dekat dengan masjid dan sekolah. Setiap hari seawal pagi, sebelum subuh Aliff sudah bangun. Selepas selesai bersiap, Aliff biasanya akan terus pergi ke masjid, solat Subuh berjemaah dan mendengar kuliah subuh. Selepas itu, barulah Aliff ke sekolah. Begitulah rutin Aliff. Aliff anak yang sangat sempoi, tidak demand, anak yang tidak banyak hal. ALIFF LAHIR KETIKA AZAN ISYAK Kak Pah masih ingat, masa kandungkan Aliff, kandungan itu sangat senang. Dan Kak Pah lahirkan Aliff pada hari Khamis malam Jumaat. Kak Pah lahirkan Aliff di klinik di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kak Pah ingat juga ketika bergelut melahirkan Aliff, kelahiran Aliff disambut dengan azan solat Isyak yang berkumandang pada pukul 8.00 malam serentak semasa Aliff dilahirkan. Itulah kenangan yang Kak Pah tidak boleh lupakan hingga kini. Sebelum Aliff dilahirkan, sebenarnya Aliff songsang. Aliff songsang selama beberapa bulan. Tapi dengan kuasa Allah, bila malam hampir-hampir melahirkan Aliff, kandungan Aliff berpusing semula di kedudukan normal. Itulah kuasa Tuhan, Pencipta kita. Sebelum itu, Kak Pah sering berdoa Kak Pah minta, "Ya Allah, berilah Kak Pah rasa bagaimana sakitnya melahirkan anak. Kak Pah ingin merasainya!" Itulah doa Kak Pah setiap hari. Bagi Kak Pah, melahirkan Aliff senang, menjaga Aliff senang, membesarkan Aliff juga senang. Aliff anak yang tidak banyak cerita, tidak banyak bicara. Bila sudah besar, Aliff tetap begitu. Aliff bukan anak yang demand. Aliff sederhana. Apa yang Kak Pah beli, Aliff pakai. Kalau Aliff tak ada duit, Kak Pah kasi duit, biasanya duit baki Aliff akan pulangkan balik. Aliff guna sikit saja. Sebelum Aliff belajar di Madinah, Kak Pah hantar Aliff ke Kelantan. Aliff belajar agama di Sekolah Pondok Kandis, Bachok dan di Nilam Puri. Selepas itu, Aliff sendiri yang hendak belajar di Madinah. Bila Aliff sampai di Madinah, dia bermula dari bawah. Dia bukan terus belajar di universiti. Dan sekarang Kak Pah adalah ibu yang sangat berbangga, Aliff bercakap bahasa Arab dengan fasih dan lancar. Aliff biasanya balik Malaysia, dalam setahun dia balik dua bulan setengah. Biasanya awal Julai. Masa itu, Kak Pah asyik tersenyum kerana Aliff akan pulang. Tapi, bila Aliff nak balik semula ke Madinah, Kak Pah dah mula sedih. Kak Pah cepat menangis, sedih kerana nak berpisah dengan Aliff. Tapi, bila Aliff dah balik ke Madinah, barulah Kak Pah sedar, sebenarnya terasa lapang kerana anak Kak Pah berada di satu tempat yang sangat selamat. Aliff berada di tanah haram. Aliff ada di tempat yang sangat baik. Aliff sembahyang di Masjid Nabawi tiap-tiap hari, dan Aliff boleh melawat makam Rasulullah setiap hari. Bila Kak Pah fikir, alhamdulillah, Aliff berada di tempat yang sentiasa dirahmati. BANGGA ALIFF BERRDAKWAH GUNA PSIKOLOGI Pernah suatu malam itu, Aliff berkongsi ilmu agama di surau dalam rumah Kak Pah yang dihadiri oleh pelajar-pelajar tahfiz sekitar Lembah Klang. Ketika itu, Aliff pulang bercuti dari belajar di Madinah. Sudah hampir lapan tahun Aliff mendalami agama Islam di Madinah Islamic University. Malam itu, Kak Pah lihat, Aliff berpeluang ceramah dan berkongsi ilmu agama di hadapan kira-kira 70 orang jemaah. Kak Pah dengar, suara Aliff menyampaikan dakwah sangat lembut dan tenang. Kak Pah tahu, ia datang ikhlas dari hati Aliff. Cara Aliff berdakwah, lembut dan menggunakan psikologi. Sesekali Aliff tidak menakut-nakutkan orang. Aliff sampaikan dengan cara berhemah. Sebagai ibu, Kak Pah terasa sangat bangga kerana Aliff tidak menjadi ekstremis. Bila Aliff berdakwah gunakan psikologi, Kak Pah rasa ia tidak menakutkan orang. Cara Aliff berdakwah sungguh lembut. Kak Pah terasa sungguh bangga. Bila Aliff menceritakan sesuatu hal agama yang kita tidak tahu, Kak Pah rasa tersentuh. Jiwa dan hati Kak Pah terasa sayu. Kah Pah menangis, mengalir airmata Kak Pah. Kak Pah bukan sedih tapi terharu dengan Aliff. Kak Pah terfikir: "Oh, ini rupanya anakku. Begini rupanya Aliff. Kak Pah tak sangka Aliff jadi macam ini!" Bila Aliff berkongsi ilmu agama setiap minggu di bulan Ramadhan tahun lalu, Kak Pah banyak mengeluarkan air mata. Setiap kali mendengar ceramahnya, Kak Pah pasti menangis. Kak Pah terfikir, inilah rahmat Allah yang besar untuk Kak Pah. "Terima kasih ya, Allah." Kak Pah bersyukur, "Inilah anak yang Kak Pah kandung selama sembilan bulan. Beginilah yang jadinya!" Itulah ayat yang selalu keluar dari mulut Kak Pah. Jadi inilah sebabnya mengapa Kak Pah nak bantu sangat pelajar tahfiz. Kak Pah mahu lebih ramai pendakwah yang boleh bantu sebarkan dakwah guna cara psikologi. Apa yang Kak Pah buat ini atas dorongan Aliff. Kerana Alifflah Kak Pah sanggup buat kerja-kerja amal jariah ini. Seperti yang Kak Pah sebutkan tadi, inilah saham untuk akhirat. Jadi marilah kita sama-sama berkongsi pahala tersebut dengan membantu mereka (pelajar tahfiz) yang memerlukan bantuan. |