DATUK MUHAMMAD 'A' HORMAT SHARIFAH AINI oleh Huzz (Mangga, Jun 2002) |
Ahli korporat Sabah – Datuk Muhammad 'A' (45 tahun) yang menonton show biduanita Sharifah Aini pada Minggu Setiausaha di Bistro Saloma (24 April 2002 lalu), tak mahu penyanyi kesukaannya itu berkahwin dengan orang putih. Selesai show kak Pah hari itu, Datuk tak keberatan bergambar dengan kak Pah setelah dipujuk jurufoto. Orangnya tak sombong dan mesra. Tengok gambar tu bukan main happy Datuk bergambar dengan kak Pah ya? Jom baca cerita Datuk kepada Huzz.
Cerita Datuk – Saya peminat Sharifah Aini. Pada 20 tahun yang lalu saya pernah menonton shownya di Sandakan. Dah lama juga saya tak berpeluang menonton shownya ... tapi dia masih bertahan, suaranya, persembahannya masih hebat. Bagaimanapun saya baru mengenalinya secara dekat. Cuma sebagai kawan biasa. Tidak saya nafikan selain berwajah cantik, penampilannya juga menarik. Saya menghormati dia kerana bila dah kenal dia baru saya tahu dia seorang yang berakhlak tinggi. Walaupun Sharifah seorang artis ... tapi pengetahuan agamanya tidak sedikit. Saya kagum terhadapnya yang tinggi pengetahuan dalam agama. Saya bangga bila dia berjaya mendidik anak-anaknya hingga mendalami pengajian agama. Tentang kahwin lagi ... pada saya kalau beliau ada keinginan berkahwin lagi apa salahnya. Lagipun dia sudah menjadi ibu tunggal sejak beberapa tahun. Kalau dia kesunyian tak salah dia kahwin lagi. Usia bukan penghalang. Cuma saya tidak setuju kalau dia berhajat mengahwini lelaki bukan Melayu yang tidak beragama Islam. Apa yang saya pernah tengok bukan mudah mengIslamkan dan membawa bangsa asing menjadi orang kita. Itu nasihat saya pada Sharifah. BAKAL SUAMI KENA JUMPA BEKAS SUAMI KAK PAH Apa pula komen Kak Pah – Hanya takdir menentukan apakah akan ada jodoh lagi untuk saya. Tak saya nafikan memang sudah ada lelaki dari luar negara merisik saya. Nak ajak kahwin. Mereka tu kawan kepada kawan saya di sini. Tapi saya katakan nantilah dulu. Lagipun di saat sekarang ini saya banyak memberikan tumpuan pada anak-anak saya, terutama Aliff yang kini mengambil pengajian agama. Tak lama lagi dia akan meninggalkan saya di sini untuk melanjutkan pengajian ke Madinah. Begitulah anak-anak lain sibuk dengan pengajian menengah. Walau sesibuk saya sebagai penyanyi ... masa sebagai ibu tak boleh saya lupakan. Terus terang saya katakan walaupun saya penyanyi tapi cita-cita saya ada untuk anak-anak bukan hanya di dunia tapi di akhirat. Saya mendoakan mereka boleh sampai ke syurga Firdaus. Jadinya jikalau saya nak berkahwin lagi, saya tak mahu perkahwinan itu hanya untuk saya. Biarlah bakal suami boleh menerima saya dan anak-anak. Memanglah saya tak boleh nak menolak kalau jodoh sudah ada dalam masa terdekat ini. Bagaimanapun saya bukan orang yang mencari-cari jodoh. Kalau ditakdirkan kahwin lagi, saya sangat ingin ditemukan lelaki baik-baik dan menyenangkan hati saya dan anak-anak. Apa salahnya kalau jodoh itu lelaki bukan Melayu? Saya akan bimbing dia dengan agama kita. Tidak semua orang yang kahwin bangsa asing tidak bahagia. Cuma syaratnya bakal suami itu kena jumpa dulu dengan bekas suami saya sebelum berkahwin dengan saya. Ini ialah kerana kalau nak kahwin lagi ... saya akan memohon restu bekas suami saya iaitu Datuk S tu. Dia tidak mahu saya jumpa lelaki yang akan menganiayai hidup saya. Pada saya bekas suami saya tu boleh dianggap lelaki terbaik pernah saya jumpa. Walau dah berpisah kami tidak pernah membenci. Malah sewaktu saya terlantar sakit, dia berada di sisi dan dia sangat mengambil peduli bukan saja kepada saya tapi anak-anak saya. |