SUARA ANAK SENI oleh Haryati Karim & Roni Hidayat Ridwan (Kosmo!: Rabu, 27 Jun 2012) |
DILEMA ANAK SENI Buat pertama kalinya Kosmo! berpeluang mempertemukan tiga anak seni, biduanita negara tersohor, Datuk Sharifah Aini, aktres sensasi Rozita Che Wan dan aktor berwibawa, Pekin Ibrahim dalam sesi fotografi khas sempena Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 yang telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Renaissance, Isnin lalu. Lupakan dunia glamor seketika, apabila berbicara soal hak artis, ketiga-tiga mereka bertukar serius dan penuh panjang lebar dengan persoalan dan hujah masing-masing. Datuk Sharifah Aini, 59, yang telah berkecimpung dalam bidang seni suara selama 44 tahun memberitahu, dia turut berhadapan dengan masalah terutamanya berkaitan dengan pengagihan royalti. Menurut penyanyi yang lebih mesra disapa Kak Pah itu, bermula pada tahun 2000 sehingga ke hari ini, beliau mengakui langsung tidak pernah mendapat sebarang royalti daripada lagu-lagu nyanyiannya. "Boleh dikatakan setiap tahun kebanyakan lagu-lagu saya telah diterbitkan semula dalam bentuk kompilasi, namun saya tidak pernah mendapat satu sen pun royalti untuk lagu-lagu saya itu daripada syarikat rakaman EMI Records. "Begitu juga apabila EMI diambil alih oleh Warner Music pada tahun 2008, saya masih lagi belum mendapat sebarang bayaran. Jadi, itu yang membuat saya sangat terkilan," ujarnya. Kata penyanyi yang turut berlakon dalam filem Hapuslah Air Matamu itu, penerbitan album kompilasi tidak menelan kos yang banyak dan syarikat rakaman mampu meraih keuntungan yang besar, sebaliknya hak penyanyi seperti dirinya terus diabaikan apabila tidak mendapat royalti yang sepatutnya. Sementara itu, Kak Pah juga turut meluahkan rasa kecewanya terhadap Badan Pelindung Hakcipta Muzik Malaysia (MACP) mengenai pengagihan royalti yang diterimanya dan menganggap badan tersebut seperti tidak berlaku adil. Ujarnya, setiap kali mendapat royalti yang diberikan oleh MACP setiap tahun, dia berasa hiba kerana jumlah bayaran yang diterima itu seakan-akan tidak berbaloi memandangkan banyak lagu-lagu nyanyiannya dimainkan stesen-stesen radio. "Saya bukannya tidak bersyukur dengan apa yang diterima, tetapi sebagai seorang penyanyi, saya juga mempunyai hak untuk mempertahankan apa yang sepatutnya saya peroleh. Kekecewaan ini tidak pernah saya luahkan dengan sesiapa pun, tetapi sempena dengan Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 ini memberi peluang untuk saya meluahkan apa yang terpendam," ujarnya yang berharap agar para penyanyi di negara ini mendapat hak mereka yang sewajarnya.
LUAHAN ROZITA Aktres jelita, Rozita yang telah berlakon puluhan drama dan beberapa buah filem menjelaskan, meskipun kariernya dilimpahi glamor tetapi bekerja sebagai pelakon bukanlah mudah. Isu yang dipertikaikan Rozita adalah waktu kerja yang terlalu panjang di lokasi penggambaran bukan sahaja untuk pelakon tetapi termasuk juga kru belakang tabir. Kata aktres yang berusia 38 tahun itu, biasanya pelakon akan bekerja lebih daripada 12 jam sehari, malah mereka tidak menikmati cuti umum kecuali pada Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Raya Aidiladha. "Kebiasaannya, saya bekerja sehingga 15 hingga 19 jam sehari di lokasi penggambaran dan hanya diberi rehat lima jam sahaja. Apabila pelakon penat, mereka tidak boleh memberi mutu lakonan sebaik mungkin. Sebab itu kalau boleh tetapkan waktu kerja paling maksimum untuk pelakon dan kru belakang tabir. Contohnya sehari paling lama waktu kerja adalah 12 jam, maka selebihnya kerja lebih waktu atau apa sahaja opsyen yang boleh diberikan kepada kami," ujarnya. Bagaimanapun kata ibu kepada dua orang anak itu lagi, dia juga memahami dilema yang dihadapi penerbit drama kerana kos penerbitan sesebuah drama meningkat setiap tahun tetapi bayaran yang diberikan oleh pihak stesen televisyen kekal sama, jika ada penambahan sekalipun jumlahnya sangat rendah. "Penerbit pun menghadapi masalah, jika ditetapkan waktu kerja sehari lapan jam sahaja sebagai contoh, mereka terpaksa menambah hari penggambaran secara tidak langsung meningkat kos, penerbit akan rugi. Jadi, saya tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah yang dihadapi," balasnya. Selain soal waktu kerja, pelakon drama Kiah Pekasam itu juga mempersoalkan kebajikan dan keselamatan pelakon di set penggambaran. "Setiap penerbit sepatutnya mengambil insurans setiap kali penggambaran, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kurang sikit beban pelakon dan kru. Ini tidak, kalau sakit walaupun saya beri surat cuti sakit, tidak laku, dikoyakkan sahaja depan mata saya. Kaki bengkak tidak boleh berjalan dikerah juga bekerja kerana sudah tandatangan kontrak. Surat yang laku hanyalah surat kematian pelakon itu sendiri agaknya, barulah kami dibenar tidak bekerja," sindirnya. Tegasnya lagi, jika pihak penerbit memberikan kontrak sebelum penggambaran bermula, pihak pelakon juga harus mempunyai kontrak yang diberi kepada penerbit supaya melindungi hak mereka. "Buat masa ini, hanya penerbit yang memberikan kontrak jadi pelakon terpaksa mengikut apa sahaja kata mereka, pelakon tidak boleh bersuara. Lebih baik selepas ini, terdapat kontrak juga di pihak pelakon yang harus dipersetujui oleh penerbit," tuturnya lagi. DIDIK PENONTON Aktor, penyanyi, komposer dan penulis buku, Pekin, 31, cukup terbuka melontarkan idea dan luahan hatinya memberitahu industri seni tempatan telah ketinggalan 10 tahun kebelakang berbanding negara lain. Jika sesuatu tidak dilakukan tidak mustahil, industri seni akan terus tenggelam meskipun hakikatnya, pelakon sepertinya masih mampu hidup dengan senang. "Apa sahaja dasar serta agenda yang dilakukan hari ini, kesannya tidak dapat diperoleh dalam sekelip mata. asalah yang sama dibincang berulang-ulang, tiada tindakan tidak guna. Mungkin apa yang dibincangkan pada Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 kesannya boleh dilihat 10 tahun akan datang, itupun jika tindakan yang dilakukan berterusan bukan tergendala separuh jalan," ujapnya yang bakal muncul dengan filem Rock 2, Kita dan Apokalips. Isu yang menarik perhatian Pekin bukan hanya isu royalti dan kebajikan pelakon serta penyanyi, tetapi juga bagaimana untuk mendidik penonton filem negara menjadi penonton yang bijak. "Jika di luar negara, seperti Hollywood misalnya kebanyakan penonton, filem mereka tahu bagaimana proses pembikinan sesebuah filem. Apabila mereka tahu sukar membikin sesebuah filem, mereka akan lebih menghargai filem tersebut. Membikin sesebuah filem walaupun filem itu teruk dikutuk, ia masih bukan satu kerja yang mudah. Filem yang dikatakan teruk sekalipun, ia masih melalui proses pembikinan yang sama dengan filem yang hebat. Cuma kualiti pembikinan serta hala tuju pengarah yang membezakannya dengan sebuah filem yang baik," hujahnya yang memiliki perniagaan studio jamming di Bangi, Selangor. Ulas pelakon filem Bunohan dan Hantu Kak Limah Balik Rumah itu lagi, penonton tegar filem tempatan hanyalah kira-kira 300,000 orang sahaja. Jumlah itu tidak bertambah meskipun kutipan sesebuah filem berjumlah sehingga RM12 juta. "Dapat kutip banyak mana sekalipun, jumlah penonton filem tempatan masih sama, kerana penonton yang sama akan tonton secara ulangan jika mereka suka sesebuah filem itu. "Persoalannya, bagaimana untuk kita menarik dua juta orang pergi menonton filem di panggung wayang, memang misi sukar tetapi tidak mustahil boleh terjadi," katanya yang mengidam untuk bergelar seorang pengarah suatu hari nanti. Banyak mengembara ke luar negara kerana mengikut promosi dan tayangan filem Bunohan telah menyuntik semangat luar biasa dalam diri Pekin untuk melihat karya tempatan lebih dihargai dan penggiat seni mempunyai masa depan yang cerah. |