KAK PAH TERINGIN DAPAT MENANTU

oleh Roni Hidayat Ridwan (Kosmo!: Rabu, 15 Mei 2013)

Pada pertengahan tahun lalu biduanita tersohor negara, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah telah dimasukkan ke hospital apabila disyaki menghidap jangkitan kuman pada paru-paru.  Kesan daripada jangkitan tersebut, penyanyi berusia 59 tahun itu terpaksa berehat selama enam bulan dan tidak terbabit dalam sebarang aktiviti nyanyian sepanjang tempoh tersebut.

Berkesempatan menemui bintang legenda ini pada majlis pelancaran Konsert Malam Amal Bersama 3 Diva baru-baru ini, Kak Pah memberitahu, keadaan kesihatannya sekarang sudah bertambah baik.  Menurutnya, selepas berehat agak panjang untuk mendapatkan rawatan lanjut bagi menyembuhkan penyakitnya itu, kini beliau sudah kembali aktif menyanyi semula.

KOSMO!:  Bagaimanakah dengan keadaan kesihatan Kak Pah sekarang ini?

KAK PAH:  Saya sangat bersyukur kerana kini sudah beransur pulih sepenuhnya setelah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru sehingga mengalami demam yang teruk.

KOSMO!:  Sepanjang menjalani rawatan susulan, adakah doktor pernah menasihatkan supaya Kak Pah mengurangkan aktiviti nyanyian?

KAK PAH:  Doktor memang ada menasihatkan saya supaya tidak terlalu aktif, tetapi saya ini jenis wanita yang suka bekerja.  Lagipun, kalau menghiburkan orang ramai ia boleh membuatkan diri saya gembira.  Kalau ditanya tentang kemampuan saya membuat persembahan nyanyian pula, rasanya ia langsung tidak mendatangkan masalah besar.  Dalam satu persembahan baru-baru ini, saya masih mampu menyanyi sehingga 18 buah lagu.

KOSMO!:  Adakah Kak Pah tidak kisah apabila anak tunggal iaitu Aliff Omar masih lagi berjauhan sehingga sekarang, meskipun ketika Kak Pah jatuh sakit dahulu?

KAK PAH:  Sebenarnya saya reda menerima dengan hati terbuka apabila berjauhan selama 11 tahun setelah dia melanjutkan pelajaran di Madinah.  Selain itu, saya tak perlu risau atau bimbang kerana dia berada di sebuah tempat yang paling baik.  Dengan adanya kemudahan teknologi seperti khidmat pesanan ringkas dan internet memudahkan lagi untuk kami berhubung.  Lagipun, setahun sekali dia akan pulang ke Malaysia atau saya sendiri akan melawatnya di sana setiap tahun.

KOSMO!:  Pada usia Aliff yang sudah mencecah 31 tahun, adakah Kak Pah teringin melihat dia mendirikan rumah tangga?

Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya teringin mendapat seorang menantu dan cucu.  Cuma, saya rasa buat masa ini tuan punya badan masih belum bersedia memikul tanggungjawab yang besar menjadi suami memandangkan dia masih belajar lagi.

KOSMO!:  Berkenaan dengan karier seni pula, apakah perancangan Kak Pah pada masa akan datang?

KAK PAH:  Kalau ikut perancangan saya ingin mengadakan sebuah konsert perpisahan pada tahun datang.  Saya ingin memberikan tumpuan kepada kerja-kerja dakwah, tetapi tidaklah bersara sepenuhnya dalam bidang nyanyian.  Saya merancang menganjurkan program motivasi kepada orang ramai seperti bercerita tentang kisah kehidupan lampau saya supaya boleh menjadi pengajaran kepada masyarakat.  Menerusi program tersebut akan diselitkan persembahan nyanyian saya dalam tiga atau empat buah lagu.

KOSMO!:  Boleh komen tentang dakwaan segelintir pihak yang mengatakan Kak Pah mengambil suntikan botox kerana perubahan pada wajah yang kelihatan berbeza?

KAK PAH:  Bagi saya, ia merupakan satu fitnah kerana saya memang tidak melakukannya.  Perubahan yang terjadi pada wajah saya ini sebenarnya kesan daripada steroids apabila banyak mengambil ubat ketika saya sakit dahulu.