Artis Baru Wajar Contohi Kak Pah

'Kata Teman' dikendalikan Hanizam 'Kak Cham' Abdullah  (Berita Minggu: Bi-Pop, 15 Oktober 2000)

 

 

Dia masih ayu walaupun dengan solekan tipis.  Dalam usia begitu pun, kecantikannya terserlah.  Tergerak hati hendak tanya, apa rahsianya?  Tetapi bibir ternyata kelu.  Yang teman berani tanya, jenama kosmetiknya.  Barangkali, sikap periang, mesra dan sentiasa merendah diri walaupun sudah bergelar superstar membuatkan dia sentiasa nampak berseri.  Yang teman maksudkan, tak lain tak bukan penyanyi evergreen, Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah.  Ketika berpeluang bersama-samanya dalam satu pelayaran bersama kapal persiaran mewah SuperStar Virgo milik Star Cruises, bagi melancarkan album Enhanced CD Seribu Mawar, serta meraikan pemenang peraduan anjuran syarikat rakaman EMI dan beberapa media termasuk Bi-Pop, teman amati Sharifah sentiasa tersenyum, walaupun teman tahu ada ketika dia letih.

Terdetik dalam hati, "patutlah Sharifah Aini masih kekal popular walaupun sudah lebih 30 tahun berjuang di persada seni.  Biar betapa ramai penyanyi baru berbakat dan hebat, tetapi Sharifah Aini tidak tenggelam popularitinya."  Barangkali dua hari satu malam adalah satu jangka masa yang pendek untuk membuat kesimpulan mengenai biduanita bersuara merdu ini, tetapi hakikatnya, seronok berborak dan bergurau dengan Sharifah Aini.  Sikap sebeginilah yang membuatkan Sharifah Aini begitu istimewa.  Lalu, adalah tidak memeranjatkan apabila ke mana saja dia pergi, sama ada di atas kapal itu sendiri atau ketika berada di Kota Singa, ada saja peminatnya yang mengambil peluang untuk bersalaman dan mengambil gambar dengannya.  Seorang peminat, Sharifah Lulu menghadiahkan sebentuk cincin bernilai RM30,000 kepada penyanyi kesayangan ramai itu.

"Itulah kali kedua teman melihat sendiri diva itu.  Kali pertama teman dalam tingkatan enam ketika Sharifah Aini membuat persembahan di Sungai Siput Utara Perak, tempat kelahiran teman.  Yang paling seronok, ayah teman yang memang meminati Sharifah Aini.  Di rumah penuh dengan LP Sharifah Aini.  Dalam kereta ayah, penuh katrij Sharifah Aini.  Ketika itu teman memang hafal lagunya sebab itulah antara hiburan kami di rumah.  Lalu, pada tarikh keramat itu, ayah nampaknya begitu kepoh dan kecoh sekali meminta ibu menyediakan kuih seri muka (kuih kegemaran ayah teman) sebagai hidangan kepada diva itu yang ketika itu memang tengah top benar.  Dalam hati teman, "Ehh ... takut jadi cerita macam ibu Si Tenggang saja!   Buatnya dia tak suka kuih itu dan tak lalu hendak makan, tentu kecil hati orang tua tu.  Tetapi, Sharifah Aini bukan saja menghiburkan dalam konsert itu, tetapi sudi menjamah kuih seri muka buatan ibu dan beramah mesra dengan orang kampung.

Paling teman tidak lupa apabila ketika menunggu keretapi bergerak dalam perjalanan pulang dari Singapura ke Kuala Lumpur, tiba-tiba tingkap cermin teman diketuk orang.  Teman memandang ke luar dan terpacak Sharifah Aini dengan senyuman yang menampakkan barisan giginya yang cantik sambil tangannya menunjukkan tiket di tangan.  Mesej jelasnya?  "Ini nombor koc I.  Datanglah kalau nak berborak-borak!"  Sebenarnya ketika itu, Sharifah kelihatan seperti seorang gadis remaja yang gemar mengusik.  Tetapi kerana menghormati 'privacy'nya, teman tidak menjenguk kocnya.  Lagipun dia tentu begitu letih.  Itulah Sharifah Aini, insan seni yang tidak pernah sombong dan meninggi diri.  Sewajarnya sikap sebeginilah yang harus diteladi adik-adik kita yang sedang berjinak-jinak di persada seni.  Bukan mendabik dada jika popular hanya disebabkan berani beraksi seksi atau menelan pil Ecstasy.  Tetapi hakikat pedihnya, ada juga segelintir anak seni kita yang begitu apabila popular.

Seperti baru-baru ini, teman ditunjukkan satu surat yang dialamatkan kepada ruangan Surat Pembaca Berita Harian, bagaimana seorang insan itu berasa begitu terhina apabila ditempelak seorang selebriti sedangkan sebelum ini dia mengaguminya.  Hilang rasa hormatnya selama ini buat selebriti itu yang disifatkan angkuh dan sombong.  Nasihat teman, hentikan sifat-sifat yang begitu kerana tiada faedahnya.  Ingatlah, ular yang menyusur akar itu tidak akan hilang bisanya.  Jumpa lagi!